Monday, June 10, 2013

Membuang Hasrat Korupsi

SELAIN menjadi tugas negara dengan segala peringkatnya untuk membanteras korupsi/rasuah, kita semua sebenarnya memikul tugas yang sama sesuai tanggungjawab dan kemampuan kita. Membanteras rasuah merupakan sebahagian dari tanggungjawab kita bersama, secara moral, sosial mahupun agama. Betapa hinanya perbuatan rasuah seperti ‘menumbuk rusuk’ untuk menyogok dan menyuap ‘wang’ bagi mendapatkan sesuatu projek bagi kepentingan syarikat atau diri sendiri atau kroni Tidak kurang banyaknya pesan-pesan Rasulullah s.a.w. kepada kita untuk menjauhi rasuah. Misalnya, baginda pernah mengatakan, “Siapa saja yang tubuhnya tumbuh dari barang haram, maka neraka lebih pantas baginya.” (HR. Al-Hakim dari Abu Bakar)  Maka, beban kita adalah menjaga diri kita dari barang-barang haram. Ini penjagaan secara fizik. Selain itu, ada penjagaan secara mental dan fikiran. Kita jauhkan diri kita dari fikiran-fikiran untuk mendekati sesuatu yang haram seperti rasuah. Rasuah jelas merupakan perbuatan yang haram dilakukan. Nabi s.a.w. mengatakan, “Yang halal itu jelas, yang haram itu juga jelas. Di antara keduanya ada yang syubhat. Tidak banyak yang tahu hal ini. Siapa yang menjaga diri dari yang syubhat, bererti ia telah menjaga agama dan dirinya.” (HR. Bukhari dan Nu’man bin Basyir)  Kita layak belajar dari wanita salihah berikut ini perihal menjaga diri dari rasuah dan membuang hasrat atau mental korup dalam fikirannya. Suatu ketika, wanita ini datang mengadu kepada Imam Ahmad bin Hanbal. Ia berfikir bahawa wanita tersebut akan meminta sedekah darinya, sebagaimana kebanyakan orang. Namun, sebelumnya, ia mendengarkan pengaduan wanita tersebut dengan seksama, “Tuan, saya adalah ibu rumah tangga yang telah ditinggal mati suami. Setiap hari saya bekerja siang hingga malam. Siang hari saya bekerja mengurus anak-anak dan rumah tangga, sedangkan malam hari saya merajut benang untuk dijual sebagai penghasilan kami. Namun, saya tidak memiliki wang untuk membeli lampu, sehingga saya biasa mengerjakannya di bawah cahaya bulan.”
Mendengar cerita wanita tersebut, hati Imam Ahmad tergerak untuk menolong. Apalagi, jika yang ia perlukan hanya sebuah lampu. Namun, ternyata, cerita itu belum selesai. Imam Ahmad mengurungkan niatnya untuk memberi sedekah demi mendengarkan kelanjutan cerita wanita tersebut. Sambil menarik nafas, wanita itu mengadu kembali dengan wajah penuh kesedihan, “Hingga pada suatu ketika, kafilah milik pemerintah berkhemah di depan rumah saya. Lampu-lampunya terang benderang kerana jumlahnya banyak. Saya pun segera memanfaatkan cahaya tersebut untuk merajut. Akan tetapi, setelah pekerjaan saya selesai, saya bimbang, apakah rajutan itu jika dijual, hasilnya halal dimakan oleh saya dan anak-anak? Sebab, saya menggunakan lampu yang minyaknya dibeli dari wang negara yang tentu saja adalah wang rakyat juga.”
Imam Ahmad terkesan dengan kegundahan wanita tersebut yang khuatir dirinya telah mencuri wang rakyat. Sudah pasti ia bukan wanita sembarangan hingga memiliki ketajaman nurani seperti itu. Imam Ahmad pun bertanya, “Siapakah anda sebenarnya?” Dengan nada tertekan kerana kegundahannya, wanita itu menjawab, “Saya adalah adik perempuan Basyar Al-Hafi.”  Alangkah terkejutnya Imam Ahmad mendengar jawapan dari bibir wanita tersebut. Ternyata, sosok wanita yang berada di hadapannya itu adalah wanita terhormat, adik seorang gabenor yang adil dan dimuliakan semasa hidupnya, Basyar Al-Hafi.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Jun 2013 di pasaran...

No comments: