Monday, July 8, 2013

Dataran Masjid Nabi Tempat Jemaah Melepak

BAGI umat Islam yang mengerjakan ibadah haji dan umrah ke Makkah mestilah menziarahi Bandar Suci Madinah. Kerana di Madinah ada “Makam Rasulullah s.a.w.” yang disemadikan di Masjid Nabawi, Madinah. Bagi umat Islam yang ke Makkah dan kalau tidak ke Madinah dan tidak menziarahi makam Rasulullah, dianggap sebagai meninggalkan satu kewajipan yang dianjurkan oleh agama. Dalam pakej Tabung Haji Travel dengan tema “Cinta Rasul” dalam bulan April lalu, satu rombongan 250 orang jemaah dari Malaysia telah mengikuti pakej TH Travel ini. Setelah berada di Kota Suci Makkah untuk beberapa hari, kami dibawa ke Madinah dengan menaiki bas. Ada tujuh buah bas. Setiap bas ada petugasnya yang membimbing dan memberikan penerangan kepada para jemaah. Kami tiba di Madinah kira-kira jam 11 malam waktu tempatan. Sebagaimana biasa kami ditempatkan di hotel yang selesa yang tidak jauh dari masjid Nabawi. Kawasan Madinah tahun demi tahun semakin cantik dan menarik. Datarannya yang dilengkapkan dengan payung pelindung panas dan hujan, cukup selesa bagi jemaah yang suka melepak di dataran ataupun diluar masjid. Walau apa waktu pun, para jemaah tetap melepak. Ada yang membaca Quran, ada yang solat, ada yang berzikir, dan ada yang berbual-bual, bila bertemu dengan rakan senegara.
Disinilah tempat mereka bertemu dan bersembang panjang. Yang memiliki telefon, mereka akan bercakap dengan keluarga mereka ditempat masing-masing. Pada ketika yang lain, kadang kala kita melihat keadaannya agak “bingit” kerana mendengar orang sana bercakap orang sini ketawa dan ada yang menjerit-jerit memanggil kawan, dan macam-macam kerenah manusia di dataran sekeliling masjid. Keadaan di dalam Masjid Nabawi itu sendiri memanglah luas. Ia boleh menampung lebih dari sejuta jemaah. Tidak ada masalah. Cuma dikawasan “Raudhah” agak payah sikit kita nak masuk, kerana daerah ini para jemaah terlalu ramai untuk bersembahyang. Sesudah sembahyang ada yang membaca Quran dan berzikir dan berdoa, dan ada yang tidak mahu bangun-bangun lagi. Keadaan sesak ini berlaku biasanya selesai sembahyang subuh. Para jemaah akan terus ke Raudhah, kemudian terus menziarahi makam Rasulullah s.a.w. Sebenarnya, agama yang menyuruh kita menziarahi makam Rasulullah s.a.w., tetapi sebaik-baik kita sampai di kawasan tersebut kadang-kadang belum sempat untuk berdoa, pengawal-pengawalnya sudah menyuruh kita segera beredar. Kita diarahkan segera meninggalkan tempat itu. Kita sempat lalu saja. Kita pun tak faham sikap pengawal-pengawal di situ. Seharusnya berilah para jemaah untuk berdoa, dengan mengucapkan salam kepada Rasulullah dan para sahabat. Barang kali kalau dibiarkan lama-lama tentulah keadaannya akan menjadi lebih sesak lagi, dan para jemaah berpusu-pusu di kawasan yang agak sempit itu.
Bagaimana pun terpulanglah kepada kita sendiri dalam menggunakan kesempatan dan peluang yang singkat itu apabila kita tiba ataupun berada di makam Rasulullah s.a.w. itu. Saya mendapati waktu yang sebaik-baiknya untuk ke Raudhah dan berziarah ialah pada waktu malam sekitar  jam 7 ataupun 8 pagi. Waktu ini sebahagian besar jemaah sudah pulang ke hotel masing-masing. Waktu-waktu ini, sebahagian ada sedang bersarapan, dan sebahagiannya berehat atau pun tidur. Jadi, keadaan di kawasan Raudhah dan kawasan menziarahi makam agak lengang sikit. Di Madinah, tidak banyak tempat untuk dilawati. Selain kita akan singgah di Masjid Quba, kita juga akan dibawa ke kebun kurma.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Julai 2013 di pasaran...

No comments: