ZAMAN dulu orang mengerjakan sawah padi atau bendang, tidak sama dengan cara sekarang. Kita tidak perlu bicarakan zaman ini, kerana semua orang sudah tahu cara-cara mengerjakan sawah padi. Dari mula menanam, menjaga, merawat, menuai sehinggalah ianya menjadi beras sebagaimana yang dibuat oleh orang-orang sekarang sudah pun kita tahu. Peralatan moden dan canggih yang datang dari barat atau pun luar negeri, sudah pun kita gunakan, dan dipakai oleh para pesawah kita sekarang. Apa yang kita nak tahu sekarang ialah cara bagaimana orang dulu-dulu iaitu zaman 40an dan 50an pesawah-pesawah mengerjakan bendang mereka untuk menanam padi, hinggalah musim menuai dan jadi beras. Dulu-dulu orang kampung mengerjakan sawah untuk menanam padi dengan menggunakan kerbau. Di Melaka misalnya, ada orang kampung yang mempunyai sawah 10 atau pun 15 petak. Ada yang kurang daripada itu. Mereka yang miskin, ada dua tiga petak saja. Mereka yang hidup sederhana ada 10 atau pun 12 petak. Yang agak kaya sikit, ada memiliki 15 hingga 20 petak sawah. Sawah-sawah ini dikerjakan untuk tanam padi setahun sekali. Mula-mula sekarang sawah itu mestilah ada airnya. Kalau sawah kering tidak boleh dikerjakan. Biasanya, orang kampung yang memiliki sawah akan menanti musim hujan. Kalau hujan turun dengan lebat atau pun setiap hari, atau pun dalam satu minggu 3 atau pun sekali, maka sawah-sawah akan digenangi air, dan ini adalah masa untuk mengerjakan sawah-sawah mereka. Alat-alat yang dipergunakan untuk mengerjakan sawah ini adalah “Bajak”. Alat ini diperbuat dari kayu. Di bahagian bawahnya ada alat besi yang tajam dimana bila bajak itu ditarik oleh kerbau, maka tanah itu akan terbongkar dan berbolak balik. Di leher kerbau itu akan dipasang apa yang disebut sebagai “Kok”. Benda ini dipasang di atas tengkok dan di bawah leher kerbau itu, dan ada tali dipasang dari kok itu hingga ke bajak. Bajak ini dikendalikan oleh seorang yang tahu yang ada ilmu membajak sawah. Apabila dipasang tali, kok dan disambung ke badan bajak tadi, maka kerbau itu akan menariknya. Kerbau yang menarik bajak tadi tahu arahan dari yang mengendalikan bajak itu.
Penggendalinya akan beri arahan begini: “Jalan”, maka kerbau pun berjalan menarik bajak itu. Orang yang memegang bajak itu tahu bagaiman bajak itu ditarik. Kalau bajak itu memasukan matanya ke dalam tanah maka, sukar bagi kerbau itu menariknya. Kalau silap-silap kendali, bajak itu boleh patah, kerana mata bajak itu masuk terlalu dalam. Kemudian kerbau itu diberitahu: “Berhenti”, maka kerbau itu akan berhenti. Kita akan betulkan semula kedudukan bajak itu, dan kemudian kita suruh kerbau “jalan” semula. Kalau kita sedang membajak itu, tiba-tiba kerbau menghala jalan ke dalam, ertinya berat kesebelah kiri, maka kita akan beritahu kerbau itu: “Luak...(maksudnya luar). Kalau kita sebut perkataan luar, kerbau itu tidak faham, tetapi kalau sebut perkataan “luak”, kerbau itu akan faham. Dia akan berjalan ke kanan sedikit. Jadi, dengan kata-kata lain, kerbau yang tugasnya membajak sawah faham perkataan orang utara iaitu “luak” dari perkataan orang selatan yang menyebutnya “Luar...” Kalau sawah itu besar dan panjang, maka mungkin tidak habis dibajak pada hari itu. Biasanya, setiap petak sawah yang dibawa itu cuma mengambil masa dalam “lima jam” atau enam jam saja.
Sebelum waktu zuhur, pesawah itu akan pulang. Kerbau dan bajak itu dicuci dengan air sawah. Setelah bersih, bajak itu akan dipikul dibawa naik ke darat dan diletakkan di tempat yang redup, seperti di bawah pokok, atau pun di bawah rumah, kalau rumah itu dekat dengan sawah. Kerja-kerja membajak saja akan mengambil masa hampir sebulan. Setelah selesai membajak, masuk pula pada tahap kedua iaitu disebut sebagai “menyikat”.
Maksud menyikat di sini, alat bajak tidak lagi digunakan, tetapi kita gunakan satu alat lain iaitu alat itu yang boleh menghancurkan tanah yang sudah dibajak tadi yang berketul-ketul itu. Setelah disikat maka tanah yang berketul itu, akan menjadi hancur. Kemudian semua rumput rampai, tunggul-tunggul kayu dan apa juga sampah sarap yang besar yang kecil akan dibersihkan dan dibuang dari dalam sawah itu. Yang paling menyukarkan ialah apabila sawah-sawah itu ditumbuhi dengan pokok-pokok benderong. Pokok ini sejenis pokok yang hidupnya cukup subur dan lebat dalam sawah. Tunggulnya agak besar dan besar, dan sukar pula mahu dihancurkan dengan sikat, kerana akarnya keras dan berketul-ketul. Sawah-sawah yang mempunyai pokok benderung ini akan mengambil masa yang lama mengerjakannya. Istilah orang-orang kampung ialah “mengerjakan Sawah”. Pada tahap pertama membajak dan menyikat akan mengambil masa hampir dua tiga bulan. Kemudian, pada tahap kedua pula akan dibajak lagi. Tahap ini tanahnya agak sudah lembut. Rumput rampai, pokok-pokok benderong sudah tidak ada lagi. Dalam tahap kedua membajak ini, pesawah-pesawah mula menyemai padi. Menyemai padi ini ialah dengan kaedah bahawa padi itu hendaklah direndam terlebih dahulu dalam masa tiga atau empat hari. Sesudah direndam, padi itu hendaklah ditoskan, iaitu dikeringkan airnya. Dalam peringkat ini, padi yang hendak disemai itu hendaklah ditutup dengan tikar dalam masa seminggu sehinggalah padi itu mula tumbuh. Apabila sudah dilihat padi tumbuh itu hendaklah disemai. Tapak semaian padi ini dibuat agak istimewa. Tempatnya dalam sawah juga, tetapi sawah itu hendaklah dikeringkan. Sawahnya (tempat semaian) itu hanyalah tinggal lumpur saja. Tidak ada rumput rampai di atasnya.
Selanjutnya dapatkan Hidayah Ogos 2011 di pasaran...
Monday, August 8, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment