Monday, April 9, 2012

Tarbiyah Islamiyah Menurut Hassan Al-Banna

Manhaj perubahan sebenarnya bermula dengan pembentukan jiwa yang:
1. Tunduk.
2. Takut.
3. Khusyu’ - kepada Allah s.w.t.
Manhaj (bermakna jalan yang terang) ini ialah suatu unsur yang tidak akan berubah di dalam sesebuah organisasi yang mantap dan ianya bukanlah suatu taktik seperti yang disangka oleh sebahagian manusia. Bahkan manhaj ini merupakan prinsip akhlak dan agama yang tetap selama-lamanya. Sesungguhnya Allah s.w.t. mewariskan bumi ini kepada mereka yang ia kehendaki. Maka prinsip ini akan menolak segala bentuk pendekatan yang bersifat keganasan. Kita berpegang teguh bahawa tarbiyah sebagai jalan yang tiada pilihan lain selain darinya. Ianya merupakan manhaj yang :
1. Bijaksana.
2. Disiplin.
3. Teguh.
Dakwah yang kita bawa pula dikawal dengan hikmah dan nasihat yang baik serta tidak ada unsur-unsur paksaan, kekerasan dan desakan yang melampau. Dakwah ini berdiri di atas kekuatan hujah dan syiarnya berdasarkan firman Allah s.w.t.: “Dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik.” (Al-Baqarah: 83) Penegaknya pula adalah sebagaimana kata-kata Saidina Ali r.a.: “Sesiapa yang lembut kata-katanya, wajiblah mahabbahNya.” Tarbiyah Islamiyah yang kita jalani adalah berasaskan Al-Quran dan As Sunnah melalui pelbagai wasilah sehingga mampu merubah individu yang sekadar bercakap menjadi individu yang beramal. Syiarnya ialah: “Kenalilah Tuhanmu, perbaikilah dirimu dan serulah orang lain. Tegakkan daulah Islam dalam hatimu, nescaya ia akan tertegak di atas muka bumi.”
Tarbiyah ini mempunyai beberapa ciri:
a. Bersifat rabbani.
b. Mempunyai asas yang tetap.
c. Bertepatan dengan fitrah.
d. Merangkumi seluruh aspek kehidupan secara seimbang.
e. Menyatupadukan tenaga-tenaga manusia.
f. Optimis, positif dan praktikal yang dibangunkan di atas asas akidah, ibadat dan syariah.
Semua ciri-ciri di atas diperlukan dalam rangka untuk mencapai kemuliaan insan bagi menegakkan semula tamadun Islam. Daripada asas di atas, maka dibentuk pula keluarga Islam, kemudian masyarakat Islam dan seterusnya kerajaan Islam. Oleh sebab itu, tarbiyah secara perlahan-lahan menjadi antara unsur yang tetap agar kita akan memperolehi individu muslim sebagai titik tolak perubahan sebagaimana yang ditunjukkan oleh manhaj Rasulullah s.a.w. Maka, mengikut Imam Hasan Al-Banna, wasilah untuk melaksanakan tarbiyah sebegitu rupa ialah usrah. Jadi usrah merupakan suatu unsur yang tetap di mana di dalam usrah berlakunya :
1. Ta’aruf.
2. Tafaahum.
3. Takaaful.
Pembetulan mana-mana kesilapan daripada sudut kefahaman atau amal akan dilakukan di dalam usrah. Oleh yang demikian, di dalam usrah, kefahaman akan diperdalamkan lagi. Usrah juga menjadi sebagai wasilah bagi melaksanakan tuntutan ukhuwah. Melaluinya akan kelihatan:
1. Potensi.
2. Kepimpinan.
Di dalamnya, setiap peserta akan dilatih untuk mengenali unsur yang tetap dan unsur yang berubah.
Seterusnya, usrah akan mampu memperkasakan intima’ (penggabungan dengan Islam dan organisasi).
Institusi ini dinamakan usrah kerana mengandungi pengertian:
1. Ketenangan.
2. Kasih sayang.
3. Rahmat.
Ketuanya dinamakan ‘naqib’ sebagai mengikuti tindakan Rasulullah s.a.w. dalam Bai’ah Aqabah yang kedua selepas kepulangan Mus’ab bin Umair dari Madinah bersama tujuh puluh tiga (73) orang lelaki dan dua (2) orang perempuan. Apabila selesai berbai’ah, Rasulullah s.a.w. meminta mereka memilih dua belas orang di kalangan mereka sebagai ‘naqib’. Alangkah bijaknya tindakan Rasulullah s.a.w. itu.

Selanjutnya dapatkan Hidayah April 2012 di pasaran...

No comments: