Thursday, March 13, 2014

Fahami Hukum Berjabat Salam Dan Mencium Tangan

1. Hukum Berjabat Tangan Bersalam
ABU QATADAH Abu berkata, aku bertanya kepada Anas r.a.: “Apakah para sahabat Rasulullah s.a.w. dahulu saling berjabat tangan” Dia menjawab: “Ya.” (HR. Bukhari) Dari al-Barraa’ bin Azib r.a., katanya telah sabda Rasulullah s.a.w.: “Tidaklah dua orang Islam bertemu lalu saling bersalaman/berjabat tangan, melainkan diampuni dosa keduanya sebelum mereka berpisah.” (HR. Abu Daud, al-Tarmizi & Ibnu Majah)
Dari Athaa’ bin Abdullah al-Khurasani, katanya Nabi s.a.w. telah bersabda: “Hendaklah kamu saling berjabat tangan, nescaya hilanglah rasa dengki. Hendaklah kamu saling memberi hadiah, nescaya kamu saling mencintai dan hilanglah permusuhan.” (Hadis Mursal riwayat Imam Malik) Dari al-Barra’ bin al-Azib r.a., katanya, telah bersabda Rasulullah s.a.w.: “Sesungguhnya jika dua orang Islam bertemu, lalu saling berjabat tangan, saling mengasihi dan saling menasihati, nescaya bertebaranlah dosa-dosa yang ada pada kedua orang itu.”? (HR. Ibnu Sunni) Hadis di atas adalah di antara hadis yang menunjukkan bahawa berjabat tangan ketika bertemu adalah sunat hukumnya.

2. Hukum Mencium Tangan

Al-Nawawi mengatakan bahawa dianjurkan agar mencium tangan orang yang kemuliaannya disebabkan oleh perkara yang bersangkut paut dengan agama. Seperti seorang yang zuhud, alim/ulamak, salih, warak dan sebagainya. Ini termasuklah kedua ibubapa kita yang muslim. Dimakruhkah mencium tangan seseorang yang dipandang mulia dengan sebab-sebab keduniaan, seperti orang kaya, orang yang berpangkat, berkedudukan tinggi dan sebagainya. Perbuatan ini amat tidak disukai. Dari Zari’r.a., yang termasuk di dalam rombongan Abdul Qais, dia berkata: “Kamipun berlumba-lumba turun dari kenderaan kami, lalu kami mencium tangan dan kaki Nabi s.a.w.”

3. Hukum Membongkokkan Badan
Adalah dimakruhkan membongkokkan badan kerana mahu menghormati seseorang. Dari Anas r.a., katanya: Seorang lelaki bertanya: Wahai Rasulullah s.a.w., jika seseorang dari kita bertemu saudaranya atau temannya, apakah dia perlu membongkok kepadanya? Baginda menjawab: “Tidak.” Orang itu bertanya: “Apakah dia perlu memeluk dan menciumnya?” Baginda menjawab “Tidak.” Orang itu bertanya: “Apakah perlu dia memegang tangannya dan bersalam dengannya?” Baginda menjawab: “Ya.” (HR. al-Termizi)
Hadis di atas bermaksud:
1. Makruh membongkokkan badan kepada seseorang.
2. Makruh memeluk dan mencium seseorang kecuali jika kembali dari permusafiran.
3. Sunat berjabat tangan ketika bertemu.
Kita sering melihat mereka yang berada di atas pentas kerana berucap atau membuat persembahan. Sebelum atau selepas berucap atau membuat persembahan, mereka akan menundukkan badan sebagai tanda hormat kepada para hadirin. Perbuatan ini adalah dimakruhkan.

4. Hukum Bersujud Kepada Selain Allah
Umat Islam dilarang bersujud kepada selain dari Allah, sama ada berbentuk peribadatan atau penghormatan sahaja. Jika ditanya, bagaimana dengan sujud para malaikat kepada Adam? Bukankah itu sujud dari makhluk kepada makhluk? Jawab: Sujud yang dilakukan oleh para malaikat kepada Adam bukanlah sujud yang berbentuk penyembahan (ibadah), tetapi sebagai penghormatan. Perkara ini disepakati oleh para ahli tafsir. Lagi pula sujud malaikat kepada Adam adalah atas titah perintah Allah yang wajib dipatuhi.
Sehingga kita sendiri pun, jika seandainya Allah memerintahkan kita agar sujud kepada seseorang, kita wajib mematuhinya. Jika perintah sujud itu diperintahkan oleh selain Allah, maka haram melakukan. Sabda Rasulullah s.a.w.: “Seandainya aku diperintahkan agar seseorang itu boleh sujud kepada seseorang lain, nescaya aku akan memerintahkan perempuan sujud kepada suaminya.” (HR. al-Termizi)

Selanjutnya dapatkan Hidayah Mac 2014 di pasaran...

No comments: