Thursday, October 10, 2013

Tidur Nabi Dan Para Wali

ORANG tidur ibarat mati. Mata terpejam, telinga tertutup dan mulutnya terkunci. Sedangkan indera lainnya sama sekali tak berfungsi. Ketika tidur, orang menjadi bisu, tuli dan buta. Kesedarannya benar-benar sirna. Dia tidak ingat apa-apa, lupa dirinya siapa, dan tidak tahu akan Tuhannya. Tentera yang gagah perkasa atau pergerakan yang lincah bicara tidur sama saja. Mereka seperti mati. Bagaimana dengan Nabi s.a.w., makhluk paling mulia di seluruh jagat raya ini? Apakah dia juga suka tidur dan melupakan Tuhan? Bagaimana pula dengan para wali, apakah mereka suka tidur? Jika demikian, apa bezanya dengan manusia lainnya?
Seorang penyair pernah menulis seuntai kalimat indah: “Nabi memang manusia tapi tidak seperti manusia. Dia bagaikan batu mutiara di antara batu sungai.” Syair itu menegaskan bahawa Nabi s.a.w. memang manusia, tapi bukan manusia biasa. Sebagai manusia tentu Nabi s.a.w. suka tidur seperti manusia pada umumnya. Namun tidur baginda tidaklah seperti kebanyakan manusia, baik waktu, cara dan lamanya. Begitu juga para wali mempunyai kebiasaan tidur yang berbeza dengan orang awam.

TIDUR NABI S.A.W.
Nabi s.a.w. sangat menyukai kebersihan lahir, di samping kesucian batin. Bahkan baginda mengatakan kebersihan adalah sebahagian dari iman kepada Tuhan. Kerana itu baginda menyucikan diri bukan hanya ketika mahu solat tetapi juga ketika mahu tidur. Salah seorang sahabat pernah bercerita bahawa Nabi s.a.w. selalu menggosok gigi dan berwuduk sebelum tidur. Ertinya, wajah, telinga, mulut, tangan dan kaki baginda dalam keadaan bersih menjelang tidur. Waktu itu air sulit diperolehi. Masyarakat Arab yang hidup di padang pasir, perlu berjalan kaki beberapa kilometer untuk mendapatkannya. Tentu saja hal ini memakan waktu lama. Kerana itu Nabi s.a.w. selalu menyediakan air bersih sebelum tidur. Dengan begitu akan memudahkan dan mempercepatkan baginda melakukan wuduk atau mandi ketika bangun untuk solat malam. Hal lain yang dilakukan Nabi s.a.w. sebelum tidur adalah berwasiat kepada keluarga tentang perkara yang menjadi tanggungjawabnya dan belum selesai dikerjakan. Nampaknya, Nabi s.a.w. ingin agar keluarganya tahu tentang urusan-urusan yang harus Nabi s.a.w. selesaikan esok hari. Sedangkan tidak ada jaminan bahawa esok harinya baginda masih hidup dan sihat badan. Tidak pernah baginda lupa adalah memohon ampun kepada Allah atas semua dosa baik yang disengaja atau tidak, besar mahupun kecil. Walaupun Nabi s.a.w. sebenarnya terbebas dari dosa, tapi setiap hari baginda selalu beristigfar. Kata salah seorang sahabat baginda beristigfar tidak kurang dari enam puluh kali setiap hari, termasuk ketika mahu tidur. Selain minta ampun. Nabi s.a.w. tak pernah lupa berdoa kepada Allah. Doa yang sering  diucapkan baginda ialah: “...dengan namamu ya Allah yang telah menghidupkan dan mematikan.” Kata sahabat yang lain, sebelum tidur baginda berzikir dengan membaca surah: Al-Ikhlas: (Katakanlah: Dialah Allah Yang Maha Esa, Allah tempat berlindung, tidak beranak dan tidak diperanakkan dan tidak ada sesuatu pun yang menyerupaiNya)
Al Nash: (Katakanlah: Aku berlindung kepada Tuhan manusia, Raja manusia, dari kejahatan bisikan syaitan, yang suka membisikan pada dada manusia, dari golongan jin dan manusia)

Selanjutnya dapatkan Hidayah Oktober 2013 di pasaran...

No comments: