Monday, January 9, 2012

Salam Kami Januari 2012

ASSALAMUALAIKUM WR.WBT.
SEGALA puji dan syukur kita ke hadrat Allah s.w.t. serta salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Sesungguhnya kedatangan Januari 2012 membawa makna yang besar dalam kita meneruskan kehidupan di dunia ini. Tahun baru ini membuat kita kembali sibuk menguruskan anak-anak ke sekolah. Dan bagi mereka yang baru melalui peperiksaan SPM dan STPM dan lain-lainnya didoakan agar mendapat keputusan yang cemerlang kelak. Namun kejayaan dalam peperiksaan bukanlah segala-galanya. Setiap waktu kita akan diuji baik dalam usia kanak-kanak, melangkah ke dunia remaja dan seterusnya ke alam dewasa. Hanya manusia yang beramal salih akan berjaya dalam hidup di dunia dan akhirat. Bukan mereka yang kaya dengan harta benda dan wang ringgit, tapi lemah imannya. Alhamdulillah, diambang tahun baru ini Hidayah melangkah terus menemui pembacanya. Kita mengajak pembaca merenungi kisah-kisah iktibarnya untuk renungan bersama dan menghayati pelbagai rencana lainnya sebagai panduan hidup kita. Cubalah anda hayati rencana ‘Cara mengubat Penyakit dukacita’, ‘Semoga Anda Menjadi Isteri Salihah’ dan ‘Jangan Remehkan Senjata Doamu’. Bersama-samalah kita menjaga hati masing-masing. Imam Ghazali berpesan, cukuplah kepada anda mengingati bahawa perkisaran urusan agama dan dunia adalah beredar di sekitar hati. Kesibukan dan kerosakkannya pada kebanyakannya ialah datang dari pandangan mata (nafsu). Berkata Ali r.a. bermaksud: “Sesiapa yang tidak dapat mengawal matanya, maka hati yang ada disisinya tidak mempunyai nilai harga.” Kami mengucapkan terima kasih dengan sokongan berterusan dari anda. Tanpa anda apalah ertinya kami di sini.
Wassalam!

Pengarang,
Shahimisaifulislam@yahoo.com.my

No comments: