Monday, June 10, 2013

Ehwal Mukjizat Nabi Sulaiman

SALAH satu kelebihan Nabi Sulaiman a.s. adalah diberikan kurnia oleh Allah untuk boleh bercakap dengan makhluk lainnya seperti binatang, tetumbuhan dan sebagainya. Bahkan, baginda juga diberikan kerajaan yang sangat agung, yang merupakan warisan dari ayahnya, Nabi Daud a.s. Allah berfirman tentang hal ini dalam QS An-Naml ayat 15-16 seperti dijelaskan di atas. Qatadah menafsirkan kata ilmu dalam ayat tersebut dengan pemahaman. Ada yang menafsirkannya dengan ilmu agama, ilmu hukum dan ilmu kimia. Menurut Imam Al-Qurthubi, ayat ini menjelaskan mulianya ilmu, tingginya kedudukan ilmu dan keutamaan orang-orang yang berilmu. “Nikmat ilmu merupakan sebesar-besar nikmat dan pemberian, siapa yang dianugerahi ilmu telah dianugerahi kelebihan dari seluruh hamba-hamba-Nya yang beriman,” tulis al-Qurthubi dalam tafsirnya. Dan salah satu ilmu yang dimiliki oleh Nabi Sulaiman a.s. adalah boleh berkata-kata dengan makhluk lainnya selain manusia. Menurut Alkalbi, di antara anak-anak Nabi Daud yang berjumlah 19 orang, hanya Nabi Sulaiman a.s. yang mewarisi kenabian (nubuwwah) bapanya, iaitu Nabi Daud. Sementara warisan berupa harta, tentu setiap anak akan menerimanya secara merata. Demikian juga yang dikatakan oleh Ibnu Al-Arabi. Menurutnya, “Apabila warisan berupa harta, maka akan dibahagi secara jumlah hitungan. Allah s.w.t. memberikan kekhusyusan kepada Sulaiman a.s. berupa kenabian dan hikmah yang dimiliki Daus a.s., dan Allah s.w.t. menambahkan kerajaan baginya yang tidak ada kerajaan semisal itu setelahnya.” Ibnu Athiyah seperti dikisahkan Imam Ahmad dalam Al-Musnadnya berkata, “Daud a.s. terlahir sebagai bangsa Israel dan seorang raja. Sulaiman a.s. mewarisi kerajaan dan darjat kenabian ayahnya. Ertinya, kenabian dan kerajaan ayahnya beralih kepadanya sepeninggal ayahnya, Daud a.s., dan disebut hadiah warisan. Ini seperti sabda Nabi, ‘Para ulama itu adalah pewaris para Nabi.’”  Meskipun begitu, kerajaan Nabi Sulaiman a.s. melebihi apa yang pernah dicapai oleh ayahnya, Nabi Daud. Hal ini diakui oleh Muqatil. Ia berkata, “Kerajaan Sulaiman a.s.lebih besar dari kerajaan Daud a.s. dan Sulaiman a.s. lebih tepat dalam memberi keputusan daripada bapanya. Dan, Daud a.s. lebih kuat dalam beribadah dari Sulaiman a.s.” Ulama lainnya berkata, “Tidak ada kerajaan seorang Nabi pun yang melebihi besarnya kerajaan Sulaiman a.s. Allah s.w.t. menundukkan manusia, jin, burung-burung dan binatang-binatang liar bagi Sulaiman a.s., dan Allah s.w.t. memberikan Sulaiman a.s. apa yang tidak pernah diberikanNya kepada manusia yang ada di permukaan bumi ini. Sulaiman a.s. mewarisi dari bapanya kerajaan dan kenabian. Setelah kewafatan bapanya, Sulaiman menjadi Nabi dengan menegakkan syariat yang dibawanya.” Kemampuan Sulaiman a.s. berkata-kata dengan binatang ini diceritakan oleh Muqatil. Menurutnya, saat itu Sulaiman sedang duduk, dan seekor burung terbang berputar-putar. Maka, Sulaiman berkata kepada orang-orang yang duduk di dekatnya: Tahukah kalian apa yang dikatakan burung ini? Dia berkata kepada saya, “Assalamualaikum wahai raja yang berkuasa dan Nabi bangsa Israel. Allah s.w.t. telah menganugerahimu kemuliaan. Allah s.w.t. memenangkanmu dari musuh-musuhmu. Aku akan pulang menemui anak-anakku setelah itu akan datang kembali. Burung itu pun kemudian datang lagi menemui Nabi Sulaiman dan siap menerima perintah baginda.
Fatqad As-Sabakhi berkata, “Saat itu Sulaiman sedang berjalan dan di atas sebuah pohon seekor Bulbul bertengger menggerak-gerakkan kepala dan ekornya. Sulaiman a.s. berkata kepada sahabat-sahabatnya, ‘Tahukah kalian apa yang dikatakan Bulbul ini?’ Mereka berkata, ‘Tidak, ya Nabi Allah.’ Sulaiman berkata: Dia berkata, ‘(jika) Saya memakan separuh dari buah-buahan maka dunia akan binasa.’ Kemudian Sulaiman a.s. berjalan melintasi burung Hud-hud (sejenis burung pelatuk) yang bertenggek di atas sebuah pohon, dan seorang anak kecil dengan jeratnya mencuba memancing Hud-hud. Sulaiman a.s. berkata, ‘Hati-hati wahai Hud-hud.’ Hud-hud berkata, ‘Anak kecil itu tidak berakal, saya akan menundukkannya.’

Selanjutnya dapatkan Hidayah Jun 2013 di pasaran...

No comments: