Monday, July 11, 2011

Salam Kami Julai 2011

ASSALAMUALAIKUM WR.WBT.
SEGALA puji dan syukur kita ke hadrat Allah s.w.t. serta salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Detik-detik yang berlalu dan akan datang kali ini memang unik. Jarang berlaku kalendar Hijrah dan Masehi hampir beriringan. Tapi kali ini begitulah hakikatnya. Bulan Syaaban selisih dua hari saja dengan Julai. Begitu juga dengan bulan Ramadan bersamaan dengan 1 Ogos. Sementara sambutan Hari Kebangsaan pula jatuh pada 1 dan 2 Syawal yang akan menambah meriahkan warga Malaysia menyambutnya nanti. Namun kita kini masih dalam bulan Rejab. Waktu-waktu begini memberi isyarat kepada umat Islam bersiap sedia untuk menantikan kedatangan Ramadan apatahlagi apabila sampainya bulan Syaaban. Begitulah kita mengira hari demi hari, minggu dan bulan bertukar ganti. Sebenarnya kita mengira hari-hari tua kita. Sebagaimana kanak-kanak menunggu waktu balighnya. Yang remaja menanti dewasanya. Sementara yang dewasa bakal menjenguk usia emasnya. Ada kalangan kita yang tak sempatpun menikmati usia begitu. Sedar-tak sedar mereka pergi dahulu mendahului kita.
Jadi sebelum kita pula mendahului orang lain, dalam kesempatan masih berpeluang menghirup udara di muka bumi ini, hendaklah kita koreksi diri masing-masing. Tokoh sufi Malik bin Dinar berkata: “Aku mendengar Hujaj berceramah. Dia berkata, ‘Allah mengasihi orang yang suka memeriksa dirinya sendiri sebelum dia memeriksa diri orang lain. Allah mengasihi orang yang memandang timbangannya.” Dia (Hujaj) selalu berkata demikian, sehinggalah membuatku menangis.” Dan sebagaimana biasa, Hidayah keluaran ini juga tetap menyiarkan kisah-kisah iktibar yang berkaitan dengan ‘kematian’. Antara kisah yang menarik ialah mengenai kematian seorang imam yang menghembuskan nafas terakhirnya ketika sedang mengimamkan solat maghrib. Mahunya kita juga dapat mengikut jejaknya untuk mati ketika sedang beramal ibadat. Sebaiknya minta dijauhkan mati dalam keadaan hina sebagaimana berlaku kepada seorang pemuda yang mati di atas timbunan sampah akibat penyalahgunaan dadah. Terima kasih kepada anda yang berterusan membaca Hidayah. Ada kalangan pembaca yang menghubungi Hidayah memberi pandangan, kritikan dan sebagainya demi kebaikan Hidayah. Setiap pandangan anda kami terima baik. Pandangan anda juga boleh di e-melkan seperti yang tertera di ruangan ini.
Adanya para pembaca yang prihatin seperti inilah yang membuat Hidayah antara bahan bacaan yang digemari ramai. Alhamduillah.
Wassalam!

Pengarang

Shahimisaifulislam@yahoo.com.my

No comments: