Wednesday, June 6, 2012

Nasihat Pak Yazid: Cara Mudah Hadapi Mati

Pendakwah bebas Datuk Yazid Jaafar atau lebih dikenali dengan panggilan mesra ‘Pak Yazid Jaafar’ merupakan ‘penceramah agama’ yang diminati ramai. Cara penyampaiannya yang bersahaja disulami dengan sindiran jenakanya menjadikan majlis kuliahnya tidak jemu diikuti. Pak Yazid sewaktu aktifnya dulu sering membaca kitab ‘Tanbihul Ghafilin’ karya Abullaits Assamarqandi & H. Salim Bahreisy sebagai sumber rujukan beliau untuk tema dakwah dan nasihat kepada para jemaah yang mengikuti kuliahnya. Penerbit Pustaka Al-Mizan pernah menerbitkan siri-siri kuliah beliau yang diedarkan pada pertengahan tahun-tahun 80-an. Walaupun telah lebih 20 tahun diterbitkan, isi kuliah beliau tetap segar untuk diambil iktibar oleh kita semua. Berikut disiarkan sebahagian isi kuliah beliau yang menyentuh mengenai ketika mayat hendak dimandikan dan dikafankan. Kata Pak Yazid, ketika mayat diletakkan di satu tempat untuk dimandikan, maka dia dipanggil lagi dengan tiga kali panggilan. Apakah yang dipanggil kepada mayat ketika dia dimandikan? Sebelum kita menerangkan perkara tersebut, terlebih dahulu saya terangkan keadaan mayat ketika dimandikan. Kata Rasulullah s.a.w., si mayat yang dimandikan itu berkata: “Wahai orang ramai, janganlah kamu kuat-kuatkan atas aku. Aku ini sakit.” Sebab itu, hendaklah kita angkat mayat itu perlahan-lahan. Begitu juga dengan kain penutup mayat itu, jangan kita tarik sekaligus. Angkatlah perlahan-lahan kerana mayat itu sakit. Dan jirus air pun hendaklah dengan perlahan-lahan. Dan mayat yang hendak dimandikan itu pun tahu malu, sebab itulah sangat baik, sangat elok, dianjurkan supaya anak-anak muda belajar mandi mayat. Kenapa? Kerana apabila ayahnya mati, maka anak lelaki memandikan mayat ayahnya. Apabila ibunya mati, maka anak perempuan memandikan mayat ibunya. Kalau anak memandikan mayat ibu atau ayahnya, tentulah kurang malu mayat itu kerana anak kandungnya sendiri. Mereka sentuh di bahagian manapun tentulah mayat itu tidak malu. Begitulah juga, anak-anak muda hendaklah belajar sembahyang mayat. Kenapa? Kerana apabila ibu bapa kita mati bolehlah kita menjadi imam sembahyang mayat ibu bapa kita itu. sebab, anak lebih afdal menjadi imam mayat ibu bapanya sendiri daripada orang lain walaupun dalam majlis itu ramai ulama-ulama besar, seperti mufti dan sebagainya. Tetapi lebih afdal lagi anak menjadi imam kepada ibu bapanya. Sebab doa anak yang salih itu sampai kepada kedua ibu bapanya. Itulah kata mayat tadi: janganlah kuat-kuat atas aku. Aku ini sakit. Apa sakitnya? Terasa sakit sebab waktu keluarnya roh dari jasad. Sabda Rasulullah s.a.w.: (Sakitnya sakratul maut itu kira-kira 300 sakitnya pukulan dengan pedang). Ada di antara kita ini esok, waktu mati terasa sakitnya seperti mana dicincang dengan 300 kali cincangan pedang. Satu kali cincangan saja sakit, apalagi dengan 300 kali cincangan. Sebab itulah, selepas sembahyang itu kita perlu berdoa: “Wahai Tuhan, permudahkan aku waktu sakratul maut” (3X) Minta kepada Allah supaya memudahkan kita waktu nak mati. Inilah satu perkara yang amat membimbangkan dan merisaukan kita. Walaupun sekarang kita masih hidup, barangkali berkat doa kita minta umur kita panjang, maka Allah panjangkan umur kita.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Jun 2012 di pasaran...

1 comment:

Tiyah said...

Saudara
Adakah boleh saudara kongsikan nombor kontek Pak Yazid atau Bangunan Al-ikhwan .
T.kasih.