Monday, June 10, 2013

Orang Takwa Akan Dapat Dua Syurga

DALAM kuliah agama, dalam syarahan di mana-mana pun, para tuan guru, para ustaz kadang-kadang ada menyentuh masalah syurga dan neraka. Tujuan mereka menimbulkan soal syurga ini semata-mata untuk menarik perhatian kita umat Islam bahawa Allah ada menyediakan satu “balasan” yang paling hebat di akhirat nanti. Apabila kita tahu bahawa ada balasan dari Allah kepada orang yang beriman dan taat kepada perintah Allah, tentulah kita akan beramal dengan lebih kuat. Iman kita akan bertambah mantap apabila kita diberitahu bahawa di akhirat iaitu akhir matlamat semua insan ialah syurga, maka sudah tentulah kita akan berusaha lebih gigih untuk mengumpul amal salih dan kebajikan apabila kita mengadap Allah di akhirat kelak.
Itulah tujuan hidup dan matlamat setiap orang mukmin yang hidup di muka bumi ini. Di dalam syurga ada pelbagai nikmat disediakan oleh Allah kepada kita yang dimasukan ke Syurga Allah itu. Kemudian dalam kisah syurga inilah para ulama kita menerangkan syurga ada berbagai tingkat yang didiami oleh penghuninya kelak. Apakah syurga itu bertingkat-tingkat? Ini pertanyaan kadang-kadang timbul dalam kepala kita apabila para tuan guru memberikan kuliahnya. Allah s.w.t. menjelaskan tentang perkara ini dalam firmannya dalam surah Ar-Rahman ayat 46 yang mafhumnya: “Dan bagi orang yang takut akan saat menghadap Tuhannya, ada dua syurga.” Kemudian, kedua syurga itu dijelaskan pada ayat berikutnya. Sesudah itu dilanjutkan dengan firmanNya tentang tingkatan syurga yang lain: “Dan selain dari kedua syurga itu ada dua syurga lagi.” (Ar-Rahman: 62) Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a., tentang takwil firman Allah Taala di atas: “Dan bagi orang yang takut akan saat menghadap Tuhannya, ada dua syurga.” (Ar-Rahman: 46) Bahawa maksudnya, bagi orang yang merasa takut, setelah menunaikan kewajipan-kewajipannya, ada dua syurga. Menurut satu pendapat, bahawa masing-masing orang yang merasa takut itu mendapat dua syurga sendiri-sendiri. Dan, ada pula yang mengatakan, dua syurga itu untuk semua orang yang merasa takut. Tapi, pendapat yang pertama agaknya lebih nyata kebenarannya. Adapun menurut Muhammad bin Ali At-Tarmidzi, satu syurga untuk rasa takutnya kepada Tuhannya, dan satu lagi untuk kesediaannya meninggalkan syahwat. Makam (tingkatan) pada ayat di atas, ertinya: tempat. Jadi, maksud ayat, bahawa orang itu mengkhuatirkan kesanggupannya berdiri di tempatnya saat menghadap Tuhannya untuk dihisab. Dan oleh kerananya dia meninggalkan maksiat.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Jun 2013 di pasaran...

No comments: