Monday, June 10, 2013

Duduk Di Tangga Masjid Merenung Kaabah

DUDUK di tangga dalam masjidil haram memang menjadi kesukaan ramai. Penuh sesak anak tangga diduduki orang, dari atas sampai ke bawah, masing-masing begitu asyik merenung Kaabah dan membaca al-Quran di situ. Bila mendengar orang kita (Melayu) membaca al-Quran, ‘mak-mak Arab’ itu semacam hairan juga, kepalanya mengangguk-angguk, tanda bacaan kita betul, makhrajnya tepat.  “Yang hairannya mengapa kamu tidak boleh bertutur bahasa Arab? Sedangkan bacaan al-Quran kamu lancar dan tepat,” begitulah kira-kira pertanyaannya, yang dijawab dengan senyum. Begitulah suasana di dalam Masjidil Haram menjelang Subuh. Mungkin tiap orang hanya dapat melelapkan mata, tidur hanya tiga empat jam sahaja selama di Makkah, tapi kita semua tidak terasa letih ataupun mengantuk, bahkan segar dan ceria, lantaran hati dan jiwa sudah melekat di masjid. Berkumandangnya azan solat subuh, serentak semua orang bangun menunaikan solat sunat fajar dua rakaat. Masing-masing datang berbekalkan ilmu. Sudah terpahat dihati tentang kelebihan dan keutamaan ibadah di Masjidil haram. “Sesungguhnya dua rakaat solat sunat fajar itu lebih baik daripada dunia dan seisinya. Janganlah engkau meninggalkan dua rakaat sunat fajar, meskipun engkau di kejar oleh tentera berkuda,” demikian sabda Rasulullah s.a.w. Sesungguhnya Masjidil Haram tidak pernah sunyi sepi. Dari siang sampai ke malam, hingga ketengah malam, hinggalah menjelang fajar, sampailah ke pagi hari, siang bertukar malam dan malam bertukar siang, suasana dalam Masjidil Haram sentiasa meriah, terang benderang bermandikan sinaran lampu bergemerlapan. Hamba-hamba Allah tak henti-henti beribadah, datang dan pergi, silih berganti. Yang bertawaf mengelilingi Kaabah, yang bersa’i, yang membaca al-Quran, yang bersolat tak henti-henti dan terdapat juga beberapa kumpulan sedang berkuliah. Masjidil Haram tak pernah tidur. Hijir Ismail sentiasa penuh orang bersolat. Begitu juga makam Ibrahim. Firman Allah s.w.t.: “Jadikanlah Makam Ibrahim sebagai tempat solat.” Padanya terdapat tanda-tanda yang nyata, bekas dua tapak kaki Nabi Ibrahim a.s. “Tidak ada sesuatupun di bumi yang berasal dari Syurga, kecuali Rukun (Hajar Aswad) dan Makam Ibrahim.” Hajar Aswad, tiap detik dan tiap saat sentiasa penuh sesak, sentiasa menjadi rebutan hamba-hamba Allah yang ingin menyentuh dan mengucupnya, biarpun terpaksa berasak-asak, berhimpit-himpit...terdetik dan terjerit kelemasan terhimpit dan dihimpit. Beruntunglah mereka yang dapat mengucupnya. Firman Allah s.w.t.: “Engkau menjadi saksi bagi orang-orang yang mendatangimu pada hari Kiamat nanti.” Pada Hari Kiamat kelak, batu (Hajar Aswad) akan datang dengan sepasang mata yang dapat melihat, dan sebuah lisan yang dapat berbicara, untuk memberikan kesaksian bagi orang yang pernah menyentuhnya. Di Telaga zam-zam (bahagian wanita) lain pula halnya. Mereka yang masuk ke situ bukan setakat nak mengambil wuduk dengan air zam-zam, dan minum air zam-zam, bahkan begitu seronok bermandi-mandi dan bersiram dengan air zam-zam. Siap bawa botol air mineral, puas dapat berjirus satu badan dengan air zam-zam. Dari kepala hingga ke kaki.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Jun 2013 di pasaran...

No comments: