Dunia Islam telah memuji kerajaan Arab Saudi dalam mengendalikan “Musim Haji” Tahun 1432 H sebagai “Sangat Cemerlang”. Segala kemudahan yang disediakan menyebabkan perjalanan “ibadah Haji” kali ini berjalan dengan lancar dan teratur. Pemimpin-pemimpin Islam dunia yang turut sama menunaikan ibadah haji kali ini telah melihat dengan mata kepala mereka sendiri bagaimana “segala kemudahan” yang disediakan begitu canggih sekali. Hampir “tiga juta” jemaah telah menunaikan rukun Islam yang kelima kali ini. Bandar suci Makkah penuh sesak dengan umat Islam, namun tidak ada kejadian yang tidak dingini terjadi. Keadaan Bandar Suci Makkah, walau pun dikunjungi berjuta-juta umat Islam, namun bandarnya tetap terkawal. Para petugas seperti pasukan keselamatan polis dan tentera sentiasa mengawal, namun para jemaah haji tetap dapat menikmati “kebebasannya”. Beribu-ribu petugas “pembersihan” kawasan bandar suci Makkah bekerja siang dan malam bagi membersihkan segala apa yang ada di jalan-jalan, dan tepi-tepi bangunan dan juga sekitar Masjidil Haram.
Sebahagian besar dari petugas yang membersihkan bandar ini adalah kebanyakan dari warga negara Bangladesh yang memang bekerja begitu rajin. Mereka bukan saja bertugas di luar masjid, tetapi juga di dalam masjid.
Sebahagian dari laporan-laporan menyebutkan bahawa oleh kerana adanya kemudahan-kemudahan yang disediakan itu, menyebabkan para jemaah haji tidak menghadapi sebarang kepayahan. Para jemaah haji juga, laporan itu menyebut, tinggi disiplinnya. Mereka juga tidak membuang sampah sarap di merata empat, tetapi memasukannya ke dalam tempat-tempat sampah yang disediakan oleh pihak pentadbir Bandar Makkah.
Sebenarnya, Kerajaan Arab Saudi dari masa ke semasa sentiasa mengawasi keadaan di bandar suci Makkah. Lebih-lebih lagi Masjidil Haram, yang merupakan sebuah masjid yang paling agung di atas muka bumi ini.
Kerajaan Arab Saudi tahu bahawa tahun demi tahun umat Islam akan bertambah-tambah ramai untuk menunaikan “haji”. Masjid dan kawasan di sekeliling masjid itu tidaklah dibiarkan dengan cara lama. Pihak pentadbir Bandar suci Makkah terpaksa membuat rombakan besar. Mereka terpaksa bertindak dengan merobohkan bangunan-bangunan dan hotel-hotel lama yang terdapat di sekeliling masjid tersebut. Beberapa tahun yang lalu, satu pembersihan yang dilancarkan dimana sekeliling Masjidil Haram telah dibangunkan dengan bangunan-bangunan pencakar langit. Kerajaan Arab Saudi telah menggunakan tenaga-tenaga mahir seperti arkitek dari Malaysia dan beberapa buah negara Islam lainnya untuk “merekabentuk” bagi membangunkan kawasan bandar suci Makkah itu. Kerajaan Saudi telah memperuntukan “berbilion riyal” bagi membangun semula bandar paling suci di muka bumi ini. Para jemaah haji yang pernah pada suatu ketika dulu ke Makkah kerana haji atau pun umrah, dan apabila datang sekali lagi tahun ini merasa terpegun melihat keadaan bandar suci Makkah yang sudah jauh berubah. Bangunan-bangunan hotel baru dibina di sana sini. Kedai-kedai makan dan kedai-kedai menjual pakaian pula sudah diletakan di dalam bangunan-bangunan pencakar langit itu. Kita tidak dapat melihat lagi bazar-bazar seperti “pasar malam” atau pun macam pasar-pasar di Jalan Masjid India Kuala Lumpur yang menjual kain bergantungan di sana sini. Semua pandangan-pandangan seperti itu sudah lenyap. Kalau pun ada, jauh dari kawasan Masjidil Haram. Peniaga-peniaga lama masih lagi berniaga kerana kedai-kedai atau pun bangunan-bangunan tempat mereka berniaga belum dirobohkan lagi. Allah s.w.t. telah melimpahkan rezeki dari hasil minyak yang keluar dari dasar bumi menjadikan negara Arab itu yang didalamnya ada Masjidil Haram, dan Kaabah sangat mudah menjalankan rancangan pembangunannya yang paling canggih. Fasiliti yang paling canggih dan menarik bukan sahaja terdapat di kawasan sekitar bandar suci Makkah, tetapi tempat-tempat yang berkait dengan ibadat haji juga dibangunkan. Misalnya, dulu-dulu keadaannya amatlah menyedihkan dan barang kali orang Islam masa itu tidak ramai menjalankan ibadah haji, tetapi sekarang keadaannya sudah jauh lebih cantik dan lebih canggih lagi. Tempat-tempat melontar seperti di Jamrah iaitu “Jamrah Ula”, “Jamrah utha”, dan “Jamrah ‘aqabah” dari masa ke semasa diperbaiki. Dari satu lorong diubah menjadi dua lorong, kemudian diubah lagi menjadi tiga lorong dan diubah menjadi empat, lima dan enam lorong, tetapi sekarang sudah menjadi banyak lorong bagi memudahkan jemaah haji menjalankan kerja-kerja haji itu (Wajib Haji).
Selanjutnya dapatkan Hidayah Januari 2012 di pasaran...
Monday, January 9, 2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment