Thursday, June 7, 2012

Salam Kami

ASSALAMUALAIKUM WR.WBT.
SEGALA puji dan syukur ke hadrat Allah s.w.t. serta salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Kita berjumpa lagi dalam suasana yang kian mendebarkan. Harus diingat bahawa kita kian menghampiri bulan Ramadan yang bagaikan tidak sabar-sabar untuk bertamu sekali lagi dalam hidup kita.
Maka sementara dalam menunggu-nunggu itu Hidayah tidak lupa menyumbang rencana-rencana tertentu yang ada kaitannya dengan ibadat puasa tersebut. Lazimnya dalam merangkak menuju bulan yang mulia itu, kita hendaknya bersiap sedia dalam segi mental dan kejiwaan kita bagi menyempurnakan ibadat wajib setahun sekali itu. Namun Hidayah dalam keluaran ini juga tidak lupa menghidangkan asam garam kehidupan manusia di atas muka bumi. Melalui ruangan iktibarnya pembaca dihidangkan dengan kisah yang begitu sinis bagaimana seorang wanita yang suka ‘mengumpat’ menghadapi balanya disaat penghujung usianya.
Sementara pada iktibar ke-2 kita paparkan bagaimana seorang wanita salihah dalam mengakhiri detik-detik sakaratul mautnya yang begitu indah dirasakan. Bagaimanapun dalam iktibar berikutnya pula bagaimana seorag lagi wanita menghadapi ajalnya dengan tangannya mengeras dan membengkok ke atas yang dikatakan akibat menyimbah air kepada ibu kandungnya sendiri. Pembaca tersayang, memanglah rasanya bagaikan tidak cukup ruang untuk kami paparkan satu persatu kehidupan manusia di muka bumi ini. Mahunya kita biarlah itu menjadi iktibar dan teladan kepada kita. Mahunya Hidayah ini bukan sekadar bahan bacaan bersahaja, tapi sebolehnya mahu mengajak para pembacanya sama-sama mendapat nikmat ‘hidayah’ di atas muka bumi Allah ini untuk menjadi bekalan kita di akhirat kelak. Semoga kita semua, dengan rahmat Allah jua dapat menikmati dimasukkan dalam golongan orang-orang yang beriman yang beramal salih, InsyaAllah. Moga akhir hayat kita hendaknya diakhiri dengan Husnul Khatimah.
Terima kasih dengan kerjasama dan sokongan anda yang berterusan.
Wassalam!

Pengarang
Shahimisaifulislam@yahoo.com.my

No comments: