Wednesday, March 13, 2013

Menjejak Kesan Wali-Wali Allah

ALANGKAH indahnya hidup ini jika kita disinari dengan makrifat Allah. Kita kenal Allah dan Allah sudah tentu kenal kita. Apalah sangat yang menghalang kita dari ‘hijab’ tersebut. Mungkin ego kita, mungkin sombongnya kita, mungkin kelirunya kita dan apa-apa yang serba mungkin..Bukalah dadamu, lapangkan perasaan dan menerawanglah jauh menembusi ‘hijab’ itu agar kau menjadi manusia pilihan. DiletakNya engkau sebaris dengan hamba-hamba pilihanNya yang engkau sendiri merasakan sesuatu yang tidak mungkin. Sebenarnya itu tidak mustahil, hayatilah peristiwa sebilangan para-para wali Allah ini agar jejak mereka diikuti dan amalan mereka dicontohi, InsyaAllah.

AKU HANYA IKUT RENTAK BURUNG
Asy-Syibli yang sedang duduk di bawah sebatang pokok sambil berseru: “Hu..hu..hu..hu..hu..” Akibatnya, orang ramai menyangka bahawa Asy-Syibli telah mengamalkan ajaran sesat kerana berzikir dengan kata-kata yang tidak ada nashnya. “Engkau telah berzikir yang tidak ada nashnya!” kata teman-temannya. “Mana ada?” bantah Asy-Syibli. “Engkau berzikir dengan hu hu hu hu hu…itu dari mana sumbernya?” tanya mereka. “Burung merpati di atas pokok itu telah menyanyi dengan bunyi “ku..ku..ku…..” maka aku mengikuti rentaknya dengan hu..hu..hu..” jawab Asy-Syibli. Beberapa orang teman Asy-Syibli telah datang mengunjungi beliau yang telah dimasukkan ke rumah orang sakit jiwa kerana telah dituduh gila.
“Siapa kalian?” tanya Asy-Syibli. “Kami ini sahabat-sahabatmu...” jawab mereka. Ketika itu juga Asy-Syibli membaling mereka dengan beberapa ketul batu, maka larilah lintang pukang teman-temannya. “Kalian pembohong! Apakah orang yang mengaku sahabat akan lari bertempiaran hanya kerana beberapa ketul batu? Sikapmu ini membuktikan bahawa kamu adalah sahabatmu sendiri, bukan sahabatku.” kata Asy-Syibli.

(Kisah Sufi:) Syaqiq Al-Balkhir
Iktibar dari sebiji tembikai
Pada suatu hari, seorang ahli sufi yang masyhur bernama Syaqiq Al-Balkhir telah membeli sebiji tembikai.
Kemudian dia membawa tembikai itu pulang dan diberikan kepada isterinya. Apabila isterinya membelah tembikai itu untuk dimakan, ternyata buah tembikai itu tidak elok, maka marah-marahlah isteri Syaqiq dengan keadaan tersebut. Maka bertanyalah Syaqiq kepada isterinya: “Kepada siapa engkau tujukan marahmu itu, adakah kepada penjual, pembeli, penanam atau Pencipta buah tembikai itu?.” Terdiam isterinya mendengar pertanyaan tersebut. Kemudian Syaqiq teruskan lagi kata-katanya: “Adapun si penjual, sudah tentu mahu jualannya terdiri daripada barangan yang terbaik. Adapun si pembeli juga sudah tentu mahu membeli barang yang terbaik juga. Bahkan si penanam juga sudah tentu berharap hasil tanamannya yang terbaik juga. Maka ternyatalah marahmu ini engkau tujukan kepada Pencipta buah tembikai ini. Maka bertakwalah engkau kepada Allah dan redholah dengan segala ketentuanNya.”

Selanjutnya dapatkan Hidayah Mac 2011 di pasaran...

No comments: