Wednesday, March 13, 2013

Talkin Yang Menipu Dan Bidaah

ANTARA salah satu usul tarikat (tasawuf) yang penting walaupun mereka berlainan, berbeza wirid dan matlamat ialah: Si murid hendaklah berjanji kepada syeikh tarikat atau khalifah ataupun naibnya akan tetap mengamalkan wirid, bersikap taat dan mahabbah. Selain itu si murid mestilah tetap berada di dalam tarikat yang dimasukinya itu, tidak boleh keluar atau menukar ganti dengan tarikat lain sepanjang hayatnya.
Cara perjanjian itu dibuat ialah dengan si murid menjabat tangan syeikh sambil jarinya mengait erat jari-jari syeikh itu kedua-dua matanya dipejamkan, ketika itu syeikh akan berkata: “Berjanjilah dengan saya bahawa awak akan terus menerus melakukan wirid dengan syarat-syaratnya.” Serentak dengan itu diajarkanlah wirid berkenaan. Dari upacara tradisi inilah mereka meletakkan istilah: “Perjanjian, baiaah, berjabat dan talqin”.
Mereka mengemukakan dalil bagi upacara yang dibuat-buat itu berdasarkan kepada apa yang mereka dakwa dinukilkan dari Ali bin Abi Thalib r.a. yang bermaksud; Kata mereka: ‘Bahawa’ Ali telah bertanya kepada Nabi s.a.w., katanya: “Ya Rasulullah, tunjukkanlah kepada saya jalan yang terdekat dan termudah serta lebih afdhal kepada hamba dalam menuju kepada Allah Taala.” Sabda s.a.w. “Hai Ali, hendaklah engkau mengekalkan berzikir kepada Allah ketika sunyi”. Ali mengulas: “Sampai demikian kiranya kelebihan orang yang berzikir, sedangkan ia semua orang tahu.” Sabda Nabi s.a.w. lagi: “Hai Ali tidak akan berlaku kiamat di bumi selagi ada orang yang menyebut Allah, Allah”.’ Ali bertanya semula: “Macam mana saya hendak berzikir ya Rasululah.” Sabda Rasululah (s.a.w), “pejamkanlah matamu, dengarkanlah dariku tiga kali, kemudian engkau kata tiga kali saya hendak mendengarnya”, lalu Nabi s.a.w. bersabda: “La Ilaha Ilallah” tiga kali sambil memejamkan matanya dan meninggikan suaranya, “Ali mendengar, kemudian ‘Ali mengatakan: “La Ilaha Ilallah” tiga kali sambil memejamkan mata dan meninggikan suaranya, Nabi s.a.w. mendengarnya.” Sebenarnya cerita ini adalah satu pembohongan yang terang-terangan dibuat ke atas Rasulullah s.a.w. dan ke atas Ali bin Abi Thalib  dan juga ke atas seluruh umat Islam. Berasas kepada cerita dusta inilah puak itu telah meletakkan salah satu daripada usul-usul tarikat, iaitu usul perjanjian atau baiah, berjabatan tangan, kait mengait jari dan talkin. Lihatlah saudara pembaca-semoga Allah melindungi saya dan anda dari kejahatan dusta dan bidaah - bagaimana ahli-ahali tarikat, meletakkan usul yang di atasnya tarikat mereka dibangunkan, sedangkan dia lebih hina (rapuh) dari sarang labah-labah, kerana cerita dusta yang murah seperti ini, tidak tergamak lidah orang yang berakal hendak menyebutnya, apa lagi hendak disandarkan kepada Rasulullah s.a.w. dan kepada Ali bin Abi Thalib, tetapi puak ini tidak merasa rendah diri menyebutkan cerita yang paling buruk dan paling dahsyat sekalipun. Kadang-kadang mereka membuat dalil bagi baiah itu, berdasarkan baiah Rasulullah s.a.w. dengan para sahabatnya, di mana Rasulullah s.a.w. pernah mengikat janji dengan sebahagian mereka, mengenai berjihad dan nasihat bagi setiap yang baru masuk Islam, tetapi alangkah jauhnya yang ini dengan yang itu. Orang-orang salaf tidak menafikan, bahawa boleh si pendidik meminta orang yang dididiknya berjanji membuat taat, meninggalkan mungkar dan berpegang teguh dengan adab sopan sebagai pelajar dengan harapan, ia akan kuat beramal membuat taat kepada Allah dan RasulNya serta meninggalkan apa yang dilarang sehingga tercapai kebahagiaan. Apa yang kami ingkari di sini, ialah menganggap perjanjian itu sebagai usul (dasar) dan jalan yang mesti ditempuhi di dalam agama Allah. Sebab baiah Rasulullah s.a.w. itu samalah dengan baiah orang-orang Islam kemudiannya dengan orang-orang yang bertanggungjawab atas urusan pemerintah mereka, seperti baiah dengan khalifah-khalifah, amir-amir dan imam-imam Muslimin. Baiah ini adalah baiah syar’iyah (perundangan) bukan baiah dan perjanjian untuk taat kepada Allah dan RasulNya (keimanan). Tentu ketaatan kepada Allah dan RasulNya, ia sudah merupakan beban di bahu setiap orang Islam yang mengucap “La Ilaha Ilallah” dan “Muhammadar Rasulullah”. Sebaik sahaja seseorang hamba mengucap dua kalimah syahadah maka dengan sendirinya dia sudah mubayaah dan mengikat dirinya. Sebenarnya ahli-ahli tasawuf mempunyai tujuan penting tertentu, ketika meletakkan usul ini sebagai usul tarikat, iaitu hendak menguasai roh orang-orang mukmin dan mempengaruhi jiwa mereka, supaya mereka tetap tertawan dan terletak di bawah kekuasaan mereka, sampai bila-bila untuk mereka kendalikan menurut kemahuan nafsu mereka, tanpa ada ikhtiar dan pilihan lagi dari orang itu. Saya pernah melihat ada orang yang berdusta, sanggup bersumpah dengan nama Allah dan sebaliknya tidak berani bersumpah dengan nama syeikh walaupun ia benar. Saya juga pernah bertemu dengan orang yang lebih takut kepada syeikh daripada takutkan Allah s.w.t. Kesimpulannya mengambil janji itu, jika adapun dasarnya pada syarak, iaitu baiah Rasul dan baiah umat Islam kepada imam-imam (pemerintah) mereka, adalah menyimpang dari maksud asal (bersifat syari’), oleh kerana itu, ia adalah salah satu bidaah yang direka dengan tujuan mempergunakan orang-orang awam yang hendak dikuasai jiwa mereka bagi kepentingan syeikh tarikat dan pengikut terdekatnya. Inilah hakikat baiah di dalam tarikat-tarikat tasawuf.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Mac 2013 di pasaran...

1 comment:

nira said...

Saya ada kawan yang terlibat dalam hal ni. Saya merasa ragu dan saya jumpa blog tuan. Terima kasih ats pencerahan.