KH. Muhammad Dimyathi bin KH. Muhammad Amin Al-Bantani, atau dikenal dengan Abuya Dimyathi atau Mbah Dim, merupakan tokoh ulama Banten yang sangat karismatik dan bersahaja. Abuya sendiri adalah kata serapan yang berasal dari bahasa Arab yang bererti orang yang dituakan kerana keilmuan yang dimilikinya. Lebih khusus lagi, kata “Abuya” berhubungan dengan dunia spiritual, dimana dia berperanan sebagai pembimbing para murid dalam menjalani dunia tasawuf. Abuya lahir sekitar tahun 1925 dari pasangan Haji Amin dan Hajah Ruqayah. Dia dikenal sangat haus akan ilmu. Kerana itu, ia belajar ilmu agama pada beberapa pondok pesantren, mulai dari Pesantren Cadasari, Kadupeseng Pandeglang, Plamunan hingga Plered, Cirebon. Begitu cintanya terhadap ilmu hingga setiap mendengar di suatu tempat ada seorang ulama yang berilmu tinggi, maka tak segan-segan dia belajar kepada ulama tersebut. Hal itu dapat terlihat dari banyaknya gurunya. Di antaranya Syeikh Abdul Halim Kalahan, Abuya Muqri Abdul Chamid, Mama Achmad Bakri (Mama Sempur) Purwakarta, Mbah Dalhar Watucongol, Mbah Nawawi Jejeran Jogja, Mbah Khozin Bendo Pare, Mbah Rukyat Kaliwungu, serta Syeikh Ma’shum dan Syeikh Baidlowi Lasem. Kesemua guru tersebut sempat menimba ilmu pada Syeikh Nawawi al-Bantany. Kata Abuya Dimyathi, para kiai tersebut memiliki kriteria kekhilafahan atau mursyid sempurna. Setelah Abuya berguru, tak lama kemudian para kiai berkenaan meninggal dunia. Sejak kecil, Abuya sudah dikenali dengan kecerdasan dan kesalihannya. Ketika “memondok” di Watucongol, misalnya, Abuya sudah diminta untuk mengajar oleh Mbah Dalhar. Satu kisah unik ketika Abuya datang pertama ke Watucongol, Mbah Dalhar memberi khabar kepada para pelajar pondoknya bahawa esok akan datang ‘kitab banyak’. Yang dimaksudkan di sini adalah Abuya Dimyathi sendiri. Hal ini terbukti kerana saat memondok di Watucongol mahupun di tempat pondok lainnya hingga Abuya menetap, dia banyak mengajar dan mengkaji kitab-kitab. Bahkan, di pondok Bendo, Pare, Abuya lebih dikenali dengan sebutan ‘Mbah Dim Banten’ dan mendapat gelar ‘Sulthon Aulia’, kerana Abuya memang warak dan alim. Pada tiap pondok yang Abuya singgahi, selalu ada peningkatan pelajar mengaji dan ini satu bukti tersendiri di tiap daerah yang Abuya singgahi jadi bertambah keberkatan tempat berkenaan. Semasa hidupnya, Abuya Dimyathi dikenal sebagai gurunya dari para guru dan kiainya dari para kyai, sehingga tak berlebihan kalau disebut sebagai ulama Khas al-Khas. Ulama yang sikapnya sehari-hari merupakan cerminan dari ilmu yang dikuasainya. Masyarakat Banten menjulukinya juga sebagai pakunya daerah Banten, di samping sebagai pakunya negara Indonesia. Di balik kemasyhuran nama Abuya, dia adalah orang yang sederhana, bersahaja, berhati-hati dalam sebarang percakapan, konsisten dalam perkataan dan perbuatan, ahli sedekah, puasa, makan sekadarnya sahaja, dan bersahaja. Melihat wajahnya, terasa ada perasaan ‘damai’ dan tenteram di hati. Abuya adalah seorang qurra’ dengan lidah yang fasih. Wirid dan bacaan al-Quran sudah istiqamah lebih dari 40 tahun. Kalau bersolat Terawih di bulan puasa, tidak turun untuk sahur kecuali setelah mengkhatamkan al-Quran dalam solat. Abuya Dimyathi dikenal sosok ulama yang cukup sempurna dalam menjalankan perintah agama. Dia bukan saja mengajarkan ilmu syariah tetapi juga menjalankan kehidupan sufistik. Tarekat yang dianutnya adalah Naqsabandiyyah Qodiriyyah. Maka wajar jika dalam perilaku sehari-hari dia penuh tawaduk, istiqamah, zuhud, dan ikhlas. Dalam buku Tiga Guru Sufi Tanah Jawa karya H. Murtadho Hadi, Abuya Dimyathi digolongkan bersama Syeikh Muslih bin Abdur Rahman al-Maraqi (Mranggen Demak) dan Syeikh Romli Tamim (Rejoso Jombang) sebagai tiga ulama sufi berpengaruh di Jawa. Bahkan, dalam buku Manaqib Abuya Cidahu (Dalam Pesona Langkah di Dua Alam), Abuya yang juga keturunan Sultan Maulana Hasanuddin dan Syarif Hidayatullah ini dikenal sebagai wali qutub. Sebagai seorang sufi, Abuya mengajarkan jalan spiritual yang unik, iaitu “tarekat ngaji”. Dia secara tegas menyeru: “Jalan saya adalah mengaji”. Sebab, tinggi rendahnya darjat keulamaan seseorang boleh dilihat dari bagaimana dia memberi penghargaan terhadap ilmu.
Selanjutnya dapatkan Hidayah Mac 2011 di pasaran...
Tuesday, March 8, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment