Monday, August 8, 2011

Salam Kami Ogos 2011


ASSALAMUALAIKUM WR.WBT.
SEGALA puji dan syukur kika ke hadrat Allah s.w.t. serta salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Kita kini berada di ambang Ramadan 1432. Dalam suasana yang syahdu dan harmoni ini, tentunya kita telah bersiap sedia melaksanakan ibadat puasa Ramadan yang difardukan kepada setiap umat Islam. Hidayah seperti biasa terus menemui anda. Sememangnya dalam melalui Ramadan yang mulia ini, sewajarnya kita banyak membaca kitab-kitab agama, majalah-majalah agama dan bermuzakarah dalam mendalami ilmu agama. Ruangan kisah iktibar kali ini terus memaparkan pelbagai ragam kehidupan masyarakat sekitar kita. Kisah ‘Tragedi perampas harta pusaka’ mengajar kita agar tidak kemaruk dengan harta tanah sekadar sejengkal dua jengkal yang hanya membawa beban dosa di akhirat kelak. Begitu juga dengan kisah ‘Akhir hayat Pegawai Yang rasuah’ mengenai sifat tamak haloba pegawai kerajaan yang tidak amanah terhadap tanggungawab mereka akibat terjerak perbuatan rasuah yang menjijikkan. Sementara ‘Banjir musnahkan rumah mewah’ membawa mesej betapa hasil perbuatan curang demi untuk mengatasi masalah kemiskinan akan tetap mendapat bala daripada Allah s.w.t. Dalam bab agama, tidak ada istilah matlamat menghalalkan cara. Yang haram tetap haram. Kisah ‘Nasib pilu isteri derhaka’ merupakan sekelumit dari sekian banyak kisah penderhakaan isteri terhadap suami yang dilakukan akibat kejahilan dan menurut hawa nafsu. Sesuai dengan keluaran yang bertepatan bulan puasa ini, Hidayah turut menyiarkan rencana-rencana berkaitan ibadat puasa dan sebuah rencana khas bertajuk ‘Ramadan bulan ‘Al-Quran’ Anda perlu membaca rencana bertajuk ‘Lingkaran Islam di Kutub Utara’ bagi mengikuti bagaimana sekelompok masyarakat Islam di sana menghidupkan syiar di negara yang bersalji sepanjang tahun itu. Semoga semangat dan kegigihan mereka menguatkan lagi tekad kita dalam menghidupkan syiar di negara kita yang tercinta ini tanpa sebarang permasalahan berbanding kehidupan di pulau berais itu.
Catatan ruangan ini saya akhiri dengan memetik sebuah hadis popular bermaksud: “Allah s.w.t. berfirman, ‘Semua amal anak Adam dilipatgandakan dari sepuluh sampai tujuh ratus lipat ganda, kecuali puasa. Maka puasa itu mellulu untukKu dan Aku yang akan membalasnya, ia meninggalkan syahwat, makan dan minum keranaKu, dan puasa itu sebagai perisai. Dan orang yang puasa terdapat dua kegembiraan; kegembiraan ketika menghadapi saat berbuka puasa, dan gembira kelak bila bertemu kepada Tuhan pada hari kiamat.”
“Selamat berpuasa” dan kita berjumpa lagi dalam keluaran akan datang.
Wassalam!

Pengarang
Shahimisaifulislam@yahoo.com.my

No comments: