Monday, June 10, 2013

Salam Kami

ASSALAMUALAIKUM WR.WBT.
SEGALA puji dan syukur ke hadrat Allah s.w.t. serta salam dan selawat kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Sememangnya setiap diri kita mahu mencari yang terbaik, memperbaiki diri dari masa ke semasa dan melengkapkan diri menjadi orang mukmin dalam erti kata yang sebenarnya. Hasrat itu memang suci dan mulia, memang dialu-alukan dan itulah yang sepatutnya diisi dalam perjalanan saki baki hidup kita menuju ‘liang kubur’ masing-masing’. Apabila sudah berada dalam kubur, sudah tidak ada peluang lagi untuk kita memperbaiki diri, untuk mengerjakan amal-amal salih kerana dunia alam barzakh adalah dunia ghaib yang tidak sama dengan dunia kita ini. Oleh itu wajarlah dalam merangkak ke penghujung usia, yang kanak-kanaknya menjadi remaja, remaja ke dewasa dan melangkah menjadi ‘orang tua’ hendaklah kita rebut setiap kesempatan untuk menjadi yang terbaik – baik amal ibadatnya berbanding semalam – meningkatkan ilmu pengetahuan agamanya dan sebagainya. Saudara pembaca, rasanya tidak perlu meletakkan diri kita sebagai ‘ahli sufi’ atau ‘tokoh agamawan’. Memadailah kita berbuat dan beramal menurut keupayaan diri sendiri. Yang memberi ‘kefahaman ilmu’ dan ‘hidayah’ itu ialah Allah s.w.t. Kita adalah menurut apa yang dikehendaki dan ditakdirkan oleh Allah. Dalam pada itu beristiqamahlah untuk menjadi muslim yang sejati. Seorang mukmin hendaklah bersangka baik dengan Allah. Allah menyayangi kita, jika kita sayang Allah. Tapi kalau anda benci Allah, Allah juga akan benci anda. Pembaca budiman, bacalah Hidayah setiap keluaran dan hayatilah rencana yang dipersembahkan. Dalam keluaran ini anda jangan lupa baca rencana bertajuk ‘Beda mukmin dan bukan mukmin, ‘Fadhilah dan hikmah berselawat’, ‘Yang Bersyukur, Yang Beruntung’ dan lain-lainnya. Mahunya Hidayah menjadi media yang dapat membantu pembaca memperolehi ‘hidayah Allah’ dan menjadi ‘orang disayangi oleh Allah’, InsyaAllah.
Selamat membaca.
Wassalam! 

Pengarang
Shahimisaifulislam@yahoo.com.my

No comments: