Wednesday, March 13, 2013

Salam Kami

ASSALAMUALAIKUM WR.WBT.
SEGALA puji dan syukur ke hadrat Allah s.w.t. serta salam dan selawat kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Bulan Mac terus menjengok kita dan akan berlalu jua bulan Rabiulakhir. Masa bergerak pantas dan terus mengejar kita. Antara bulan-bulan mendatang ini, negara kita akan mencipta sejarah bakal menghadapi pilihan raya yang kian dekat. Kita sebagai rakyat perlu bertanggungjawab menyahut tanggungjawab memenuhi amalan demokrasi yang kita amalkan selama ini. Bagi generasi muda yang pertamakali atau sekian kalinya menjadi ‘pengundi’ hendaklah melaksanakan tugas anda menurut sewajarnya. Hendaklah diingatkan bahawa apa yang akan anda undi nanti akan menjadi penentu masa depan bangsa dan negara. Hendaklah diingatkan juga bahawa ‘undi’ anda itu juga akan dipertanggungjawabkan di akhirat. Jangan tersalah memilih pimpinan yang akan menentukan nasib negara dalam tempoh lima tahun akan datang. Sedangkan dalam memilih ‘Imam Solat’ untuk tempoh lima minit atau lebih sikit kita begitu berhati-hati, apatahlagi dalam memilih ‘pimpinan negara’ untuk jangka waktu bertahun-tahun itu. Semoga negara kita akan terus melangkah menjadi negara maju pada tahun 2020 nanti. Dalam pada itu, Hidayah juga terus maju menemui anda. Dalam tempoh berbelas tahun ini kita sering bertemu setiap keluaran. Kami amat bersyukur dalam kesederhanaan majalah ini ianya terus diterima oleh para pembaca di Malaysia khususnya dan terus berkembang di Indonesia, Brunei dan Singapura. Ianya merupakan satu pencapaian yang unik tanpa sebarang sokongan publisiti yang hebat. Pembaca yang pernah memegang dan menatap hidayah akan dapat merasai keistimewaan majalah ini. Kami merasai puas matlamat ‘berdakwah melalui pembacaan’ dapat diterima oleh pembaca semua, alhamdulilah. 

Pengarang,
Shahimisaifulislam@yahoo.com.my

No comments: