SATU adat yang menyalahi hukum hakam agama yang ada suatu ketika dulu jadi ‘tradisi’ orang-orang Melayu/Islam masih lagi dalam ingatan ramai. Adat itu ialah apa yang disebutkan “Mandi Safar”. Temasya ini memang dinanti-nantikan oleh mereka yang merayakannya setahun sekali. Temasya mandi safar ini akan dirayakan pada hari Rabu penghabisan dalam bulan Safar. Entah kenapa mereka memilih hari Rabu, dan mengapa mereka memilih akhir Rabu dalam bulan itu sebagai perayaannya tidak pula dapat dipastikan. Dalam rencana ini saya cuba hendak memperkatakan cara “orang-orang Melaka” merayakan temasya mandi Safar. Orang-orang Melaka menyebutnya “Mandi Safau”. Adat yang menjadi tradisi tahunan orang-orang Melaka ini yang mahu saya himbau kembali kira-kira “empat puluh tahun” lalu, atau lebih dari itu. Semasa itu saya masih bersekolah. Tetapi sudah “berkhatan”. Orang-orang kampung zaman itu, bila seorang budak lelaki sudah berkhatan, bererti budak lelaki itu sudah “dewasa” dan sudah “remaja”. Walaupun ia ketika itu baru 11 atau pun 12 tahun, tetapi sudah boleh berfikir secara orang-orang dewasa, dan boleh membezakan “buruk” dan “baik”.
Saya tinggal di sebuah desa, namanya ialah “Kampung Kandang Batu 5 Melaka”. Saya juga bersekolah di kampung saya yang tidak jauh dari rumah saya. Ketika melanjutkan persekolahan itu, saya ke sekolah di kampung lain, iaitu “Sekolah Bukit Lintang”, dan “Sekolah Ayer Molek”. Kedua sekolah ini masih lagi menjadi ingatan saya, siapa guru yang mengajar saya, dan siapa guru besarnya, dan buku apa yang saya baca, saya masih ingat lagi. Semasa di Sekolah Kandang juga saya masih ingat guru yang mengajar saya. Siapakah murid-muridnya yang sama sedarjah dengan saya, tetap dalam ingatan saya. Semasa saya bersekolah di Sekolah Bukit Lintang, saya adalah seorang murid yang sangat pantas berlari. Saya mendapat jolokan “School Runner”. Dalam temasya-temasya sukan, saya akan dipilih oleh guru sukan sebagai pelumba lari yang penghabisan, dan ketika itulah saya akan pecut memotong siapa yang ada di depan. Datuk Othman Mohammad, yang sekarang menjadi “Speaker” Dewan Undangan negeri Melaka, adalah junior saya. Semasa saya masih bersekolah, dia kecil lagi yang didukung oleh emaknya yang menghantar abangnya ke Sekolah Kandang. Tetapi beliau bernasib baik yang sudah ditentukan oleh Allah s.w.t. semasa di alam Azali lagi dimana beliau akan menjadi “orang besar” di negeri Melaka. Saya tidak pasti, apakah dia tahu atau pun dia ingat atau dia mengalami adat orang–orang Melayu/Islam Melaka merayakan temasya “mandi safau” ini. Kalau beliau mengalaminya, beliau tentu akan “geleng kepala” apabila membaca rencana ini. Sebenarnya, adat temasya mandi safar yang dilakukan oleh sesetengah dari orang-orang Melayu/Islam di negeri Melaka, adalah merupakan satu perbuatan yang menyimpang jauh dari ajaran agama. Banyak kemungkaran yang wujud semasa perayaan-perayaan itu diadakan. Saya masih ingat dan masih tergambar di mata saya dan masih terdengar di telinga bunyi rebana, tabuh yang dipukul oleh mereka yang merayakan mandi safar ini. Tempat perayaan itu biasanya diadakan di tepi-tepi laut. Bagi mereka yang tinggal jauh dari laut, mereka akan melakukannya di tepi-tepi bukit, dan di atas bukit ataupun di tepi-tepi sungai ataupun di kuala-kuala sungai. Di bahagian Melaka tengah, kebanyakan mereka pergi beramai-ramai ke Tanjung Keling (Pantai Kundur). Di sini, pantainya tidaklah begitu baik, tidak seperti pantai Port Dickson, Negeri Sembilan.
Kebanyakan orang-orang kampung yang suka merayakan “temasya mandi safar” ialah mereka yang mempunyai kenderaan kereta lembu. Kebanyakan kampung-kampung itu adalah dari daerah “Bukit Lintang” dan kampung-kampung sekitarnya seperti “balik Bukit”, Kampung “Ketapang”, Kampung “Ayer Molek”, “Kampung Pengkalan Minyak” dan kampung-kampung sekitarnya. Kampung-kampung yang saya sebutkan ini ADALAH KAMPUNG-KAMPUNG BANYAK “KERETA LEMBU”. Kenderaan ini sangat penting dizaman itu. Mereka mempunyai dua ekor lembu, sebuah “pedati” yang dibuat dari kayu. Rodanya besar dari kayu juga, dikelilingi dengan besi. Semuanya ini ditempah dari mereka yang mahir bertukang membuat pedati kereta lembu ini. Pada waktu-waktu harian, kereta lembu ini digunakan untuk mengisi “kayu api” untuk dijual di Bandar Melaka.
Kebanyakan kayu api itu dari pokok getah yang tua dari ladang-ladang orang putih yang tidak dipakai lagi. Mereka yang mempunyai kereta lembu ini menyediakan tiga empat orang pekerja untuk menebang pokok-pokok getah ini. Mereka bawa pulang batang-batang getah itu ke rumah, kemudian dipotong pendek, diracek, dijemur sehingga kering, kemudian diikat dan diisi dalam kereta lembu.
Selanjutnya dapatkan Hidayah Mac 2011 di pasaran...
Tuesday, March 8, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment