DARI sekian banyak bangsa di dunia ini, mungkin hanya Israel yang dirasa mendapat banyak limpahan nikmat dari Allah s.w.t. di muka bumi ini. Hal ini acapkali diutarakan dan disindir Allah melalui firmanNya dalam al-Quran al-Karim. Allah menyebut bahawa mereka adalah anak keturunan dari orang-orang mulia. Nenek moyang mereka adalah para nabi dan rasul di dunia ini. Ditilik dari sejarah, misalnya, bangsa Israel memang tergolong bangsa yang dalam perjalanan sejarahnya mendapat banyak kemudahan dan kenikmatan. Sejarah Bani Israel tidak dapat dipisahkan dari sejarah perjuangan para nabi dan rasul di muka bumi ini. Pun, mengenai kisah pembangkangan mereka atas apa yang diperintahkan oleh para nabi dan rasul itu. Disebutkan oleh Abu Ja’far Ibnu Jarir at-Thabari dari Ibnu Ishaq bahawa ketika Firaun berkuasa, para penduduk Bani Israel mendapat seksaan dari sang penguasa. Firaun menyeksa bangsanya dengan menjadikan mereka budak (hamba) pekerja. Firaun memberi mereka pekerjaan yang rendah, bahkan sebahagian dari mereka menjadi buruh bangunan, dan sebahagian lagi menjadi buruh tani. Mereka diwajibkan membayar ufti kepada Firaun. Yang tidak bekerja pun dipaksa untuk membayar ufti. Allah kemudian mengutus seorang manusia pilihan bernama Musa. Nabi inilah yang kemudian membebaskan mereka dari kezaliman raja tersebut. Apa yang dilakukan Nabi Musa a.s. tak lain bertujuan agar mereka menjadi orang yang beriman. Kerana itu, Nabi Musa sentiasa membela mereka. Nabi Musa sentiasa bermunajat kepada Allah agar memberi kemudahan, kenikmatan dan keistimewaan kepada Bani Israel. Allah pun, sesekali, mengabulkan permintaan Nabi Musa itu. Kerana istimewanya Bani Israel, ketika mereka kehausan, Allah mewahyukan kepada Nabi Musa untuk memukul batuan dan terpancarlah dua belas mata air untuk dimanfaatkan Bani Israel. Air itulah yang menjadikan Bani Israel terbebas dari kehausan akibat alam yang tandus dan gersang. Ketika mereka lapar, mereka meminta kepada Nabi Musa agar Allah menganugerahkan makanan. Maka, Allah pun mengirimkan makanan bernama ‘Manna’ dan ‘Salwa’. Dua hal ini merupakan simbol kenikmatan jasmani, kerana ‘Manna’ dan ‘Salwa’ adalah sesuatu yang sangat berharga. Hal ini digambarkan Allah dalam al-Quran, ketika Bani Israel berada dalam kejaran dan kepungan raja Firaun hingga puluhan tahun. Allah berfirman dalam QS. Al-Baqarah: 57, “Dan Kami naungi kalian dengan awan, dan Kami turunkan kepadamu (makanan yang bernama) ‘Manna’ dan ‘Salwa’. Makanlah makanan yang suci itu yang telah Kami anugerahkan kepadamu. Dan tiadalah mereka menganiaya Kami, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri.” Dalam ayat ini, Allah menyebutkan bahawa Bani Israel bersama Nabi Musa telah ditolong Allah ketika sedang dikejar tentara Firaun. Mereka dinaungi dengan awan ketika mereka tersesat di padang pasir. Dalam QS. Al-Maidah: 26 disebutkan bahawa mereka tersesat di padang pasir yang terik selama 40 tahun. Bayangkan saja, apa rasanya jika selama waktu 40 tahun kita berada di suatu tempat yang tandus, panas dan terik? Bolehkah kita hidup nyaman? Kerana itu, melalui permohonan Nabi Musa, Allah lalu memberi kemudahan kepada Bani Israel dengan memberikan awan sebagai pelindung bagi mereka ketika mereka berada di sebuah tempat yang panas. Sejumlah ulama tafsir menyebut bahawa lokasi yang dimaksudkan adalah padang pasir antara Mesir dan Syam, iaitu sekarang wilayah Palestin, Syria dan Lebanon. Awan yang menaungi mereka di tengah terik panas matahari itu merupakan kenikmatan Allah yang luar biasa. Tak cukup sampai di situ. Kerana iklim dan cuacanya panas, maka tanaman dan pepohonan akhirnya tidak tumbuh sebagaimana mestinya. Haiwan ternakan pun tak dapat hidup. Maka, yang terjadi adalah kelaparan dan kehausan. Nabi Musa tidak diam begitu saja. Ia ingin menunjukkan kepada Bani Israel bahawa Allah peduli kepada mereka. Nabi Musa bermunajat kepada Allah untuk menganugerahkan makanan bagi mereka. Allah akhirnya menurunkan makanan bernama ‘Manna’ dan ‘Salwa’.
Makanan Lazat
Mengenai makanan bernama ‘Manna’ dan ‘Salwa’ ini, para ulama ahli tafsir berbeda pendapat. Pandangan dari para pakar berbeda-beda mengenai dua hal itu. Ali bin Thalhah, dari Ibnu Abbas r.a., menjelaskan bahawa al-manna atau Manna yang disebutkan dalam ayat di atas jatuh tepat di atas pohon, kemudian Bani Israel mengambilnya pada pagi hari dan memakannya sesuai dengan yang mereka sukai. Menurut riwayat lbnul Mundzir dan Ibnu Abi Hatim dari Ibnu Abbas, beliau berkata bahawa ‘Manna’ adalah suatu makanan manis, berwarna putih yang biasanya melekat pada batu-batu dan daun-daun kayu. Rasanya manis dan enak; semanis madu, sehingga ada penafsir yang memberinya erti madu. Apabila makanan itu di makan, maka yang memakannya akan merasa kenyang. Mereka boleh membawa keranjang setiap pagi untuk mengambilnya. Mengenai maksud ‘Manna’ ini, Perjanjian Lama Keluaran XI juga mengungkapkan bahawa yang disebut ‘Manna’ adalah sesuatu yang datang bersama embun pagi sekeliling perkhemahan. Makanan tersebut membeku dan halus seperti sisik. Sedangkan dalam Bilangan XI ayat 7 dijelaskan bahawa al-manna adalah makanan berbentuk seperti ketumbar (rempah). Bani Israel, jelas dalam kitab umat Nasrani itu, memungut dan menggilingnya dengan batu gilingan atau menumbuknya dalam lesung. Mereka memasaknya dalam periuk dan membuatnya menjadi roti bulat. Rasanya seperti rasa masakan yang digoreng. Sementara itu, menurut Syeikh Mutawalli Sya’rawi, ulama ahli tafsir dari Mesir, menyebutkan bahawa ‘Manna’ adalah sejenis makanan berbiji-biji berwarna merah yang terhimpun pada dedaunan, yang biasanya turun saat fajar menjelang terbitnya matahari. Sampai saat ini, kata dia, ‘Manna’ masih dapat ditemukan di sebahagian daerah di Iraq. Banyak orang yang keluar di pagi hari membawa kain-kain putih yang lebar dan meletakkannya di bawah pohon-pohon yang dedaunannya dihinggapi butir-butir merah itu, kemudian menggerakkannya sehingga butir-butir atau bijian tersebut berjatuhan di atas kain putih tadi. Asy-Sya’rawi, melalui Kitab Tafsirnya, menterjemahkan kata “al-manna” sebagai makanan yang sangat lazat bagaikan manisan dari madu. Thahir bin Asyur, ulama tafsir juga, menyebutkan bahawa “al-manna” atau “Manna” adalah satu bahan semacam jem dari udara yang hinggap di dedaunan, mirip dengan gandum yang basah. Rasanya manis bercampur asam dan berwarna kekuning-kuningan. Banyak ditemukan di Turkistan dan sedikit di tempat lain. Makanan tersebut baru ditemukan di Sinai sejak masa Bani Israel tersesat di sana. Pendapat ini diperkuat oleh pendapat yang lain yang menyebutkan bahawa “al-manna” adalah sejenis getah yang dapat dimakan. Al-manna kadang pula diertikan semacam embun yang menyerupai sari buah yang turun pada pagi hari, namun ia enak untuk dimakan. Ada juga yang berpendapat bahawa “al-manna” adalah jenis minuman.
Selanjutnya dapatkan Hidayah Ogos 2011 di pasaran...
Monday, August 8, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment