Abul Laits As-Samarqandi dalam kitab beliau “Tanbihul Ghafilin” menceritakan perihal Syurga. Abul-Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Abu Hurairah r.a. berkata: “Ya Rasullullah, dari apakah dibuat syurga itu?” Jawab Nabi Muhammad s.a.w.: “Dari air.” Kami bertanya: “Beritakan tentang bangunan syurga.” Jawab Nabi Muhammad s.a.w.: “Satu bata dari emas dan satu bata dari perak, dan lantainya kasturi yang semerbak harum, tanahnya dari za’faran, kerikilnya mutiara dan yakut, siapa yang masuk dalamnya senang tidak susah, kekal tidak mati, tidak lapuk pakaiannya, tidak berubah mukanya.” Kemudian Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: “Tiga macam doa yang tidak akan tertolak: Imam (pemimpin, hakim) yang adil, dan orang puasa ketika berbuka dan orang yang teraniaya, maka doanya terangkat di atas awan, dilihat oleh Tuhan lalu berfirman: “Demi kemuliaan dan kesabaranKu, Aku akan bela padamu walau hanya menanti masanya.” Abul-Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Abu Hurairah r.a. berkata: Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: “ Sesungguhnya di dalam syurga ada pohon besar sehingga seorang yang berkenderaan dapat berjalan di bawah naungannya selama seratus tahun tidak putus naungannya, bacalah: (Yang bermaksud) “Dan naungan yang memanjang terus”. Dan didalam syurga kesenangannya yang tidak pernah dilihat mata atau didengar oleh telinga, bahkan tidak pernah terlintas dalam hati (perasaan) manusia. Bacalah kamu:(Yang bermaksud): Maka tidak seorang pun yang mengetahui apa yang tersembunyi bagi mereka dari kesenangan yang memuaskan hari sebagai pembalasan apa yang telah mereka lakukan. Dan tempat pecut didalam syurga lebih baik dari dunia siisinya. Bacalah (Yang bermaksud) “Maka siapa dijauhkan dari api dan dimasukkan dalam syurga bererti telah untung.” Ibnu Abbas r.a. berkata: “Sesungguhnya di dalam syurga ada bidadari yang dijadikan dari empat macam iaitu misik (sejenis wangian), ambar, kafur dan za’faran, sedang tanahnya dicampur dengan air hidup (hayawan), dan setelah dijadikan maka semua bidadari asyik kepadanya, andaikan ia berludah dalam laut tentu menjadi tawar airnya, tercantum dilehernya (barangkali seperti kalung atau lokek): Siapa yang ingin mendapat isteri seperti aku, maka hendaklah taat kepada Tuhanku.” Mujahid berkata: “Bumi syurga dari perak, dan tanahnya dari misik, dan urat-urat pohonnya dari perak, sedang dahannya dari mutiara dan zabarjad, sedang daun dan buahnya dibawah itu, maka siapa yang makan sambil berdiri tidak sukar, dengan duduk juga tidak sukar, dan sambil berbaring juga tidak sukar, kemudian membaca ayat: (Yang bermaksud) Dan dimudahkan buah-buahnya sehingga semudah-mudahnya. Sehingga dapat dicapai oleh orang yang berdiri mahupun yang duduk dan berbaring. Abu Hurairah r.a. berkata: “Demi Allah yang menurunkan kitab pada Nabi Muhammad s.a.w. Sesungguhnya ahli syurga tiap saat bertambah elok cantiknya, sebagaimana dahulu didunia bertambah tua.” Abul-Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Shuhaib r.a. berkata: “Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Apabila ahli syurga telah masuk ke syurga dan ahli neraka telah masuk ke neraka, maka ada seruan: Hai ahli syurga, Allah akan menepati janjiNya kepada kamu. Mereka berkata: “Apakah itu, tidakkah telah memberatkan timbangan amal kami dan memutihkan wajah kami dan memasukkan kami ke dalam syurga dan menghindarkan kami dari neraka. Maka Allah membukakan bagi mereka hijab sehingga mereka dapat melihatNya, demi Allah yang jiwaku ada ditanganNya belum pernah mereka diberi sesuatu yang lebih senang daripada melihat zat Allah.” Anas bin Malik r.a. berkata: “Jibril datang kepada Nabi Muhammad s.a.w. membawa cermin putih yang ditengahnya ada titik hitam, maka Nabi Muhammad s.a.w. bertanya kepada Jibril: “Apakah cermin yang putih ini?” Jawabnya: “Ini hari Jumaat dan titik hitam ini saat mustajab yang ada dihari Jumaat, telah dikurniakan untukmu dan untuk umatmu, sehingga umat-umat yang sebelumnya berada di belakangmu, iaitu Yahudi dan Nashara (kristian) dan saat dihari Jumaat, jika seorang mukmin bertepatan berdoa untuk kebaikan pada saat itu pasti ia akan diterima oleh Allah, atau berlindung kepada Allah dari suatu bahaya, pasti akan dihindarkannya, dan hari Jumaat dikalangan kami (Malaikat) dinamakan Yaumal Mazid (hari tambahan).” Nabi Muhammad s.a.w. bertanya lagi: “Apakah Yaumal Mazid itu?” Jawab Jibril: “Tuhan telah membuat lembah di syurga Jannatul Firdaus, disana ada anak bukit dari misik kasturi dan pada tiap-tiap hari Jumaat disana disediakan mimbar-mimbar dari nur (cahaya) yang diduduki oleh para Nabi, dan ada mimbar-mimbar dari emas bertaburan permata yaqut dan zabarjad (sejenis batu permata) diduduki para siddiqin, syuhada dan salihin, sedang orang-orang ahli ghurof (yang di bilik syurga) berada di belakang mereka di atas bukit kecil itu berkumpul menghadap kepada Tuhan untuk memuja muji kepada Allah, lalu Allah berfirman: “Mintalah kepadaKu.” Maka semua minta (Kami mohon keredhoanMu) Jawab Allah: “Aku telah redho kepadamu, keridhoan sehingga kamu Aku tempatkan di rumahKu dan Aku muliakan kamu.” Kemudian Allah menampakkan kepada mereka sehingga mereka dapat melihat zatNya, maka tidak ada hari yang mereka suka sebagaimana hari Jumaat kerana mereka merasa bertambahnya kemuliaan dan kehormatan mereka. Dalam lain riwayat: Allah menyuruh kepada Malaikat: “Berikan makan kepada para waliKu.” Maka dihidangkan berbagai makanan maka terasa pada tiap suap rasa yang lain dari semuanya, bahkan lebih lazat sehingga bila selesai makan, diperintahkan oleh Allah: “Berikan minum kepada hamba-hambaKu.” Maka diberi minum yang dapat dirasakan kelazatannya pada tiap teguk dan ketika telah selesai maka Tuhan berfirman: “Akulah Tuhanmu telah menepati apa yang Aku janjikan kepadamu dan kini kamu boleh minta, nescaya Aku berikan permintaanmu.” Jawab mereka: “Kami minta ridhoMu. kami minta ridhoMu.” dua tiga kali. Dijawab oleh Allah: “Aku ridho kepadamu bahkan masih ada tambahan lagi daripadaKu, pada hari ini Aku muliakan kamu dengan penghormatan yang terbesar dari semua yang telah kamu terima.” Maka dibukakan hijab sehingga mereka dapat melihat Zat Allah yang Maha Mulia sekehendak Allah, maka segera mereka bersujud kepada Allah sekehendak Allah sehingga Allah menyuruh mereka: “Angkatlah kepalamu sebab kini bukan masa beribadat.” Maka disitu mereka lupa pada nikmat-nikmat yang sebelumnya dan terasa benar bahawa tidak ada nikmat lebih besar daripada melihat Zat Allah yang Maha Mulia. Kemudian mereka kembali maka semerbak bau harum dari bawah Arsy dari bukit kasturi yang putih dan ditaburkan diatas kepala mereka, diatas ubun-ubun kuda mereka, maka apabila mereka kembali kepada isteri-isterinya terlihat bertambah indah lebih dari semula ketika mereka meninggalkan mereka sehingga isteri-isteri mereka berkata: “Kamu kini lebih elok dari yang biasa.” Abul-Laits berkata: “Terbuka hijab, bererti hijab yang menutupi mereka untuk melihatNya. Dan erti melihat kepadaNya iaitu melihat kebesaran yang belum pernah terlihat sebelumnya tetapi kebanyakkan ahli ilmu mengertikan: Melihat Zat Allah tanpa perumpamaan.” Ikrimah berkata: “Ketangkasan ahli syurga bagaikan orang berumur 33 tahun lelaki dan perempuan sama-sama, sedang tingginya enam puluh hasta, setinggi Nabi Adam a.s. muda-mudi yang masih bersih halus tidak berjanggut, bola matanya, memakai tujuh puluh macam perhiasan, yang berubah warnanya tiap-tiap jam, tujuh puluh macam warna, maka dapat melihat mukanya di muka isterinya, demikian pula di dadanya, dibetisnya, demikian pula isterinya dapat melihat wajahnya di wajah suaminya, di dada dan di betisnya, mereka tidak berludah dan tidak berhingus, lebih-lebih yang lebih kotor, maka lebih jauh.”
Dalam lain riwayat: “Andaikan seorang wanita syurga menunjukkan tapak tangannya dari langit nescaya akan menerangi antara langit dan bumi.” Abul-Laits meriwayatkan dengan sanadnya Zaid bin Arqam r.a. berkata: “Seorang ahlil kitab datang kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan bertanya: “Ya Abal-Qasim, apakah kau nyatakan bahawa orang syurga itu makan dan minum?” Jawab Nabi Muhammad s.a.w.: “Ya, demi Allah yang jiwa Muhammad ada ditanganNya, seorang ahli syurga diberi kekuatan seratus orang dalam makan, minum dan jimak (bersetubuh).” Dia berkata: “Sedang orang yang makan, minum ia lazimnya berhajat, sedang syurga itu bersih tidak ada kekotoran? Jawab Nabi Muhammad s.a.w. : “Hajat seseorang itu berupa peluh yang berbau harum bagaikan kasturi.” Abul-Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Mu’tah bin Sumai mengenai firman Allah s.w.t.: “Thuba lahum wa husnu ma ab.” Thuba ialah pohon pokok di syurga yang dahannya dapat menaungi tiap rumah di syurga, didalamnya berbagai macam buah dan dihinggapi burung-burung besar sehingga bila seorang ingin memakan burung dapat memanggilnya dan segera jatuh di atas meja makannya, dan dapat makan sayap yang sebelah berupa dinding (kukus, sup terlebih kurang serupa) dan yang lain berupa panggangan, kemudian bila telah selesai ia terbang kembali.” Dari Al’amasy dari Abu Salih dari Abu Hurairah r.a. berkata: Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud: “Rombongan pertama akan masuk syurga dari ummatku bagaikan bulan purnama, kemudian yang berikutnya bagaikan bintang yang amat terang di langit, kemudian sesudah itu menurut tingkatnya masing-masing, mereka tidak kencing dan buang air, tidak berludah dan tidak berhingus, sikat rambut mereka dari emas dan ukup-ukup mereka dari kayu gahru yang harum dan peluh mereka kasturi dan bentuk mereka seperti seorang yang tingginya bagaikan Adam a.s. enam puluh hasta.” Ibnu Abbas r.a. berkata: “Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya ahli syurga itu muda semua, licin, halus, tidak ada rambut kecuali di kepala, alis dan di kelopak mata, sedang janggut, misai, ketiak dan kemaluan licin tidak ada rambut, tinggi mereka setinggi Nabi Adam a.s. enam puluh hasta, usianya bagaikan Nabi Isa a.s. 33 tahun, putih rupanya, hijau pakaiannya, dihidangkan kepada mereka hidangan, maka datang burung dan berkata: “Hai waliyullah, saya telah minum dari sumber salsabil dan makan dari kebun syurga dan buah-buahan, rasanya sebelah badanku masakan dan yang sebelahnya gorengan, maka dimakan oleh orang itu sekuatnya.”
Selanjutnya dapatkan Hidayah Mac 2011 di pasaran...
Sunday, March 6, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment