Wednesday, June 6, 2012

Bila Makmum Dapatkan Rakaat Imam?

DIDALAM solat jemaah, ada makmum yang sejak awal mengikuti imam hingga boleh membaca al-Fatihah, tetapi kadang-kadang tidak sedikit pula makmum yang tertinggal bacaaan Fatihahnya oleh imam (masbuq). 
Untuk kategori makmum yang sempat membaca al-Fatihah lalu mengikuti rukun selanjutnya memang sudah dikategorikan telah mendapat rakaatnya imam. Tetapi, bagi mereka yang ketinggalan, ertinya begitu takbir sudah menjumpai imam sedang rukuk, apakah masih digolongkan mendapatkan satu rakaat atau tidak?
Hitungan mendapati rakaat atau tidak ini akan berpengaruh pada jumlah rakaat yang dilakukan makmum. Sebab bila dianggap masih mendapati, maka makmum tidak perlu menambahi rakaat setelah imam bersalam. Sebaliknya, bila terhitung tidak mendapatkan rakaat, maka ada keharusan menambahi rakaat setelah imam salam. Oleh kerana itu penting mengetahui hal ini agar mendapatkan ketenangan dalam menjalankan ibadah sekaligus terhindar dari keraguan. Memang masalah ini masuk wilayah khilafiyah [perbedaan pendapat]. Tetapi kita tidak usah kebingungan jika sudah mendapatkan pemaparan yang jelas dan terang.

Dua Pendapat
Baiklah, kita mulai dari pendapat pertama. Kelompok ini cenderung mengatakan bahawa al-Fatihah mutlak harus dibaca imam mahupun makmum bila dalam keadaan berjemaah. Kerana itu ketika seorang makmum belum sempat membaca al-Fatihah saat menyusul imam sedang rukuk, sebenarnya makmum seperti ini belum mendapatkan rakaatnya. Ertinya setelah imam salam, makmum ini harus menambah jumlah rakaatnya yang tertinggal. Kalau pun ada hadis yang bicara bahawa bila makmum masih mendapati rukuknya imam dihitung masih mendapatkan rakaat, menurut pendapat pertama ini, kedudukan hadis tersebut lemah, entah itu di bahagian sanad mahupun matannya. Dalil yang kuat adalah riwayat dari Qatadah bahawa Nabi s.a.w. suka membaca al-Fatihah pada setiap rakaat (HR. Termizi). Selain itu ada hadis lagi dari Abu Hurairah bahawa Nabi s.a.w. bersabda, “Apabila kamu mendengar iqamat, pergilah solat dan kamu mesti tenang, tidak bergopoh gapah dan tidak terburu-buru, apa yang didapati bersama imam, solatlah, apa yang ketinggalan dari imam, maka sempurnakanlah” (HR. Jamaah). Menurut Imam Hafizh dalam Kitab al-Baari, hadis di atas dapat dijadikan dalil bahawa orang yang mendapatkan imam sedang rukuk tidak dihitung rakaat, kerana ada perintah untuk menyempurnakan apa-apa yang ketinggalan, sedangkan dalam hal ini jelas makmum ketinggalan (tidak ikut berdiri dan membaca al-Fatihah). Adapun pendapat kedua berasal dari jumhur ulama. Mereka mengatakan bahawa seorang makmum yang masih mendapati rukuknya imam, dia masih mendapatkan rakaat imam. Katakanlah ketika makmum baru datang dan berada di shaf tetapi belum sempat membaca al-Fatihah, tiba-tiba imam sudah rukuk. Apabila dia langsung menyusul rukuk sebelum imam iktidal, maka makmum seperti ini dianggap masih mendapatkan rakaat imam. Banyak hadis yang berbicara masalah ini – meskipun di antara hadis-hadis tersebut dianggap lemah oleh kelompok pertama. Umumnya jumhur ulama mengatakan asalkan seorang makmum dapat ikut rukuk bersama imam, makmum tersebut sudah mendapatkan satu rakaat. Dalilnya yang shahih adalah sebuah hadis dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Apabila kamu datang ke (masjid untuk) solat berjemaah, sedangkan kami dalam keadaan sujud, maka sujudlah, namun janganlah kamu menghitungnya sebagai satu rakaat, barang siapa yang mendapatkan rukuk bersama imam, maka ia mendapatkan solat dengan 1 rakaat tersebut”. Para ulama mencarikan titik temu di antara dalil-dalil yang ada yang mungkin dianggap saling bertentangan, seperti dalil tentang sah tidaknya solat tanpa bacaan al-Fatihah dan dalil sekitar bacaan al-Fatihah imam yang sudah cukup menjadi penanggung buat makmumnya. Setelah mempertimbangkan semua dalil, para ulama menyimpulkan bahawa bila seorang makmum sempat ikut rukuk sejenak bersama imam, maka dia telah mendapat satu rakaat. Mazhab Syafi’iyah sedikit memberi catatan, asalkan makmum masih sempat menyusul imam dan berthuma’ninah bersama imam sekali pun sebelumnya tidak sempat membaca Fatihah atau menyelesaikan Fatihahnya, makmum ini masih tergolong mendapatkan satu rakaat. Tetapi kalau tidak boleh thuma’ninah, rakaat yang seperti ini tidak terhitung. Kerana itu, makmum ini wajib menambah rakaat setelah imam salam.

Soal Bacaan Al-Fatihah
Membaca al-Fatihah memang termasuk rukun solat. Kerana rukun solat, siapa saja yang solat namun tidak membaca al-Fatihah, maka solatnya dianggap tidak sah. Ini dikuatkan sebuah hadis dari Ubadah bin Shamit yang mengkhabarkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Tidak sah solat orang yang tidak membaca ummul Quran (al-Fatihah)” (HR. Muslim). Bila kita kembali kepada penjelasan dari pendapat jumhur ulama di atas, ketentuan ini serasa bertolak belakang dengan keterangan bahawa makmum yang tidak sempat membaca al-Fatihah namun boleh menyusul imam yang sedang rukuk, makmum tersebut terhitung sudah mendapatkan rakaat. Memang kalau berhenti di situ, ada kesan tidak jelas di antara keduanya. Tetapi ada dalil yang boleh mempertemukan keduanya, yakni sebuah hadis yang menjelaskan bahawa bacaan imam sudah cukup bagi makmum, sehingga ketika makmum tidak membaca ummul kitab itu, hukumnya sudah sah. Hadis itu berasal dari Jabir yang berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Barang siapa yang mempunyai imam, maka bacaan imam menjadi bacaannya juga.” (HR. Ahmad) Tetapi, bagi imam atau orang yang solat sendirian berkewajipan membaca al-Fatihah. Namun, bagi makmum (dalam solat berjemaah) tidak perlu membacanya, kerana bacaan imam sudah menjadi bacaan bagi makmum.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Jun 2012 di pasaran...

No comments: