Monday, July 8, 2013

Ustaz Don Beri Kuliah Atas Langit

PADA bulan April yang lalu iaitu dari 18 hingga 30 April saya mengikuti rombongan “Pakej” Umrah oleh Tabung Haji Travel. Dalam pakej ini, Tabung Haji namakan pakej tersebut sebagai “UMRAH CINTA RASUL”. Seorang ustaz yang terkenal di kebelakangan ini iaitu “Ustaz Don Daniyal Don Biyajid” ikut sama.
Beliau yang lebih disenangi dengan panggilan “Ustaz Don” saja ikut sama sebagai “Penguat Hati” para jemaah dalam Pakej ini. Tugasnya menyampaikan “agama” kepada mereka yang sudah beragama, dan menyampaikan “ISLAM” kepada orang Islam. Sangat baik dan mulia nuraninya dalam menyampaikan ceramah-ceramah dan kuliah-kuliah sepanjang berada di Tanah Suci itu. Tabung Haji Travel kali ini, pakejnya tetap seperti biasa. Kami diuruskan dari lapangan terbang KLIA sehingga ke terminal Haji lapangan terbang di Jeddah dengan baik dan cemerlang. Di KLIA, ia sudah menyediakan petugas-petugasnya yang akan mengelolakan bagasi, dan apa juga hal yang berkaitan dengan pemergian kami. Kami dibekalkan dengan ‘name tag’, dengan beberapa surat yang berbentuk maklumat-maklumat yang memudahkan kami berkomunikasi dengan pegawai-pegawainya dalam pesawat mahupun ketika sampai di Jeddah. Sebelum berangkat, kami diberi taklimat dari pelbagai maklumat hinggalah kepada masalah-masalah lain. Sebagaimana biasa, taklimat itu disampaikan oleh pegawai-pegawai Tabung Haji dari ibu pejabat TH Travel Kuala Lumpur. Selain dari beberapa orang pegawai dan pembimbing-pembimbing ibadah yang ikut sama dalam rombongan ini, pegawai dan kakitangan TH Travel juga berada di Jeddah untuk menyambut rombongan kami. Pendek kata sebagaimana biasa, kami tidaklah bersusah payah untuk mengelolakan bagasi kami dari bas, diangkut diheret untuk di bawa ke hotel. Kita cuma mempastikan saja bahawa bagasi kita itu ada. Dengan tanda-tanda yang disediakan oleh kita sendiri, semua itu diuruskan oleh kakitangan Tabung Haji yang ikut sama, dan yang sedang menanti di Jeddah. Itulah satu keistimewaan apabila ikut dengan pakej TH Travel. Pegawai-pegawai dan ustaz-ustaz yang ikut sama dalam rombongan kami ini ialah Ustaz Mohd Fikri Muhamed Khusainy, Ustaz M. Izzat Zulhasni, Ustaz Mohd Fakhrunizam, Ustaz M. Fakhrulhadi, Ustaz Ahmad Sobi. Saya diberitahu bahawa Tabung Haji Travel menggunakan tenaga kerja mereka bagi membantu para jemaah Umrah sepanjang berada di Makkah dan juga di Madinah. Mereka bertugas sebagai pembantu, memberi penerangan-penerangan berhubung dengan masalah umrah dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya. Ustaz Fakhrulnizam misalnya bertugas “Bas nombor 2”. Dia yang disenangi dengan panggilan Ustaz Nizam aje, bukan saja membantu sebagai penasihat, tetapi juga turut bekerja kuat menolong mengangkat bagasi, dan keperluan yang diperlukan oleh jemaah yang agak uzur dan kurang tenaga untuk angkat itu dan ini. Ustaz Nizam dan Ustaz-Ustaz muda yang lain kelihatan banyak membantu para jemaah terutama mereka yang agak uzur. Pakej TH Travel ini menyediakan pelbagai program sepanjang berada di Makkah di Madinah. Ustaz Don yang kelihatan bukan saja “popular” dikalangan jemaah kita, tetapi juga popular dikalangan jemaah yang bukan Pakej Tabung Haji yang bertemu dengannya. Sehingga beliau kelihatan penat bergambar dengan orang itu dan orang ini. Meminta menandatangani itu dan ini sebagai tanda kenangan bertemu dengan Ustaz Don di tanah suci Makkah dan Madinah. Sepanjang berada di Makkah, Ustaz Don bersama dengan Ustazah Hajjah Yusnah binti Yusuf telah memberikan ceramah sebagai “penyubur iman”, dengan beberapa penjelasan berhubung dengan Umrah, mengenai Tawaf Wada’. Tawaf Umrah, Sa’i dan perkara-perkara lain yang berkaitan dengan Ibadah Umrah. Ustaz Don pula bertindak sebagai “penceramah motivasi”. Beliau mempunyai gaya tersendiri, dan menyebabkan kita tidak merasa jemu untuk mengikuti ceramahnya dari awal hingga akhir. Sehingga dalam pesawat beliau telah diberi peluang oleh Kapten pesawat MAS untuk menyampaikan “tazkirahnya”. Memang tazkirahnya menarik bercerita kisah Israk dan Mikraj. Seorang sahabat yang ada disebelah saya berbisik: “Ustaz Don beri kuliah atas langit...”
Dalam tulisan ini saya menyentuh sedikit tentang makanan yang disediakan di Hotel di Makkah. Nampaknya kali ini TH Travel meletakkan para jemaah di Hotel Royal Orchid, di Safwah Tower, di hotel Royal Dar Eiman.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Julai 2013 di pasaran...

No comments: