Tuesday, April 10, 2012

Kesan Dari Kubur Digali: Penduduk Kampung Diganggu Lembaga Ganjil

ZAMAN Jepun memerintah Malaya, bermacam-macam hal terjadi kepada rakyat negara ini. Sebahagian besar rakyat menghadapi kepayahan dalam semua segi. Jepun terutama askar-askarnya tidak berhati perut. Apa juga kepunyaan rakyat, terutama orang-orang kampung “main rampas” saja. Kalau mereka lalu dalam kampung-kampung berbasikal, semua tanaman yang boleh makan, mereka ambil saja. Mereka tak payah nak minta-minta lagi. Misalnya, kalau dia (askar) lalu disebuah kampung di mana di halaman rumah itu ada tebu, mereka singgah dan mengambil tebu itu. Kalau mereka ingin nak makan kelapa muda, dan mahu minum airnya, mereka jumpa kebun kelapa dalam kampung, mereka main panjat saja. Itulah sikap askar-askar Jepun semasa orang-orang Jepun berperang dengan British pada zaman era tahun 40an, demikian menurut cerita dari mulut orang tua-tua yang masih hidup lagi hingga sekarang. Dalam keluaran yang lalu diceritakan ada sebuah kampung di negeri Melaka, bernama Bukit Lintang. Jepun menggali batu-batu dari lereng-lereng bukit dibawa ke negeri Jepun. Diceritakan dulu, ada tanah perkuburan orang Islam di lereng-lereng bukit itu digali sama, dan tulang-tulangnya dimasukkan ke dalam guni dan di sandarkan di pangkal-pangkal pokok-pokok yang ada dalam kampung tersebut. Kesan dari penggalian kubur-kubur itu, penduduk-penduduk kampung berkenaan, dan kampung-kampung sekitar diserang dengan sejenis wabak semacam penyakit. Gangguan-gangguan dari makhluk halus dan makhluk semacam syaitan berlaku di sekitar kampung-kampung berkenaan. Penduduk duduk dalam keadaan ketakutan dengan adanya gangguan-gangguan itu. Penduduk kampung yang terlibat dengan kejadian tersebut mengadakan perjumpaan. Hasil dari perjumpaan itu mereka berpakat untuk mengadakan upacara “menghalau makhluk halus” itu. Imam, bilal dan tokoh-tokoh agama dalam kampung-kampung berkenaan menyediakan bacaan-bacaan yang diambil dari ayat-ayat suci Al-Quran. Semua penduduk kampung yang terkena dengan “wabak” tersebut mengadakan upacara menghalau itu bermula selepas waktu isyak sehingga ke tengah malam. Mereka berjalan dengan membawa “colok” (obor) melalui sawah-sawah, kebun-kebun kelapa, dan tanah lapang dengan membaca ayat-ayat suci yang diketuai oleh ketua kampung masing-masing. Anak-anak muda turut sama dalam upacara itu sehinggalah waktu tengah malam. Anggota rombongan yang menyertai upacara menghalau itu ada yang bercerita melihat benda-benda yang pelik dan menakutkan. Dalam upacara tersebut, seorang dari anggota rombongan itu akan diminta “Azan”. Kadang-kadang azan itu dilakukan di tengah-tengah sawah, dan kadang-kadang di kawasan tanah lapang. Seorang dari anggota yang pernah azan itu bercerita, semasa dia azan, dia melihat di depan matanya lembaga yang menakutkan. “Lembaga” itu menyeringaikan giginya yang panjang. Rambutnya terhurai panjang. Tetapi oleh kerana semangatnya kuat, kental dan mempunyai sifat berani, dia hanya “pejamkan mata” saja apabila lembaga itu muncul didepannya semasa dia azan. Dia sendiri pun tidak tahu apakah lembaga itu dari “syaitan” atau “jin” yang sengaja mengganggu kerja-kerja menghalau itu. Menurutnya, dia tidak menceritakan kepada orang lain tentang apa yang dilihatnya. “Biarlah saya sendiri mengalaminya,” katanya. Sebab-sebab utama dia tidak memberitahu orang lain, kerana kesannya amat besar sekali. Kalaulah dia membocorkan rahsia apa yang dilihatnya semasa dia azan itu, sudah tentulah tidak ada seorang pun akan menyertai misi ‘menghalau’ itu. Orang ramai terutama penduduk-penduduk kampung tentulah “takut” nak ikut serta, kerana ada “lembaga” yang menakutkan ikut sama dalam upacara “menghalau” itu. Jadi, dia terpaksa mendiamkan diri saja. Biarlah dia seorang saja yang tahu atas pengalaman itu. Kalau saya beritahu dan bercerita kepada orang lain, pada malam-malam berikut tidak ada seorang pun yang ikut sama,” katanya. Upacara “menghalau” itu mengambil masa yang lama juga sehingga gangguan-gangguan itu tidak berlaku lagi dalam kampung-kampung yang terlibat. Apabila keadaan kampung kembali tenang, barulah penduduk-penduduk kampung “berani” keluar malam. Sebelum itu, keadaan kampung “sunyi” bila matahari mula masuk beradu. Penduduk takut nak keluar malam, kerana terlihat bayang-bayangan lembaga-lembaga hitam dan putih kadang-kadang berkeliaran dalam kebun, dan sebab itulah mereka tidak berani keluar malam.

Selanjutnya dapatkan Hidayah April 2012 di pasaran...

No comments: