Wednesday, August 8, 2012

Ilmu Agama Diajarkan Ganti Wang Ringgit

MENGENAI hadis Nabi s.a.w. yang panjang ada menyebut tentang 72 perkara akan terjadi di mana  menunjukkan kiamat tidak lama lagi. Banyak perkara yang disebutkan dalam hadis tersebut sudah pun wujud dalam masyarakat kita sekarang. Pak Syeikh berpendapat bahawa “tanda-tanda” yang diberitahu oleh Rasulullah mengenai hal itu, janganlah kita pandang dalam negara kita sahaja, tetapi sebaliknya kita hendaklah melihatnya kejadian tersebut berlaku dalam negara-negara luar juga. Misalnya, terjadi pertumpahan darah iaitu perang. Di negara-negara Arab terjadi perang dan pertumpahan darah, walau pun dalan negara kita tidak terjadi. Kerajaan yang dilantik sebagai kerajaan zalim berlaku di negara-negara luar sana. Lihat contoh Mesir, Libya, Yaman dan beberapa buah negara lain di mana pemimpin-pemimpinnya telah melakukan kezaliman dengan membunuh rakyatnya semata-mata untuk mengekalkan kekuasaan mereka, walau pun di negara kita tidak terjadi semuanya itu. Dalam hadis yang panjang itu Rasulullah ada menyebutkan juga tentang bagaimana “ilmu agama” yang dituntut oleh para ulama sekarang bukan kerana mahu menyebarkan agama Allah, tetapi kerana “dirham” dan “dinar”. Pak Syeikh fikir bab ini ada berlaku dalam negara-negara Islam lainnya termasuklah di Malaysia. Sekarang ini, orang menuntut ilmu agama dan mengajar ilmu agama bukan kerana mahu menyebarkan “agama Allah” tetapi mahu cari wang ringgit. Kadang-kadang ada sebahagiannya terpaksa “berbohong” dengan menggunakan nama agama kerana “Wang dan ringgit.” Pak Syeikh ada dengar cerita ada sesetengahnya pula akan membuat tawaran. Mereka yang bayar lebih, maka yang bayar lebih itulah akan didahulukan. Yang bayar sedikit tak sampai angka “ribu”, tunggu dulu “next week”  atau pun bila-bila ada jadual kosong. Itulah di antara yang Rasulullah s.a.w. sebutkan dalam hadis di mana Nabi beritahu kepada orang yang bertanya tentang “tanda-tanda” kiamat itu, maka Nabi menjawab sebelum terjadi “72 perkara” dalam hadisnya itu. Para tokoh agama kita tak baca ke hadis yang panjang ini? Pak Syeikh tak fikir mereka tidak baca, kerana bab ini ada dihuraikan dalam bab “Hari akhirat”. Apabila para ustaz kita memberikan kuliah agama yang membicarakan hal kiamat, tentulah bab tanda-tanda kiamat itu akan disentuh, dan hadis ini terkenal dalam kitab-kitab agama.

Selanjutnya dapatkan Hidayah 2012 di pasaran...

No comments: