“Ya Nabi, salaam ‘alaika.
Ya Rasul salaam ‘alaika...”
“Ya Habib, salaam ‘alaika. Shalawatullah ‘alaika...”
[Wahai Nabi, semoga kesejahteraan
tetap melimpah kepadamu.
Wahai Rasul, semoga kesejahteraan tetap melimpah kepadamu.
Wahai kekasih, semoga kesejahteraan tetap melimpah kepadamu.
Rahmat Allah semoga tetap
tercurah kepadamu.]
Biarkanlah senandung selawat itu membasahi bibir anda. Biarkanlah ianya merasuk ke dalam sukma, mengisi renik-renik jiwa anda. Dan terimalah damai dan syahdu yang menghalus menyelinap ke dalam relung-relung kalbu anda. Tak perlu sedu sedan yang dipaksa, tak usah. Kerana ianya akan hadir tanpa diminta bersama gema suara anda. Semangat manusia pilihan, Muhammad s.a.w., akan meluruh seiring sejalan selawat anda. Kenapa? Kerana ia, Nabi agung ini, akan menjawab rintih rindu anda. Bukankah dalam sebuah sabdanya, ia pernah berujar, “Siapa yang berziarah kepadaku dan mengucapkan salam kepadaku, maka Allah kembalikan roh ke dalam diriku, dan kemudian aku akan menjawab salamnya.” [HR. Imam Ahmad dan Abu Daud] Mari saya kutipkan satu lagi seruan Nabi s.a.w. untuk lebih meyakinkan. Begini bunyinya: “Tiadalah salah seorang di antara kamu yang mengucapkan salam kepadaku sesudah aku meninggal, melainkan malaikat Jibril datang kepadaku seraya mengucapkan: ‘wahai Muhammad, ini Fulan bin Fulan mengucapkan salam untukmu, maka aku menjawab: “dan atasnya salam dan rahmat serta berkah dari Allah.” (HR. Abu Daud)
“Ya Nabi, salaam ‘alaika. Ya Rasul salaam ‘alaika...”
“Ya Habib, salaam ‘alaika. Shalawatullah ‘alaika...”
Teruslah bersenandung memanggil-manggil namanya. Biarkanlah desah basah lidah anda meruapkan semangat rindu itu, tak terhitung nikmatnya, tiada tara rasanya. Jangan, anda jangan gundah, apalagi gelisah kerana “sebahagian saudara semuslim” kita membidaah-bidaahkan selawat perseorangan anda atau amalan selawat berjemaah anda. Mereka hanya iri hati, atau barangkali belum mengerti, atau boleh jadi belum memahami betapa gambaran rindu kepada Muhammad serupa ‘ketagih’. Ada perasaan ‘ketagih’ bila sehari saja tanpa memanggil-manggil namanya. Juga, tentu saja, anda tak usah gentar kerana iman anda dikatakan usang, atau tak moden, atau barangkali mengada-ngada, atau dicap sekali lagi, bidaah dan menyimpang. Iman anda itu keyakinan jiwa yang peribadi, pengalaman batin yang sungguh tak sebanding dengan semburan ucapannya dan penghayatan beragamanya. Anda mengada bersama iman anda, bukan imanya. Kesetiaan Anda untuk meluahkan rindu dan cinta kepada kekasih Allah yang luar biasa itu sudah tepat. Tak usah dikurangi, tak perlu merasa tersisih. Itu soal tafsir, Saudaraku. Itu hal ehwal bagaimana seseorang memahami teks Quran dan hadis. Bila mereka menggugat dan mengolok-olok, alangkah baiknya, bacakanlah ayat: “Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikatNya, berselawat atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkan salam penghormatan kepadanya”. (QS. Al-Ahzab: 56). Lalu berselawatlah sebanyak yang anda boleh. Saudaraku, sungguh luar biasa, Allah pun menyenandungkan selawat untuknya. Tidak hanya itu, para malaikat, melakukan hal serupa: berselawat. Dia, Allah Azza wa Jalla, pun lantas menitahkan demikian kepada kita, hambaNya, umat NabiNya. Kawan, tidakkah ayat itu mengoyak batin anda. Mungkin anda pernah membaca Tafsir Misbah yang disusun Profesor Quraish Shihab, mufasir kenamaan Indonesia itu. Buka-bukalah lagi Tafsirnya. Baca, bacalah kembali. Dan lihatlah ayat tersebut begitu memberi pencerahan saat dihuraikanya. Quraish memaparkan betapa segenap sifat terpuji terhimpun di dalam diri Muhammad, insan pilihan yang telah mencatatkan jejak jasa terlampau berharga dan tak ternilai untuk umat manusia berabad-abad kemudian. Kerananya, Allah begitu cinta dan kagum kepadanya. Begitu pula makhluk-makhluk suciNya. Saudaraku, tentu saja ada perbedaan “isi” selawat Allah dan kita. Saat Dia berselawat, Dia tengah mencurahkan anugerah dan rahmat kepada putera Abdullah itu. Sedang kita, makhluk yang setiap saat bergumul dengan dosa, tengah menghiba secuil syafaatnya, agar Allah mengirim setitik anugerahNya. Saudaraku, bila penghuni langit berselawat untuknya, kenapa sebahagian kita, penghuni bumi, masih ada yang angkuh, yang malas, yang berhujah ini dan itu, untuk sekadar berselawat kepadanya. Kenapa kita begitu bakhil menyanjung nama manusia yang telah begitu berjasa itu? Tidakkah mereka tahu bahawa jauh sebelum Adam diciptakan, cahaya Muhammad sudah menyentuh nabi-nabiNya yang lain? Berkat junjungan kita itu, Allah menciptakan Adam dan segenap mahluk lainnya.
Saya jadi teringat sebuah hadis yang menyebutkan begini: Ketika Adam berbuat dosa, ia mengangkat kepalanya ke langit dan berkata: “Aku memohon demi hak Muhammad, ampunilah dosaku.” Maka Allah kemudianmewahyukan kepadanya: “Siapa Muhammad itu?” Adam menjawab Mahamulia asmaMu. Dan di situ tertulis: La ilaha illallah, Muhammad Rasulullah. Maka tahulah aku bahawa tidak seorang pun lebih besar kedudukannya di hadapanMu selain orang yang namanya bersama namaMu. Kemudian Allah mewahyukan kepadanya: “Hai Adam, sesungguhnya ia adalah Nabi yang terakhir dari keturunanmu. Kalau tidak ada dia, Aku tidak menciptakan kamu.”
“Ya Nabi, salaam ‘alaika. Ya Rasul salaam ‘alaika...”
“Ya Habib, salaam ‘alaika. Shalawatullah ‘alaika...”
Saudaraku, teruslah melantunkan selawat. Syahdan, berkat selawatlah, sejumlah ulama dan orang-orang salih di setiap zaman menemukan sejumlah pengalaman menakjubkan. Keajaiban. Keanehan. Kemurahan. Kenikmatan. Keindahan.
Selanjutnya dapatkan Hidayah Mac 2011 di pasaran...
Sunday, March 6, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment