Wednesday, August 8, 2012

Rejab Ada Kaitan Dengan Peristiwa Israk Mikraj

REJAB telahpun berlalu. Namun bulan ini akan terus datang pada tahun mendatang. Kerana itu kita jangan ketinggalan untuk mengetahui keistimwaan bulan Rejab itu. Zaman dulu, bangsa Arab sangat memuliakan bulan ini. Secara bahasa, Rejab boleh bererti mulia, boleh juga diertikan dengan agung. Namun ada pula yang menyebut bahawa Rejab adalah bulan yang terdiri dari Ra-Jim-Ba, yang masing-masing bererti Rahmatullah, Jarmil ‘Abdi dan Birrullahi Ta’aala. Selain itu, ada pula yang menyebutkan bahawa Rejab merupakan singkatan dari Rasulullah, Jibril dan Buroq, mengingat pada bulan ini ada satu peristiwa luar biasa yakni Israk Mi’raj Rasulullah bersama Malaikat Jibril dengan kenderaan Buroq. Wallahualam. Di dalam Quran disebutkan bahawa Rejab termasuk satu dari empat bulan yang mulia (syahrul hurum). Allah berfirman dalam QS. At-Taubah: 36, “Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu, dan perangilah kaum musyrikin itu semuanya sebagaimana mereka pun memerangi kamu semuanya, dan ketahuilah bahawasanya Allah beserta orang-orang yang bertakwa.” Ulama sepakat bahawa empat bulan yang dimaksudkan dalam ayat di atas adalah Rejab, Zulkaedah, Zulhijjah, dan Muharram. Sedangkan bulan Ramadan adalah bulan istimewa (syahrul mubarak). Menurut Ibnu Abbas r.a., melakukan maksiat pada bulan-bulan tersebut dosanya lebih besar dan bila ada amal salih (kebaikan) yang dilakukan akan menuai pahala yang lebih banyak. Lalu, amalan apa saja yang mesti kita lakukan ketika bulan Rejab tiba? Dalam riwayat Anas bin Malik disebutkan, bahawa beliau berkata, “Ketika tiba bulan Rejab, Rasulullah s.a.w. biasa mengucapkan “Ya Allah, berkahilah kami di bulan Rejab dan Syaaban dan perjumpakanlah kami dengan bulan Ramadan.” Selain itu, kerjakanlah  sunnah solat dan puasa sunnah. Diterangkan dalam hadis riwayat Bukhari dan Muslim bahawa di syurga ada sebuah sungai yang bernama “Sungai Rejab” yang airnya putih dari susu, rasanya manis lebih manis dari madu dan baunya harum lebih harum dari minyak wangi yang terharum. Barang siapa yang berpuasa di bulan Rejab, maka ia dapat memanfaatkan sungai tersebut.
Ada satu kisah menakjubkan tentang keistimewaan bulan Rejab yang diceritakan dalam Kitab Zubdatul Wa’idin. Dari Tsauban dan ia berkata, “Adalah kami pernah bersama Rasulullah s.a.w. melewati suatu kuburan, lalu beliau (Rasulullah) menangis dan berdoa.” Ketika ditanyakan kepada Rasulullah, baginda menjawab, “Ya Tsauban, mereka yang berada di dalam kubur sedang menderita kerana seksaan, lalu aku berdoa kepada Allah untuk meringankan seksa mereka.” Kemudian sabdanya, “Ya Tsauban, seandainya mereka berpuasa sehari di bulan Rejab, dan tiada tidur di malam harinya, pasti mereka tidak akan menderita seksa kubur.” Lalu aku pun bertanya, “Ya Rasul, benarkah berbuat demikian dapat meringankan seksa kubur?” Jawabnya, “Ya Tsauban, demi Allah yang mengutusku menjadi Nabi, tiada seorang muslim lelaki ataupun wanita puasa sehari di bulan Rejab dan beribadah di malam harinya secara ikhlas kerana Allah, kecuali Allah akan mencatatnya seperti ibadah satu tahun, puasa di siang hari dan beribadah/solat di malam harinya.”

Selanjutnya dapatkan Hidayah Ogos 2012 di pasaran...

No comments: