SOLAT dhuha ialah solat sunat yang dikerjakan pada waktu matahari sedang naik. Dhuha secara bahasa adalah ‘terbit’ atau ‘naik’. Disunahkan melaksanakan pada waktu matahari naik agak tinggi dan panas agak terik atau seperempat siang. Sekurang-kurangnya solat ini dua rakaat, boleh empat rakaat, enam rakaat, dan maksimanya lapan rakaat. Namun ada juga yang menyebut boleh dilakukan 12 rakaat. Ulama Hanafiah memberi batas bahawa solat ini boleh dilaksanakan sampai 16 rakaat. Sementara ulama Syafiiah menyebut jika solat ini dilakukan lebih 8 rakaat maka rakaat lebih itu terhitung solat Mutlaq. Abu Said r.a.berkata: “Rasulullah s.a.w. selalu melaksanakan solat dhuha sampai-sampai kita mengira bahawa baginda tidak pernah meninggalkannya, tetapi jika telah meninggalkan sampai-sampai kita mengira bahawa baginda tidak pernah mengerjakannya.” (HR. Termizi) Zaid bin Arqam r.a. berkata: “Nabi s.a.w. keluar menuju tempat Ahli Quba, di kala itu mereka sedang mengerjakan solat dhuha. Baginda lalu bersabda:‘inilah solat orang-orang yang kembali kepada Allah, yakni di waktu anak-anak unta telah bangkit kerana kepanasan waktu dhuha’.” (HR. Ahmad, Muslim dan Termizi)
Dalil yang menyebut bilangan rakaatnya dua adalah hadis sebagai berikut: Abu Hurairah r.a. berkata: “Kekasihku Rasulullah s.a.w. berpesan kepada saya supaya berpuasa tiga hari setiap bulan, solat dhuha dua rakaat, dan solat witir sebelum tidur.” (HR. Bukhari dan Muslim) Dalil empat rakaat adalah hadis berikut: “Aisyah r.a. berkata: “Rasulullah s.a.w. biasa melaksanakan solat dhuha empat rakaat, dan kadang-kadang melebihi dari itu sekehendak Allah.” (HR. Muslim) Dalil lapan rakaat: “Bahawa Nabi s.a.w. mengerjakan solat dhuha sebanyak lapan rakaat dan tiap-tiap dua rakaat bersalam.” (HR. Abu Daud) Dalil dua belas rakaat: “Dari Anas r.a. ia berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: ‘Barang siapa yang solat dhuha dua belas rakaat, nescaya Allah akan mendirikan rumah baginya di syurga.” (H.R. Termizi)
Fadhilat
Slat dhuha memiliki banyak fadhilatnya. Hingga membiasakan mengamalkannya adalah amal yang baik. Dhuha boleh dipandang sebagai rasa terima kasih hamba kepada Allah s.w.t. atas demikian banyak berkat hidup yang Dia berikan. Solat ini bahkan dalam salah satu hadis Nabi s.a.w. boleh mengganti sedekah kita. Fadhilat yang termasyhur adalah boleh membuka pintu rezeki. Nabi Muhammad s.a.w. bersabda dalam sebuah hadis yang berasal dari Abu Hurairah r.a.: “Siapa saja yang dapat mengerjakan solat dhuha secara rutin (istiqamah) maka akan diampuni dosanya oleh Allah, sekalipun dosa itu sebanyak buih di lautan.” (HR. Termizi) Nabi s.a.w. juga bersabda dalam hadis lain dari Nuwas bin Sam’an: “Allah berfirman: Wahai anak Adam, jangan sekali-sekali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (yakni solat dhuha), nanti pasti akan Kucukupkan keperluanmu sampai petang harinya.” (HR. Hakim dan Tabrani) Abu Zar r.a. berkata: “Rasulullah s.a.w. bersabda: “Hendaklah masing-masing kita setiap pagi bersedekah untuk persendian atau ruas tulang badan. Maka tiap kali bacaan tasbih, tahmid, tahlil, serta setiap takbir adalah sedekah, menyuruh kebaikan dan melarang kejahatan adalah sedekah dan sebagai ganti itu semua, cukuplah mengerjakan solat dhuha dua rakaat.” (HR. Ahmad, Muslim dan Abu Daud) Abu Hurairah berkata bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: “Bahawasanya di syurga ada pintu yang dinamakan “Dhuha”. Maka jika kelak hari kiamat datang, berserulah malaikat: ’Manakah orang-orang yang telah melaksanakan solat dhuha?’ Inilah pintu kamu, silakan masuk ke dalam dengan rahmat Allah.” (HR. Thabrani)
Pelaksanaan Solat Dhuha
Rasulullah s.a.w. melakukan solat Dhuha dengan memperpanjang bacaan surah pada tiap rakaatnya. Sebagai solat sunnah boleh dilakukan dua rakaat atau empat rakaat dengan sekali salam. Namun Imam Syafi’i menyebut solat sunnah di malam dan pagi hari lebih baik dua rakaat dengan sekali salam. Ini berdasarkan sebuah hadis riwayat Thabrani. Shalat Dhuha dapat dilaksanakan dengan berjemaah. Ini berdasarkan hadis riwayat Bukhari-Muslim. Dikisahkan suatu ketika Nabi s.a.w. pergi ke rumah Itban. Itban sendiri telah memohon kepada Nabi s.a.w. agar baginda bersedia solat di rumahnya. Ketika Nabi s.a.w. solat para sahabat membentuk shaf dan solat berjemaah bersama baginda. Surat-surat yang dibaca pada tiap-tiap rakaat boleh mana saja yang kita anggap mudah. Ada ulama yang menyarankan membaca surat adh-Dhuha, asy-Syams, al-Kafirun, al-ikhlas, Ayat Kursi dan lain-lain lagi.
Niat Solat
Niat solat Dhuha adalah: “Aku niat solat sunat dhuha dua rakaat, kerana Allah taala.”
Doa Shalat Dhuha
Doa yang dibaca setelah selesai solat dhuha adalah sebagai berikut: “Ya Allah, waktu dhuha ini adalah waktu dhuhaMu, kemegahan ini adalah kemegahanMu, keindahan ini adalah keindahanMu, kekuatan ini kekuatanMu, kekuasaan adalah kekuasaanMu, dan perlindungan ini adalah perlindunganMu. Ya Allah, jika rezekiku masih di atas langit turunkanlah, jika ada di bumi keluarkanlah, jika sukar mudahkanlah, jika haram sucikanlah, jika masih jauh dekatkanlah, berkat waktu dhuha, keagungan, keindahan, kekuatan dan kekuasaanMu, limpahkanlah kepada kami seperti yang telah Engkau limpahkan kepada hamba-hambaMu yang salih.” Doa lain: “Ya Allah, penuhilah hajatku, berilah aku seperti yang telah Engkau berikan kepada hamba-hambaMu yang salih-salih.” “Ya Allah, berilah kami kebahagiaan di dunia dan kesejahteraan di akhirat dan jauhkanlah kami dari api neraka.” “Ya Allah, limpahkanlah rahmat atas junjungan kita Nabi Muhammad dan keluarganya serta sahabat-sahabatnya. Segala puji bagi Allah Tuhan pemelihara alam semesta.”
SOLAT TAHAJUD
Solat Tahajud sangat disunnahkan sebab waktu malam memang sangat ditekankan untuk melaksanakan solat. Nilainya demikian tinggi. Nabi s.a.w. dalam sebuah hadis riwayat Muslim menyebut setelah solat fardu maka solat yang utama adalah solat malam. Dalilnya ada dalam al-Quran dan hadis. Solat ini dikupas dalam Az-Zariyat: 17-18, QS. As-Sajdah: 16-17, dan QS. Az-Zumar: 9 dan masih banyak lagi lainnya. Masih banyak lagi ayat al-Quran yang menjelaskan tentang solat Tahajud. Banyaknya solat Tahajud yang dikupas dalam ayat suci ini tidak diragukan lagi menunjukkan kualitinya bagi diri kita, baik secara fizik mahupun bukan-fizik. Menurut Yazid bin Abban Ar-Raqasi, solat Tahajud itu dapat menyihatkan mata. “Tumpuan pelaksanaan untuk Tahajud menyejukkan mata ahli ibadah sementara tumpuan pelaksanaan puasa menyenangkan hati mereka ketika bertemu Allah,” ujarnya. Bahkan, menurut Yahya bin Muadz Ar-Razi, solat Tahajud (malam) merupakan salah satu ubat dari sekian ubat penyakit yang ada. Menurutnya, “Ubat penyakit ada lima perkara, iaitu membaca al-Quran dengan difikirkan maknanya, mengosongkan perut, solat malam, merendahkan diri kepada Allah di waktu fajar, dan bergaul dengan orang-orang salih.” Allah s.w.t.berfirman: “Hendaknya engkau gunakan sebahagian waktu malam itu untuk solat tahajjud, sebagai ibadah tambahan bagimu, mudah-mudahan Tuhan mengangkatmu ke tempat yang terpuji.” (QS. Al-Isra’: 79) Selanjutnya firman Allah s.w.t.: “Lambung mereka jauh dari tempat tidurnya, sedang mereka berdoa kepada Tuhannya dengan rasa takut dan menaruh harapan dan mereka menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami berikan.” (QS. As-Sajdah: 16) Mereka yang tersungkur dalam sujud saat malam gelita adalah orang-orang yang terpuji di sisi Allah. Kerana hanya mereka yang diberi petunjuk, keikhlasan serta ketundukan yang penuh yang menjaga solat malam. Adapun hadis-hadis yang dijadikan dasar amalan ini cukup banyak. Antaranya: “Kerjakan solat malam, sebab itu adalah kebiasaan orang-orang salih sebelummu dahulu, juga suatu jalan untuk mendekatkan diri kepada Tuhan, juga sebagai penebus kejahatan-kejahatan (dosa), pencegah dosa serta dapat menghindarkan dari penyakit.” (HR. Termizi dan Ahmad)
Selanjutnya dapatkan Hidayah Disember 2011 di pasaran...
Monday, December 12, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment