Thursday, August 9, 2012

Salam Kami

ASSALAMUALAIKUM WR.WBT.
SEGALA puji dan syukur ke hadrat Allah s.w.t. serta salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Alhamdulillah...bulan yang dinanti-nantikan muncul jua. Walaupun telah sekian kali menjadi ‘tetamu Ramadan’ namun debarnya tetap terasa. Khudus dan mendamaikan. Bersyukurlah kerana kita antara yang diizinkan oleh Allah Taala untuk bersama-sama di bulan mulia ini. Ramai saudara mara, sahabat handai dan jiran tetangga kita sudah tidak ada lagi di dunia ini, namun kita masih terus bernafas dan diberi kesihatan sihat walafiat untuk menunaikan ibadat puasa Ramadan. Hidayah juga turut menemui anda dengan resepinya yang tersendiri. Kisah-kisah iktibar kali ini memaparkan antara lain mengenai seorang bomoh palsu yang akhirnya bertaubat setelah memperdayakan sekian jumlah mangsanya dan dia juga nyaris menjadi korban dari mereka yang ditipunya. Namun dalam iktibar berikutnya pula kisah seorang penghulu yang salih yang menemui ajalnya dalam keadaan husnul Khatimah menjadi penyejuk dada kita. Semoga kebaikan dan kesalihannya dapat menjadi ikutan kepada kita bersama. Sementara itu dalam iktibar 3, dipaparkan pula bagaimana seorang wanita suri rumah terpedaya dengan seorang dukun durjana yang menodai kehormatannya hingga menyebabkan wanita itu menjadi ‘orang bingung’. Begitulah warna warni kehidupan ini. Ianya berlaku dimana-mana. Di sekitar kita dan ditengah masyarakat yang penuh dengan cubaan dan pancaroba ini. Pembaca budiman, kami juga mengalu-alukan anda membaca rencana bertajuk ‘Gambaran orang-orang berdosa dalam kubur’, ‘Diakhir zaman nanti matahari enggan terbit’, ‘Sekelumit catatan umrah’ dan lain-lain lagi dengan harapan ianya akan dapat memberi keinsafan bersama. Terima kasih kepada pembaca yang menghubungi kami melalui e-mail, telefon dan surat untuk memberi kritikan dan pandangan bernas untuk kebaikan Hidayah. Benarlah, tanpa pembaca (tanpa anda) Hidayah tidak akan wujud menjangkau usia belasan tahun sekarang ini. Jutaan terima kasih atas sokongan baik anda itu. Semoga kita memperolehi pahalanya bersama.
“Selamat menjalani ibadat puasa Ramadan 1433”
Kita berjumpa lagi dalam keluaran akan datang.
Wassalam.

Pengarang.
Shahimisaifulislam@yahoo.com.my

No comments: