SAAT darah yang menandakan seorang perempuan haid tidak ada lagi, wajib baginya untuk segera bersuci. Ini dilakukan agar dia boleh kembali seperti semula mengerjakan amalan ibadahnya. Jika hal tersebut tidak cepat dilakukan, dia bukan saja berdosa lantaran sengaja menunda-menunda kewajiban beribadah. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w., “Apabila kamu sedang mengalami haid, maka tinggalkanlah solat dan apabila telah berhenti, maka mandi dan solatlah. “ (HR. Bukhari) Sebagaimana diketahui bahawa haid adalah salah satu najis yang menghalangi wanita untuk melaksanakan ibadah solat dan puasa. Maka bila dia telah selesai dari haid, dia pun diperintahkan untuk segera bersuci, atau lazimnya disebut mandi haid. Mandi yang bukan sekadar mandi biasa, melainkan mandi dengan serangkaian tata cara khusus yang menandakan bahawa seorang wanita haid telah suci dari haidnya. Dengan begitu, dia boleh kembali menjalankan ibadahnya, baik wajib mahupun yang sunnah.
Beberapa ketentuan yang dinyatakan berikut adalah cara-cara yang dianggap baik menurut para ulama yang juga disandarkan pada sejumlah hadis-hadis Nabi. Dengan melaksanakannya, kaum perempuan yang bersuci dari haidnya diharapkan lebih terjamin dalam menjalankan ibadahnya. Berada dalam keadaan yang suci, siap secara lahir mahupun batin kembali beribadah.
Mandi Haid
Dalam Fiqih Lima Mazhab karya Muhammad Jawad Mughniyah, tata cara mandi haid adalah sama dengan mandi junub, baik dari segi airnya, wajib dengan menggunakan air muthlak (suci dan mensucikan), wajib suci badannya, dan tidak ada sesuatu yang mencegah sampainya air ke badan, niat, memulai dari kepala, kemudian dari bagian tubuh yang kanan, lalu bagian tubuh yang kiri. Hal ini disepakati oleh imam mazhab yang empat (mazbah Syafi’i, Maliki, Hanbali dan Hanafi). Adapun mazhab Imamiyah menyatakan, dengan menceburkan semua badan sekaligus ke dalam air pun sebenarnya sudah mencukupi (dianggap telah bersuci). Selain pendapat imam mazhab di atas, kesimpulan dari beberapa hadis pun menekankan hal-hal sebagai berikut:
1. Membaca bismilah, dengan niat menghilangkan hadas besar melalui mandi. Selanjutnya membasuh kedua telapak tangan tiga kali.
2. Lalu beristinja’ dan membersihkan segala kotoran yang terdapat pada kemaluan.
3. Disunnahkan untuk berwuduk dan menyempurnakan wuduknya (dimulai dengan bahagian yang kanan), seperti hendak melaksanakan solat. Akan tetapi, bila tidak memungkinkan, berkumur dan ber-istinsyaq di sela-sela kegiatan sebelum mandi pun dianggap telah mencukupi.
4. Menyiramkan air ke atas kepala tiga kali, menggosok-gosokkannya sampai air mengenai pangkal rambut. Lalu mengguyurkan air ke badan, dimulai dengan bahagian yang kanan, lalu dilanjutkan dengan bahagian yang kiri. Alangkah baiknya ketika menyela-nyela rambut tersebut dicampur dengan sabun, shampoo atau alat pembersih lainnya. Dari ‘Aisyah r.a. beliau berkata: “Kami (isteri-isteri Nabi) apabila salah seorang diantara kami junub, maka dia mengambil (air) dengan kedua telapak tangannya tiga kali lalu menyiramkannya di atas kepalanya, kemudian dia mengambil air dengan satu tangannya lalu menyiramkannya ke bahagian tubuh kanan dan dengan tangannya yang lain ke bahagian tubuh yang kiri.” (HR. Bukhari dan Abu Daud) Saat mandi, penting juga diperhatikan bahagian ketiak, lutut dan pusat, sehingga bahagian-bahagian tersebut benar-benar terkena air. Demikian juga dengan kulit kepala.
5. Tidak wajib membuka jalinan rambut ketika mandi (terutama jika jalinan rambut sulit untuk diuraikan). Seorang wanita tidak wajib menguraikan (melepaskan) jalinan rambutnya ketika mandi kerana junub, berdasarkan hadis berikut: Aku (Ummu Salamah) berkata: “Wahai Rasulullah, aku adalah seorang wanita, aku menguatkan jalinan rambutku, maka apakah aku harus menguraikannya untuk mandi kerana junub?” Baginda bersabda: “Tidak, cukup bagimu menuangkan air ke atas kepalamu tiga kali kemudian engkau mengguyurkan air ke badanmu, kemudian engkau bersuci.” (HR. Muslim, Abu Daud, an-Nasa’i, Tirmidzi)
Bersamaan dengan hal di atas, Syeikh Mushthafa Al-’Adawy pun menyatakan bahawa, “Wajib bagi wanita untuk memastikan sampainya air ke pangkal rambutnya pada waktu mandinya dari haid baik dengan menguraikan jalinan rambut atau tidak. Apabila air tidak dapat sampai pada pangkal rambut kecuali dengan menguraikan jalinan rambut, maka dia (wanita tersebut) menguraikannya - bukan kerana menguraikan jalinan rambut adalah wajib - tetapi agar air dapat sampai ke pangkal rambutnya, Wallahualam.” (Dinukil dari Jaami’ Ahkaam An-Nisaa’).
Selanjutnya dapatkan Hidayah Disember 2011 di pasaran...
Tuesday, December 13, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment