MEMBACA khutbah pada sembahyang Jumaat termasuk satu dari rukun sah sembahyang Jumaat. Orang yang tidak mendengar atau sengaja tidak mahu mendengar khutbah, sembahyang Jumaatnya kurang satu rukun. Sebahagian ulama berkata: Khutbah yang paling baik adalah khutbah yang sesuai dengan isu semasa. Misalnya, pada bulan Ramadan hendaklah khatib membahas masalah hukum dan segala sesuatu yang berkaitan dengan puasa. “Dan pada hari raya aidilfitri pula khatib hendaklah membicarakan masalah zakat fitrah, pada hari raya korban khatib hendaklah bercakap masalah hukum penyembelihan. “Semua itu berhubung dengan konteks masa dan waktu atau pendengar. Masalah pendengar ini ialah khatib hendaklah mengetahui bahawa setengah dari masalah penduduk malas untuk mendengar majlis ilmu. “Dalam masalah ini khatib hendaklah menganjurkan jemaah supaya rajin untuk menuntut ilmu, atau pun kalau setengah penduduk setempat mengabaikan pendidikan anak-anak, maka khatib hendaklah menyentuh atau membicara isu tersebut,” kata para ulama. Kadang-kadang apa yang kita dapati sekarang ini khutbah Jumaat tidak mengkikut isu semasa, atau pun membicara hal-hal setempat. Ada setengah khutbah bercakap tentang masalah politik semasa. Dalam negara kita, khutbah Jumaat (teks khutbah) disediakan oleh Jabatan Agama Islam setiap negeri. Khatib hanya naik di atas mimbar untuk membacakan saja teks khutbah yang sudah disiapkan itu. Itulah sebabnya, ada sebahagian dari teks khutbah Jumaat tidak ikut perkembangan semasa. Pernah suatu waktu dulu dimana khatib membaca khutbah dengan mengingatkan jemaah supaya “berjimat air”. Kerana ketika itu musim panas, dan hujan tidak turun untuk beberapa hari. Ketika khatib membaca khutbah itu dengan menyeru orang ramai berjimat air kerana musim panas, di luar pada masa itu hujan sedang turun dengan lebatnya disamping kilat dan petir sabung menyabung.
Jadi khatib cuma membaca saja, sedangkan khatib tidak fikirkan pada masa dan ketika hujan sedang turun. Sepatutnya bahagian itu tidak perlulah dibaca. Ada sebuah kitab berjudul “Ishlaahulmasaajid Minalbida’ Wal’awasa’id” yang membahaskan masalah “perbuatan-perbuatan” yang tidak mengikut sunnah Rasulullah s.a.w. di dalam masjid dibahaskan setiap perkara itu dengan jelas dan terang. Mengenai sembahyang Jumaat dan khutbah ini kitab tersebut telah membuat penghuraian yang penjang lebar dari soal membaca khutbah, imam naik mimbar, muazin berselawat dan hal-hal yang berkait dengannya. Soal muazin membaca doa diantara dua khutbah sebagaimana yang berlaku sekarang, kitab tersebut menjelaskan bahawa ini termasuk yang sudah ditetapkan dalam kajian fiqih jika khatib telah naik ke atas pentas (mimbar) maka tidak di awali (dimula) terlebih dahulu dengan bacaan selawat dan juga dengan menguatkan suara membaca doa. Tujuannya adalah untuk bersedia untuk mendengar khutbah yang akan disampaikan oleh khatib, atau pun sekurang-kurangnya menghormati majlis tersebut untuk bersikap khusyuk dalam ibadah yang bersifat mingguan ini. Kitab tersebut menyebutkan juga bahawa ahli fiqih telah sepakat tentang larangan menguatkan suara bacaan zikir atau pun doa pada waktu itu.
Para ahli fiqih sama sekali tidak berselisih pendapat dalam masalah ini kerana semua dalil yang dijadikan sandaran hukumnya bersumberkan dari Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Jika kamu berkata kepada sahabatmu pada waktu Jumaat (Maksudnya pada waktu melaksanakan solat Jumaat) “Diamlah! Padahal pada waktu itu imam sedang berkhutbah, maka dia telah kehilangan pahala solat Jumaat.” (Hadis sahih yang telah diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim serta para perawi lainnya dari hadis Abu Hurairah. Dalam kitab tersebut Rasulullah s.a.w. telah menyebutkan hilangnya pahala orang-orang yang menyuruh rakannya “Diam!” iaitu bercakap ketika khatib sedang membaca khutbah. Ini menunjukan betapa pentingnya mendengar khutbah, sehingga mengatakan rakan sebelah supaya “diam” pun dianggap mungkar yang boleh menghilangkan pahala Jumaat tersebut. Sekarang ini perbuatan tersebut ada juga berlaku dan terjadi dikalangan jemaah kita semasa Khatib sedang berkhutbah. Malah diantaranya “bercakap-cakap atau pun berbual-bual.” Ini menunjukan setengah dari kita yang menghadiri sembahyang Jumaat itu tidak punya ilmu.
Selanjutnya dapatkan Hidayah Disember 2011 di pasaran...
Monday, December 12, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment