Tuesday, May 14, 2013

Salam Kami

ASSALAMUALAIKUM WR.WBT.
SEGALA puji dan syukur ke hadrat Allah s.w.t. serta salam dan selawat kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Bulan Mei ini Hidayah menemui anda dalam suasana negara kita sedang menghadapi PRU13. Inilah demokrasi yang kita amalkan. Bagi kita inilah masanya untuk membuat pilihan kerajaan baru untuk tempoh lima tahun akan datang. Adalah menjadi tanggungjawab rakyat menunaikan amanah ini dengan penuh telus dan matang. Kita bukan saja perlu memilih kerajaan yang akan meneruskan pembangunan wawasan menjadi Malaysia negara maju pada tahun 2020, malah kita juga mahu maju sampai ke akhirat.
Oleh itu pilihlah pemimpin yang amanah, telus, berwawasan, berakhlak – bukan pemimpin yang korup, yang mengambil kesempatan mengaut kekayaan untuk diri sendiri, kroni dan kaum keluarga. Dalam suasana bahang PRU13 inilah Hidayah tetap menemui pembacanya. Hidayah tetap memaparkan kisah-kisah dan rencana yang dapat memberi renungan kepada kita semua. Bacalah Iktibar 1 bagaimana nasib seorang ahli perniagaan yang mengutamakan kejayaan duniawinya tanpa memikirkan balasan dosa pahala di akhirat kelak. Disamping itu, anda jangan lupa baca dan teliti rencana ‘Bertaubatlah sebelum terlambat’ (Muka 154) agar kita dapat mengambil pengajarannya. Sementara bagi peminat dunia sufi bolehlah ikuti rencana bertajuk ‘Kedudukan Tasawuf Dalam Islam’ dan jangan lupa mengikuti rencana ‘Kenali Siapa Jin, Siapa Syaitan’ disamping pelbagai rencana lain lagi. Hidayah juga dalam proses membuat perubahan lay-out cover secara bertahap demi memberi daya tarikan dan kepuasan kepada pembaca. Kami amat berterima kasih dengan pandangan dan kritikan dari masa ke semasa oleh pembaca yang prihatin dengan majalah kesayangan ini. Setiap pandangan kami alu-alukan.
“Selamat mengundi dalam PRU13”.
Wassalam!
Terima kasih dengan sokongan berterusan anda semua.

Pengarang
Shahimisaifulislam@yahoo.com.my

No comments: