Wednesday, June 6, 2012

Falsafah HAMKA Mengubat Dukacita

SEKETIKA Maharaja Iskandar Zulkarnain akan menghembuskan nafasnya yang terakhir, setelah menaklukkan negeri-negeri Parsi dan India, setelah dirasakannya bahawa  telah sampai waktunya kembali ke akhirat, maka maharaja yang muda itu mengumpulkan orang-orang besarnya dan berkata: “Bilamana aku mangkat, letakkan mayatku di dalam peti, lalukan ke negeri Parsi dan Mesir dan segenap jajahan yang telah aku takluki. Dari dalam peti itu hendaklah dihulurkan kedua belah tanganku yang kosong, supaya orang tahu bahawa Raja Iskandar yang maha kuasa, walau bagaimana kuasapun, namun dia kembali ke akhirat dengan tangan kosong jua. “Dan jika ibu dan ahli rumahku hendak meratapi mayatku, janganlah dilarang mereka meratap, cuma suruh cari saja dua orang yang akan jadi temannya, iaitu yang tidak akan mati selama-lamanya, dan orang yang tidak pernah kematian. Kalau yang berdua itu telah ada, bolehlah mereka meratapiku.” Begitulah mendalami sekali madah Iskandar Zulkarnain yang diterjemahkan oleh Profesor Dr. Hamka dalam salah satu buku terkenalnya ‘Tasawuf Moden’ yang diterbit dan dicetak berulang kali bermula dari tahun 1939 hinggalah sekarang ini. Kisah Iskandar Zulkarnain itu diselitkan dalam bab yang membicarakan ‘Ubat Dukacita’. Menurut Hamka bahawa penyakit dukacita itu timbul kerana timbul lantaran terlampau pantang. Tetapi pantang itu mesti bertemu juga selama kita hidup. Ialah kerana kehilangan orang yang dikasihi atau barang yang dikasihi. “Sebab timbulnya dukacita itu, kerana terlalu besar sekali mementingkan keperluan jasmani, dan tidak terbatas syahwat, sehingga timbul kepercayaan bahawa barang yang dicintai itu tidak boleh terpisah selama-lamanya dari badan,” kata Hamka. Sememangnya manusia sentiasa resah gelisah dan tidak berpuas hati dengan apa yang didapati dan yang sudah berada dalam genggamannya. “Padahal kalau manusia itu telah tenteram hatinya, sihat badannya, dan cukup pula yang akan dimakan pagi dan petang, itulah orang yang sekaya-kayanya dan sesenang-senangnya. “Kalau dukacita juga, tanda kurang akalnya dan kurang budinya,” tegas Hamka. Menurut pujangga terkenal ini, timbul penyakit dukacita itu ialah lantaran menyedari keberuntungan yang telah berlalu atau takut menghadapi bahaya  yang akan datang, atau kerana memikirkan bahawa yang ada sekarang ini masih belum sempurna.
Sebenarnya begitulah sikap manusia. Apa yang tidak ada ditanganya atau yang telah terlepas dalam genggamannya itulah yang difikir-fikirkan sangat. Sedangkan apa yang ada pada dirinya yang telah dikurniai oleh Allah taala tidak dihiraukannya. Hamka menasihatkan kita semua, kalau manusia itu berdukacita memikirkan keberuntungan, kejayaan dan kemuliaan yang telah lalu, kedukaannya itu tidak berfaedah sama sekali. Sebab segala kejadian yang telah lalu walau bagaimanapun merapatinya, tidaklah akan kembali lagi. Sedangkan masa dua minit yang telah lalu, walau dikejar dengan mesin terbang yang selaju-lajunya, tidaklah dapat dikejar. “Guna apa merapati masa yang telah lalu, dia tak akan pulang, dan lantaran dirapati dia merosakkan badan. Kedukaan yang begini timbulnya lantaran tidak berkeyakinan bahawa segala isi alam ini asalnya tidak ada, kemudian itu ada dan akhirnya akan lenyap.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Jun 2012 di pasaran...

No comments: