Tuesday, April 10, 2012

Salam Kami April 2012

ASSALAMUALAIKUM WR.WBT.
SEGALA puji dan syukur kehadrat Allah s.w.t. serta salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Bersyukurlah kita dapat bertemu lagi dalam suasana yang harmoni dan damai ini. Walaupun kita sibuk mengejar kehidupan atau kehidupan itu sendiri mengejar kita, namun kita masih dapat meneruskan kehidupan aman tenteram dalam negara Malaysia yang tercinta ini. Sebagaimana biasa Hidayah menemui anda dengan pelbagai kisah menarik untuk dipaparkan dan dijadikan teladan. Bagi keluaran ini, kita lebih fokuskan mengenai ‘mimpi’. Mimpi bagi kita merupakan perkara biasa dan sebilangannya mengatakan ianya hanya menjadi mainan tidur. Namun perlu disedari bahawa mimpi tidak sama seperti ‘mengigau’ atau ‘merepek’ yang bukan-bukan. Mimpi merupakan suatu perkara yang luar biasa. Ingatlah dengan kisah mimpi Nabi Yusuf a.s. dengan takbir mimpi yang akhirnya meletakkan dirinya digerbang kejayaan.
Begitu jua dengan manusia-manusia pilihan Tuhan yang mendapat petunjuk dan perubahan diri melalui petunjuk mimpi. Itulah mesej yang hendak disampaikan dalam kisah Iktibar 1 bertajuk ‘Isteri derhaka bertaubat’ yang bertitik tolak dari tragedi mimpinya. Dia adalah insan yang bertuah menjadi manusia pilihan untuk mendapat ‘hidayah’. Anda juga perlu mengikuti rencana bertajuk ‘Mimpi suatu yang paling menakjubkan’. Ada manfaatnya anda mengikuti perjalanan mimpi yang dialami oleh Rasulullah s.a.w.
Hidayah juga memaparkan rencana yang khusus mengenai pelbagai doa antaranya bertajuk ‘Mayat perlukan doa dari orang luar’ dan ‘Mencontohi Nabi s.a.w. dan menteladani para pendoa’. Sementara itu anda jangan lupa mengikuti rencana-rencana lain yang tidak kurang hebatnya seperti rencana berkaitan tarekat Sufiah dan Tarbiyah Islamiyah menurut Hassan Al-Banna. Juga ikutilah ruangan ‘nostalgia’ yang kali ini penulisnya memaparkan kisah benar yang dialami oleh penduduk sebuah kampung di Melaka yang diganggu oleh lembaga ganjil kesan dari penggalian kubur selepas perang dunia kedua dulu. Untuk sekian kalinya kami berterima kasih kepada pembaca yang tidak jemu-jemu menghubungi dan menegur salah silap kami selama ini dan memberi idea-idea bernas untuk menjadikan Hidayah sebuah majalah yang terbaik dalam bidang dakwah ini. Teruskanlah memberi sokongan kepada Hidayah yang telah berbelas tahun tampil ke tatapan pembacanya dengan slogan ‘Berdakwah melalui pembacaan’.
Semoga hubungan kita berterusan sampai bila-bila. Allah hu Akbar!
Wassalam!

Pengarang
Shahimisaifulislam@yahoo.com.my

No comments: