Thursday, October 10, 2013

Salam Kami

ASSALAMUALAIKUM WR.WBT.
SEGALA puji dan syukur ke hadrat Allah s.w.t. serta salam  kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Memang sesuatu yang menakjubkan mengenai kekuatan doa. Betapa seseorang yang berdoa, termakbul segera doanya ketika itu juga. Sedangkan ramai yang berdoa, tidak termakbul doanya. Malah hingga akhir hayatnya doa itu tidak diperkenankan. Rupa-rupanya ada hikmahnya bahawa doa itu disimpan untuk kebaikan orang yang berdoa itu di akhirat kelak. Tentu ada hikmahnya apabila Allah berfirman bermaksud: “Berdoalah kepadaKu, nescaya Aku akan kabulkan bagimu...” (Al-mu’min: 60) Kewajipan kita hanyalah berdoa, bermohon dan merayu kepada Allah Yang Maha Esa. Sudah tentu dalam berdoa itu apabila minta ‘kesenangan hidup’ orang yang berdoa itu hendaklah berusaha dan berikhtiar. Bukan duduk berpeluk tubuh di rumah saja. Selebihnya terserah kepada Allah Taala mahu perkenan doa kita atau tidak. Berkaitan doa inilah Hidayah melalui iktibar 1 memaparkan kisah menarik mengenai makbulnya doa seorang nenek terhadap seorang lelaki yang menawarkan pekerjaan untuk cucu perempuannya. Menakjubkan doa nenek diperkenankan waktu itu juga. Anda wajib membaca kisah benar ini untuk memetik hikmahnya. Dalam kisah iktibar lainnya dipaparkan pula kisah seorang lelaki yang mati dalam wajah tersenyum. Senyuman waktu mati bukan boleh dibuat-buat. Ada kelebihannya lelaki tua ini diberi ‘kemuliaan’ meninggal dunia dalam keadaan sedemikian. Mahukah anda mati dalam keadaan tersenyum...? Sementara dalam rencana lain lagi anda wajib membaca fokus komentar ‘Sampai bila mahu berkinja di atas pentas’ yang merupakan satu nasihat kepada para artis dan kita juga agar jangan terus tenggelam dalam dunia glamour dan melupakan ‘dunia akhirat’ tambahan usia sudah menjelang senja. Sesungguhnya banyak rencana lain dalam keluaran ini yang perlu anda hayati dan mengambil manfaatnya. Mengakhiri catatan buat kali ini sama-samalah kita hayati sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: “Takdir tidak ditolak kecuali oleh doa, dan tidak ada yang menambah umur manusia kecuali kebaikan yang dilakukan olehnya...” Terima kasih kepada semua pembaca budiman. Kita berjumpa lagi dalam keluaran akan datang, InsyaAllah
Wassalam!

Pengarang
Shahimisaifulislam@yahoo.com.my

No comments: