BEBERAPA keluaran Hidayah yang lalu, saya ada menulis tentang Geylang Serai di Singapura. Oleh kerana sebahagian dari hidup saya dimasa remaja tinggal di Geylang Serai, maka ada banyak cerita yang boleh kita kongsikan bersama. Geylang Serai kawasan orang-orang Melayu. Orang bukan Melayu tidak ramai tinggal di kawasan ini. Geylang Serai di miliki oleh saudagar Arab, dari keluarga Al-Saggof. Orang-orang Semenanjung kalau ke Singapura, Geylang Serai adalah diantara kawasan yang mesti dilawati. Tidak singgah ke Geylang Serai, seolah-olah seseorang itu ke Singapura tidak lengkap. Pelbagai peristiwa berlaku di kawasan ini. Apa yang mahu ceritakan ialah tentang Geylang Serai Karam. Maksud karam di sini ialah Geylang Serai dilanda banjir.
Tetapi orang-orang Singapura ketika itu menyebutnya “Karam”, bukannya “Banjir”. Pada suatu ketika hujan telah turun dengan lebat di Singapura. Banyak kawasan rendah ketika itu di tenggelami air. Kawasan Bukit Timah diantara kawasan dilanda banjir ketika itu. Peristiwa “Karam” ini terjadi kira-kira awal tahun 50an dulu. Singapura ketika itu belum merdeka. Ia dijajah oleh British, dan masih di sebut “Clony of Singapura.” Keadaan banyak kawasan terutama apa disebut sebagai kampung-kampung, memang tidak membangun. Tidak ada sebarang kemudahan asas disediakan oleh British ketika itu. Dibiarkannya saja keadaan itu, walau pun ada kejadian-kejadian dan peristiwa-peristiwa yang tidak di ingini wujud ketika itu Di antara kawasan yang terbiar ialah Geylang Serai dalam era itu. Saliran air tidak ada. Kalau pun ada, ia hanya terjadi dengan laluan air yang mengalir. Kawasan Geylang Serai ini meliputi Lorong Enku Aman, Kebun Ubi dan kawasan-kawasan yang berdekatan dengannya. Hujan yang turun tidak berhenti untuk beberapa hari, ditambah pula dengan air laut turut “pasang”, dengan lain-lain kata “pasang laut”, maka air hujan yang tidak dapat mengalir dengan cepat menerusi Sungai Kallang untuk masuk ke laut. Inilah puncanya maka “Geylang Serai Karam” dimana air naik sedalam mencecah ke paras pinggang. Geylang Serai, termasuk Jalan Alsagoff, Kebun Ubi, Lorong Engku Aman, Paya Lebar, Kampung Wak Tanjung adalah dianggap sebagai “Kawasan rendah.” Kalau hujan turun dengan lebat, maka akan berlaku banjir kilat di kawasan-kawasan yang disebutkan itu. Tetapi kawasan Geylang Serai merupakan kawasan yang paling teruk sekali di timpa banjir. Saya dan keluarga dianggap bernasib baik, kerana kami tinggal di “Barrack Hitam” dikawsan geylang Serai. Barrack Hitam adalah rumah (kuaters) untuk mereka yang bekerja sebagai “kakitangan kerajaan”, iaitu kakitangan kerajaan British. Biliknya hanya satu saja. Di situ tempat makan, tempat ruang tamu dan juga bilik tidur. Kalau mahu memasak turun ke bawah gunakan tangga.
British tidaklah begitu perihatin terhadap kakitangannya yang bergaji rendah, dan pegawai-pegawai rendah. Jadi, kami tidak kena banjir ketika itu, kerana kami tinggal di tingkat dua, tetapi tingkat bawah, terlibat dengan karam itu. Banyak peristiwa yang menyedihkan terjadi dalam peristiwa karam Geylang Serai. Banyak harta benda musnah. Orang-orang Melayu terutama mereka yang dari Pulau Pinang, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor yang tinggal menyewa di kawasan ini menanggung penderitaan yang amat sangat. Alat-alat perabot mereka dalam rumah semuanya musnah. Katil, tilam, dapur memasak, almari kain baju semuanya terapung. Ada sebahagiannya memang tidak dapat diselamatkan. Di kawasan ini tidak ada rumah atau pun tempat lain untuk menampung atau pun menampung barang-barang kita yang musnah atau pun terapung itu. Masing-masing rumah hanya sewa bilik saja. Tidak ada rumah banglo sebagaimana di Malaya. Masing-masing bekerja. Malam baru pulang ke rumah untuk tidur saja. Pada suatu ketika ada orang yang dua tiga hari tidak pulang ke rumah kerana bekerja, dan sebahagian ada yang bekerja kapal satu minggu baru pulang, didapati bilik sewanya habis hancur lebur.
Semua barang dalam rumahnya dihanyutkan air. Tidak ada sesiapa yang nak menolong atau pun membantu. Biasanya bilik sewa macam itu akan dikunci, apabila kita pergi kerja. Bila berlaku “karam” macam itu, siapa berani mahu pecahkan pintu rumah orang lain? Jadi, terpaksa didiamkan begitu saja.
Selanjutnya dapatkan Hidayah Januari 2012 di pasaran...
Monday, January 9, 2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment