Wednesday, September 17, 2014

ASSALAMUALAIKUM WR.WBT.
SEGALA pujian dan syukur ke hadrat Allah s.w.t. serta salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Tragedi nahas pesawat MH17 ditembak yang terhempas dan mengorbankan semua penumpang di Ukraine merupakan satu tragedi hitam dalam sejarah penerbangan Malaysia. Ianya berlaku selepas hilangnya pesawat MH370 yang sehingga kini belum terhurai misteri yang menyelubunginya. Kita mengucapkan takziah kepada setiap keluarga mangsa yang terlibat dalam tragedi berkenaan. Namun jangan lupa, dalam waktu bersamaan tentera zionis Israel terus mengganas di Gaza dan mengorbankan sejumlah besar rakyat Palestin terutama wanita dan kanak-kanak. Tragedi itu menggerhanakan sambutan Aidilfitri umat Islam tahun ini.
Peliknya negara-negara Islam terutama negara-negara Arab jiran Palestin hilang kejantanan untuk bertindak membantu saudara-saudara Arabnya (selain saudara sesama Islam) kecuali sekadar kutukan terhadap tindakan kejam Israel laknat itu. Tragisnya dalam waktu sama sekatan terhadap Gaza terus dilakukan oleh Israel bersama-sama Mesir yang berlarutan tujuh tahun. Sesungguhnya kutukan juga untuk pemerintah Mesir yang bersekutu dengan musuh Allah itu. Bagaimanapun tragedi dan tragisnya peristiwa yang berlaku itu, adalah takdir dan kehendak Allah jua. Bagi Malaysia apa yang dihadapi perlu dilalui dengan tabah dan ianya akan mematangkan negara dalam menghadapi apa jua peristiwa di masa akan datang. Sebenarnya dalam persekitaran hidup kita juga berlaku kematian dan musibah di sana sini. Ada yang meninggal dunia itu Tuan Guru, Ustaz-Ustaz, kaum kerabat, sahabat handai dan lain-lain. Ianya mengingatkan kita bahawa hidup ini memang rapuh. Dalam negara-negara yang bergolak dan bergelora kematian itu satu hal yang semestinyalah. Sedangkan dalam negara kita yang aman damai ini pun kematian itu terus menjengah malah bertambah tragis dalam musim-musim sebelum dan selepas menyambut hari raya dengan korban mangsa-mangsa kemalangan jalan raya. Namun hidup perlu diteruskan. Yang hidup ini juga pasti akan mati juga. Entah esok atau lusa. Cuma persoalannya, sejauh manakah persiapan bekalan amal kita nanti di alam mahsyar? Pembaca budiman...Hidayah juga terus ‘hidup’ menemui para pembaca setianya. Apa yang kami persembahkan itulah hati nurani majalah ini. Kami bersyukur dalam keadaan yang amat sederhana ini, Hidayah terus dibaca oleh peminatnya dan ini menambah azam kami akan terus berdakwah melalui pembacaan selagi dizinkan oleh Allah Taala.Terima kasih dengan sokongan berterusan anda dan kita berjumpa lagi dalam keluaran akan datang.
Wassalam!

Pengarang
Suhaimi Hamid

No comments: