Wednesday, June 6, 2012

Hikmah Setiap Solat 5 Waktu

Ali bin Abi Talib r.a berkata: “Sewaktu Rasulullah s.a.w.. duduk bersama para sahabat Muhajirin dan Ansar, maka dengan tiba-tiba datanglah satu rombongan orang-orang Yahudi lalu berkata: “Ya Muhammad, kami hendak tanya kepada kamu kalimat-kalimat yang telah diberikan oleh Allah kepada Nabi Musa a.s. yang tidak diberikan kecuali kepada para Nabi utusan Allah atau malaikat muqarrab.” Lalu Rasulullah s.a.w.. bersabda: “Silakan bertanya.” Berkata orang Yahudi: “Sila terangkan kepada kami tentang 5 waktu wajibkan oleh Allah ke atas umatmu.” Sabda Rasulullah s.a.w.. “Sembahyang Zuhur jika tergelincir matahari, maka bertasbihlah segala sesuatu kepada tuhanNya. ”Sembahyang Asar itu ialah saat ketika Nabi Adam a.s. memakan buah Khuldi. ”Sembahyang Maghrib itu adalah saat Allah menerima taubat Nabi Adam a.s. maka setiap mukmin yang bersembahyang Maghrib dengan ikhlas kemudian dia berdoa meminta sesuatu pada Allah maka pasti Allah akan mengkabulkan permintaannya. ”Sembahyang Isyak itu ialah sembahyang yang dikerjakan oleh para Rasul-Rasul sebelumku. ”Sembahyang Subuh adalah sebelum terbit matahari, ini kerana apabila matahari terbit, terbitnya di antara dua tanduk syaitan dan di situ sujudnya tiap orang kafir.” Setelah orang Yahudi mendengar penjelasan dari Rasulullah s.a.w.. mereka berkata: “Memang benar apa yang kamu katakan itu. Muhammad, katakanlah kepada kami apakah pahala yang akan didapati oleh orang yang sembahyang?” Rasulullah s.a.w. bersabda: “Jagalah waktu-waktu sembahyang terutama sembahyang yang pertengahan, sembahyang Zuhur, pada saat itu nyalanya neraka Jahanam, orang mukmin yang mengerjakan sembahyang pada ketika itu akan diharamkan ke atasnya wap api neraka Jahanam pada hari Kiamat.” Sabda Rasulullah s.a.w.. lagi: “Manakala sembahyang Asar, adalah saat dimana Nabi Adam a.s. memakan buah Khuldi. Orang mukmin yang mengerjakan sembahyang Asar akan diampunkan dosanya seperti bayi yang baru lahir.” Setelah itu Rasulullah s.a.w.. membaca ayat yang bermaksud: “Jagalah waktu-waktu sembahyang terutama sekali sembahyang yang pertengahan., sembahyang Maghrib itu adalah saat di mana taubat Nabi Adam A.S. diterima. ”Seorang mukmin yang ikhlas mengerjakan sembahyang Maghrib kemudian meminta sesuatu dari Allah maka Allah akan perkenankan. Sabda Rasulullah s.a.w..
“Sembahyang Isyak. Katakan kubur itu adalah sangat gelap dan begitu juga pada hari Kiamat, maka seorang mukmin yang berjalan dalam malam yang gelap untuk pergi menunaikan sembahyang Isyak berjemaah, Allah s.w.t. haramkan dari terkena nyalanya api neraka dan diberinya cahaya untuk menyeberangi titi sirath.” Sabda Rasulullah s.a.w..,  “Sembahyang Subuh pula, seorang mukmin yang mengerjakan sembahyang subuh selama 40 hari secara berjemaah, diberi oleh Allah s.w.t. dua kebebasan iaitu:
1. Dibebaskan dari api neraka
2. Dibebaskan dari nifaq.” Setelah orang Yahudi mendengar penjelasan dari Rasulullah s.a.w.. maka mereka berkata: “Memang benarlah apa yang kamu katakan itu wahai Muhammad (s.a.w.)”

Balasan baik jika muliakan tetamu

Dikisahkan bahawa ketika berlakunya kekurangan makanan dalam kalangan Bani Israil, maka lalulah seorang fakir menghampiri rumah seorang kaya dengan berkata: “Sedekahlah kamu kepadaku dengan sepotong roti dengan ikhlas kerana Allah.” Setelah fakir itu berkata demikian, maka keluarlah anak gadis orang kaya, lalu memberikan roti yang masih panas kepadanya. Sebaik gadis itu memberikan roti itu, maka keluarlah bapa gadis berkenaan yang bakhil terus memotong tangan kanan anak gadisnya hingga putus.
Sejak peristiwa itu, Allah mengubah kehidupan orang kaya itu dengan menarik kembali harta kekayaannya hingga dia menjadi seorang yang fakir. Akhirnya, dia meninggal dunia dalam keadaan yang paling hina.
Anak gadis itu menjadi pengemis dan meminta-minta dari rumah ke rumah. Maka pada suatu hari anak gadis itu menghampiri rumah seorang kaya sambil meminta sedekah, maka keluarlah seorang ibu dari rumah itu.
Ibu itu terpegun dengan kecantikannya dan mempelawa anak gadis itu masuk ke rumahnya. Ibu itu sangat tertarik dengan gadis itu dan berhajat untuk mengahwinkan anaknya dengan gadis berkenaan. Maka, selepas perkahwinan itu selesai, si ibu itu pun memberikan pakaian dan perhiasan bagi menggantikan pakaiannya.
Pada suatu malam apabila sudah dihidang makanan malam, maka si suami hendak makan bersamanya. Anak gadis itu kudung tangannya dan suaminya juga tidak tahu bahawa dia kudung kerana ibunya merahsiakan perkara itu. Apabila suaminya menyuruh dia makan, lalu dia makan dengan tangan kiri. Apabila suaminya melihat keadaan isterinya itu dia pun berkata: “Aku mendapat tahu bahawa orang fakir tidak tahu dalam tata cara harian, oleh itu makanlah dengan tangan kanan dan bukan dengan tangan kiri.” Selepas si suami berkata demikian, maka isterinya itu tetap makan dengan tangan kiri, walaupun suaminya berulang kali memberitahunya. Dengan tiba-tiba terdengar suara dari sebelah pintu: “Keluarkanlah tangan kananmu itu wahai hamba Allah, sesungguhnya kamu telah mendermakan sepotong roti dengan ikhlas keranaKu, maka tidak ada halangan bagiKu memberikan kembali akan tangan kananmu itu.” Setelah gadis itu mendengar suara itu, maka dia pun mengeluarkan tangan kanannya dan mendapati tangan kanannya berada dalam keadaan asalnya. Dia pun makan bersama suaminya dengan menggunakan tangan kanan. Hendaklah kita sentiasa menghormati tetamu kita, walaupun dia fakir. Sesungguhnya apabila dia datang ke rumah kita, maka dia adalah tetamu kita. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Barang siapa menghormati tetamu, menghormatiku, maka sesungguhnya dia telah memuliakan Allah. Dan barang siapa telah menjadi kemarahan tetamu, dia telah menjadi kemarahanKu. Dan barang siapa menjadikan kemarahanKu, sesungguhnya dia telah menjadikan murka Allah.” Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Sesungguhnya tetamu itu apabila dia datang ke rumah seseorang mukmin itu, maka dia masuk bersama dengan seribu berkat dan seribu rahmat.”

BACALAH YASIN
Bacalah Yasin (Tapi wajib bertajwid dan mengikut adabnya). Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: “Bacalah surah Yassin kerana ia mengandungi keberkatan.” iaitu:
1. Apabila orang lapar membaca surah Yassin, ia boleh menjadi kenyang.
2. Jika orang tiada pakaian boleh mendapat pakaian.
3. Jika orang belum berkahwin akan mendapat jodoh.
4. Jika dalam ketakutan boleh hilang perasaan takut.
5. Jika terpenjara akan dibebaskan.
6. Jika musafir membacanya, akan mendapat kesenangan apa yang dilihatnya.
7. Jika tersesat boleh sampai ke tempat yang ditujuinya.
8. Jika dibacakan kepada orang yang telah meninggal dunia, Allah meringankan seksanya.
9. Jika orang yang dahaga membacanya, hilang rasa hausnya.
10. Jika dibacakan kepada orang yang sakit, terhindar daripada penyakitnya.
11. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya setiap sesuatu mempunyai hati dan hati al-Quran itu ialah Yassin. Sesiapa membaca surah Yassin, nescaya Allah menuliskan pahalanya seperti pahala membaca al-Quran sebanyak 10 kali.
12. Sabda Rasulullah s.a.w. lagi, “Apabila datang ajal orang yang suka membaca surah Yassin pada setiap hari, turunlah beberapa malaikat berbaris bersama Malaikat Maut. Mereka berdoa dan meminta dosanya diampunkan Allah, menyaksikan ketika mayatnya dimandikan dan turut menyembahyangkan jenazahnya.”
13. Malaikat Maut tidak mahu memaksa mencabut nyawa orang yang suka membaca Yassin sehingga datang Malaikat Redwan dari syurga membawa minuman untuknya. Ketika dia meminumnya alangkah nikmat perasaannya dan dimasukkan ke dalam kubur dengan rasa bahagia dan tidak merasa sakit ketika nyawanya diambil.
14. Rasulullah s.a.w. bersabda selanjutnya: “Sesiapa bersembahyang sunat dua rakaat pada malam Jumaat, dibaca pada rakaat pertama surah Yassin dan rakaat ke dua Tabaroka, Allah jadikan setiap huruf cahaya dihadapannya pada hari kemudian dan dia akan menerima suratan amalannya ditangan kanan dan diberi kesempatan membela 70 orang daripada ahli rumahnya tetapi sesiapa yang meragui keterangan ini, dia adalah orang-orang yang munafik.”

Selanjutnya dapatkan Hidayah Jun 2012 di pasaran...

No comments: