Monday, August 8, 2011

Solat Jamak Dan Qasar

A. Pengertian Jamak
Solat jamak, ertinya, mengumpulkan dua solat dalam satu waktu; misalnya, menumpulkan solat zuhur kepada asar dan sebaliknya, serta fardu maghrib dengan isyak dan sebaliknya. Solat jamak terbahagi dua, iaitu jamak taqdim dan jamak takhir. Bila solat zuhur dijamakan pada waktu zuhur, solat maghrib dan isyak pada waktu maghrib, dinamakan solat jamak taqdim. Jamak takkhir iaitu melaksanakan solat zuhur dan asar pada waktu asar, solat maghrib dan isyak pada waktu isyak.

1. Syarat Jamak Taqdim
a. Hendaklah dimulai solat yang punya waktu, ertinya, lakukan zuhur dari asar dan maghrib dari isyak.
b. Niat jamak pada solat yang pertama pada permulaan takbiratul ihram atau di tengah-tengah solat selama mana ia belum memberi salam.
c. Mualat (berturut-turut) di antara solat yang pertama dan yang kedua. Jadi, antara keduanya tidaklah boleh diselangi oleh pekerjaan atau perbuatan lain. Sekiranya diselangi oleh pekerjaan-pekerjaan lain yang memakan masa selama dua rakaat solat, maka hendaklah ia solat pada waktunya nanti. Sekiranya diselangi oleh iqamah dan mengambil wuduk, maka jamaknya tidak batal.
d. Berkekalan musafirnya sehingga takbir solat yang kedua, tapi tidaklah disyaratkan sehingga selesai solat.

2. Syarat Jamak Takkhir
a. Berniat hendak mentakkhirkan solat yang pertama pada waktu yang kedua.
b. Berkekalan musafirnya sehingga selesai kedua-da solat.
Peringatan
Apabila masuk sahaja waktu zuhur atau maghrib, hendaklah kita memasang niat, iaitu, hendak mengerjakan solat maghrib pada waktu isyak. Solat jamak takkhir ini tidak disyaratkan tertib (yang mana dahulu dan yang mana kemudian). Oleh itu, apabila tiba masanya untuk mengerjakan solat jamak takkhir, maka bolehlah didahulukan solat zuhur atau asar. Jika kita mendahulukan fardu zuhur, maka kemudian kita langsung mengerjakan fardu asar, atau mengerjakan solat asar terlebih dahulu kemudian baru mengerjakan solat zuhur. Begitu jugalah halnya dengan jamak takkhir solat maghrib dan isyak.

B. PENGERTIAN QASAR
Solat qasar, ertinya memendekkan solat dari empat rakaat menjadi dua rakaat. Solat yang dipendekkan menjadi dua rakaat ialah solat isyak, zuhur dan asar. Solat jamak dan qasar ini hanya boleh dilakukan apabila seseorang itu bermusafir lebih dari dua marhalah.
Syarat-syarat Qasar
a. Musafirnya hendaklah tidak bertujuan maksiat.
b. Perjalanannya hendaklah tidak bertujuan maksiat.
c. Solat yang diqasarkan itu hendaklah solat zuhur, asar, dan isyak sahaja yang dilaksanakan secara tunai. Sebab itu tidak dibolehkan qasar solat qasar dalam musafir bagi solat yang ditinggalkan semasa di dalam kawasan tempat kediaman. Solat yang ditinggalkan dalam musafir boleh diqasarkan apabila diqadakan di dalam musafir.
d. Hendaklah iniatkan qasar di dalam masa takbiratul ihram.
Niatnya:
“Sahaja aku solat fardu zuhur dua rakaat qasar tunai kerana Allah Taala”
e. Tidak boleh berimankan orang yang bersolat tamam (sempurna).
f. Hendaklah tempat yang ditujukan itu tertentu. Jika sekiranya tempat yang dituju itu tidak tentu, maka tidak boleh qasar.
g. Berbekalan perjalanannya sehingga sempurna solat.
h. Ia tahu bahawa orang yang musafir itu harus mengerjakan solat qasar.
C. Hal-hal yang berkenaan dengan jamak dan qasar
Apabila seseorang itu bermusafr lebih dari dua marhalah, maka ia harus melakukan solat qasar dan jamak sekali. Ertinya, ia boleh menjamakkan di antara dua solat serta mengqasarkan sekali. Walau bagaimanapun, ia boleh melakukan di antara satu yang berikut:
i) Menjamakkan dua solat fardu tanpa qasar.
ii) Menjamakkan dua solat fardu dan qasar.
iii) Menqasarkan solat tanpa jamak, iaitu mengerjakan solat zuhur, asar, isyak dengan 2 rakaat yang berasingan.
Solat jamak dan qasar ini adalah suatu keringanan yang diberi oleh Allah kepada hambaNya dalam segenap masa bagi orang musafir, senang atau susah asalkan melebihi dua marhalah.
Permulaan musafir ini dikira setelah kita keluar kawasan, sama ada melalui sungai, parit, kota sempadan atau kawasan yang sudah tidak ada bangunan lagi.
Akhir musafir ialah apabila kita memasuki kawasan permulaan musafir tadi.
Solat jamak dan qasar boleh dilakukan apabila perjalanan seorang musafir tidak kurang dari 60 batu atau 100 km walaupun ada khilaf ulama dalam penentuan jarak jauhnya. Jadi, untuk berhati-hati, eloklah dikira dari 60 batu.
i) Jamak dengan qasar sekali
ii) Jamak sahaja tanpa qasar
iii)Qasar sahaja tanpa jamak.
Di antara 2 solat jamak tidak boleh dipisahkan dengan jarak yang sangat lama. Oleh itu, selepas sahaja salam, teruskan sahaja solat yang kedua dengan hanya diselangi oleh iqamat sahaja. Solat jamak dengan satu kali azan dan dua kali iqamat. Orang yang melakukan solat qasar tidak boleh berimamkan orang yang solat sempurna.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Ogos 2011 di pasaran...

No comments: