Monday, July 8, 2013

Ustaz Don Daniyal: 'Sempoi' Istimewa Orangnya

Tabung Haji Travel (TH Travel) nampaknya telah menggunakan tenaga “Ustaz Don” dalam pakej mengerjakan Umrah untuk beberapa waktu yang lalu. Dengan penyertaan sama Ustaz Don, jemaah ramai yang ikut sama dalam pakej tersebut. Pada 18 hingga 30 April yang lalu, TH Travel telah mengundang Ustaz Don ikut sama dalam pakej ini. Saya diantara hampir 250 jemaah Umrah yang ikut serta. Selama ini saya mengenali Ustaz Don hanya menerusi rancangan agama ‘30 minit Ustaz Don’ di TV Hijrah. Memang menarik cara dan gaya Ustaz Don menyampaikan kuliahnya. Memang pun saya bercadang untuk bertemu dengannya, berkenalan dan berdepan dengannya untuk berbual-bual dan bersembang-sembang, kerana kelihatan “pendekatannya” sesuai dengan para remaja. Kebetulan ketika berada di Makkah, Ustaz Don pula ditugaskan untuk membimbing para jemaah dengan memberi ceramah dan kuliah, maka saya ambil peluang untuk bersembang-sembang dengannya. Dalam sembang-sembang secara tidak rasmi itu, Ustaz Don memang sentiasa bercakap “loghat” Penang. Istilah-istilah yang digunakannya kebanyakan istilah “orang-orang utara”. Pernah satu ketika Ustaz Don telah menyebut demikian: “Kita sebagai umat Islam jangan sekali-kali membuat “Tahana” terhadap orang lain, kerana perbuatan itu melanggar disiplin agama.”
Seorang jemaah yang ada disebelah saya bertanya saya: “Apa maksud Tahana itu?” Saya memberitahu sahabat itu bahawa “Tahana” maksudnya jangan buat anianya kepada orang lain.” “Apa pula disebut tahana? Tak adakah istilah lain?” Saya tidak jawab sungutan itu, tetapi tersenyum saja. Memang Ustaz Don seorang yang “kelakar”. Setiap apa yang disebutnya membuat kita tersenyum, dan kadang-kadang juga boleh ketawa besar. Nama penuhnya ialah Haji Don Daniyal Don Biyajid lahir bulan November 1984. Usianya baru mencecah 28 tahun. Saya anggap seorang pemuda yang sangat bernasib baik, kerana dalam usia yang muda begini mempunyai pendidikan dan berpengetahuan agama yang agak mendalam. Beliau yang berasal dari Pulau Pinang, dan sekarang menetap di Bangi Selangor. Ustaz Don meneruskan pengajiannya di Mesir, dan memiliki ijazah “Sarjana Muda Takhassus Qiraat, dan sekarang ini bertugas sebagai pensyarah tetap di Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS). Beliau sebagai pendakwah bebas yang bertauliah dari Pulau Pinang dan Selangor. Pendekatannya kepada para remaja. Dalam berdakwah, Ustaz Don dalam penyampaiannya bersahaja, dan memiliki unsur-unsur yang orang tertarik cara pendekatannya itu. Dia banyak menyimpan cerita-cerita agama yang menarik. Dalam kuliah-kuliahnya, Ustaz Don kadang kala melontarkan juga kisah-kisah agama yang belum pernah didengar oleh sebahagian orang. Beliau mula mencipta nama menerusi slot tazkirah “ihya Ramadan” di TV Al-Hijrah dalan tahun 2011. Dia semakin dikenali orang terutama umat Islam dengan penampilan rancangan “sempoi” dan dengan program “30 minit Ustaz Don”, yang menjurus kepada dua subjek iaitu “Bicara fardu ain dan Al-Quran”.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Julai 2013 di pasaran...

No comments: