Thursday, October 10, 2013

Bercinta Sebelum Berkahwin

PERCINTAAN sebelum perkahwinan menjadi satu trend atau gaya hidup masyarakat Islam akibat dari pengaruh budaya asing dan bukan Islam. Pelbagai istilah telah dinodai oleh penganut ajaran ‘cinta’ ini sehingga perkataan asalnya baik seperti berdua (bercouple) yang asalnya untuk lelaki dan wanita yang telah berkahwin telah dicemarkan dengan penggunaannya kepada maksud remaja/muda mudi atau lelaki dan wanita yang bercinta dan berdua-duaan. Sama seperti perkataan khalwat yang asalnya untuk berkhalwat dengan Allah s.w.t. telah digunakan untuk perkara yang tidak baik iaitu lelaki berdua-duaan/bersunyi-sunyian dengan perempuan yang bukan mahram. Cinta dalam Islam adalah sesuatu yang unik, suci, jujur dan amanah. Ianya tidak akan ada melainkan dengan ikatan perkahwinan yang sah. Islam mengajar umatnya supaya bercinta dalam bentuk yang sah dengan penuh jujur, amanah, menjaga maruah dan beradab. Semuanya tidak wujud dalam cinta sebelum berkahwin. Daripada Ibnu Abbas r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: Kami tidak melihat bagi dua orang yang berkasih sayang seperti perkahwinan. (Ibnu Majah: no. 1847) Cinta dan kasih di antara dua insan tidak dapat menandingi cinta hasil hubungan perkahwinan yang dibina menurut syarak. Cinta yang tidak kena pada tempatnya dan sebelum masanya dianggap sebagai penyakit merbahaya kerana ia lari dari sifat dan cara asalnya. Dalam satu hadis mengenai ada tiga perkara seseorang akan dapat merasai kemanisan iman iaitu apabila dia mencintai Allah dan Rasul melebihi cinta kepada dirinya, dia tidak menyintai seseorang melainkan kerana Allah dan dia benci untuk melakukan maksiat sebagaimana dia benci untuk dicampakkan ke dalam api neraka. Justeru itu sebelum menyintai seseorang atau sesuatu, hendaklah cinta dan kasihnya kepada Allah dan Rasul bertunjang teguh dalam diri. Jika ini berlaku, maka seseorang tidak akan berani menyintai sesuatu yang tidak harus baginya. Cinta sebelum berkahwin mengundang pelbagai kemungkinan. Bermula dengan terpesona dengan wanita atau lelaki. Inilah yang dinamakan fitnah. Apabila penyakit terpesona ini terjadi ia merebak kepada temujanji (dating) atau chatting/twitting/facebooking etc. lalu melarat kepada berdua-duaan dan bersunyian, kemudian menjadi lebih mesra, jadi gurauan dan khayalan. Walaupun pada asalnya dia mempunyai niat yang baik namun, niat yang baik tidak sekali-sekali mengharuskan sesuatu yang tidak harus.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Oktober 2013 di pasaran...

No comments: