Wednesday, June 6, 2012

Jangan Terpesona Keramat Wali Allah

KEPADA Sultan al-‘Arifin, Abu Yazid al-Bustami pernah diberitakan bahawa: “Si polan boleh berjalan ke Makkah hanya dalam satu malam”. Lalu dia menjawab: “Syaitan juga boleh berjalan hanya satu saat dari timur ke Barat dalam keadaan dia dilaknat oleh Allah.”  Pada waktu yang lain diberitakan kepada beliau bahawa: “Si polan boleh terbang di udara”. Lalu beliau menjawab: “Lalat juga boleh terbang seperti itu.” Pada ketika yang lain diberitakan pula kepada beliau bahawa: “Si polan dapat berjalan di atas sungai.” Lalu beliau menjawab: “Ikan juga boleh berbuat begitu.” Dalam kitab ar-Risalah al-Qudsiyyah karangan Zainuddin al-Hafy disebutkan bahawa: “Semua guru-guru yang mursyid mengajar murid-murid mereka supaya jangan cenderung menginginkan keramat zahir dan menggalakkan mereka supaya lebih cenderung kepada kebenaran berbanding daripada memperturutkan keinginan hawa nafsu.” Cuba perhatikan bahawa Sultan al-‘Ariffin, Abu Yazid, moga-moga Allah mensucikannya, adalah beliau berlindung dengan Allah daripada perkara-perkara yang disebut di atas dan yang seumpamanya, sebagaimana yang dinukilkan dalam buku Hill ar-Rumuz min Qut al-Qulub, dalam munajatnya, beliau bermadah: “Ya Allah, Tuhanku, ada segolongan kaum meminta kepadaMu, lalu Engkau memberi mereka berupaya berjalan di atas air dan terbang di udara, maka mereka pun suka dengan yang demikian, akan tetapi aku berlindung denganMu daripada perkara yang sedemikian. Segolongan kaum pula meminta kepadaMu, lalu Engkau berikan kepada mereka supaya memijak seluruh bumi, maka mereka pun suka dengan yang demikian, akan tetapi aku berlindung denganMu daripada yang sedemikian. Segolongan lain meminta kepadaMu, lalu Engkau berikan kepada mereka kekayaan bumi dan orang ramai pun berdatangan kepada mereka, maka mereka pun suka dengan yang demikian, akan tetapi aku berlindung denganMu daripada yang sedemikian...” sehinggalah beliau menyebutkannya lebih daripada dua puluh makam wali-wali. Perhatikanlah betapa tinggi cita-cita dan himmah serta kekuatan hati beliau. Beliau hanya rela dengan apa yang diredhoi oleh Allah. Diriwayatkan bahawa Abu Hafsh al-Hadad pernah berkata kepada kawan-kawannya dalam suatu perjalanan di tengah padang pasir: “Jikalau ada kambing disini bolehlah kita sembelih”. Tiba-tiba muncul seekor kijang dari arah lain dan terus berhenti di hadapan Abu Hafsh. Semua sahabat Abu Hafsh merasa gembira, tetapi Abu Hafsh berdukacita dan menangis. Abu Hafsh ditanya kenapa dia berdukacita dan menangis Abu Hafsh menjawab: “Diberi apa yang dikehendaki, bermakna kita dikeluarkan dari pintu. Jikalau tidak diberikan apa-apa yang dikehendaki oleh Firaun, nescaya dia tidak akan terus menerus dalam kebathilannya.” Kemudian Abu Hafsh melepaskan kijang itu. (Begitulah yang termaktub dalam kitab Hill ar-Rumuz). Berkata Abu Yazid Rahimahullah: “Jikalau kamu melihat atau mengetahui seseorang diberikan keramat seperti terbang di udara, menghidupkan orang mati dan menyingkatkan perjalanan yang jauh, sehinggakan dia boleh duduk bersila di udara, maka janganlah kamu tertipu dengannya, jangan kamu Iktikadkan kewaliannya dan dekatnya kepada Allah, kerana perkara itu boleh jadi istidraj daripada Allah, sehinggalah kamu dapat mengenalinya bagaimana dia melaksanakan suruhan, larangan dan memelihara hukum-hukum Allah dan bagaimana dia mengamalkan syariat.” (Bariqah Mahmudiyyah fi Syarh Thariqah Muhammadiyyah, wa Syari’ah Nabawiyah fi Sirah Ahmadiyyah: 1/112-114). Apa erti istidraj? Ulama memberi makna istidraj itu ialah umpan untuk mengeluarkan seseorang daripada garis lurus kebenaran dengan tidak disedari. Diperturut apa-apa yang dia mahu dan dibukakan segala pintu sehinggalah dia lupa diri, yang akhirnya membawa jauh tersesat dan datang azab sekonyong-konyong. Sabda Nabi s.a.w. Maksudnya: “Dan jika engkau lihat Allah memberikan sebahagian keduniaan kepada hambaNya, apa sahaja yang diingininya dengan dengan kemaksiatannya, maka pemberian yang demikian adalah istidraj.”(HR. Imam Ahmad) Berkata pengarang Jauhar at-Tauhid: “Sesungguhnya wali Allah itu tidak mengetahui yang dia sebenarnya adalah seorang wali.” Pengarang berpendapat demikian dengan memberi alasan bahawa seseorang wali Allah itu menjadi wali hanyalah disebabkan hak (kebenaran) itu mencintainya, bukan kerana dia mencintai kebenaran. Cintakan kebenaran itu pula suatu rahsia yang tidak dapat diselami oleh sesiapapun melainkan oleh orang-orang yang tertentu daripada kalangan mereka yang dikehendaki oleh Allah sahaja. Selain daripada itu, ketaatan seseorang hamba itu tidak akan dapat memberi kesan kepada cintakan kebenaran itu, kerana ketaatan adalah baharu, sedangkan sifat-sifat hak (kebenaran) pula adalah qadim (abadi). Kemudian, ketetapan yang menunjukkan dianya seorang wali Allah, atau dia sebagai salah seorang ahli syurga dan akan menerima ganjaran pahala, adalah tertakluk keputusannya ketika dia menghadapi kematian. Dalilnya ialah firman Allah: “Sesiapa yang membawa amal yang baik, maka baginya sepuluh kali ganda amalnya itu.”(Surah al-An’am: 160) Jalan pengambilan dalil ialah kerana dalam ayat itu disebutkan “sesiapa yang membawa”, dan ayat itu tidak menyebutkan: “sesiapa yang beramal kebaikan”. Oleh sebab itu adanya hak boleh menerima ganjaran pahala hanya diperolehi dari ketika menghadapi kematian, bukan dari mula beramal. Apa yang disebutkan di atas ini tidaklah menegah adanya tanda-tanda kewalian bagi seseorang. Di antara tanda-tanda kewalian itu ialah: Dalam perbuatan zahir patuh tunduk kepada syariah manakala dalam perbuatan batin tenggelam di lubuk hakikat ketuhanan dan tetap hadir bersama Allah. Sebagai dalilnya ialah: Hendaklah dia tidak mempunyai rakan (sesuatu) selain Allah.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Jun 2012 di pasaran...

No comments: