Thursday, February 6, 2014

Ada Artis Sempat Umrah, Tak Sempat Tunai Haji

AHMAD DAUD, adalah antara nama-nama besar dalam dunia lagu. Lagu-lagu rakamannya sentiasa mendapat sambutan. Hingga sekarang pun, lagu-lagunya masih lagi diputarkan oleh Radio Klasik.
Marilah kita sama-sama mendoakannya semoga rohnya bersama dengan orang-orang salih, dan dikumpulkan kelak bersama dengan ahli jannah, InsyaAllah. Abi ingin menghimbau sekilas tentang peristiwa-peristiwa dalam hidupnya. Abi memang rapat dengan Ahmad Daud sejak di Singapura dulu. Semasa di Studio Jalan Ampas mengakhiri riwayatnya, Ahmad Daud bersama Sa’adiah isterinya masih lagi tinggal di kuaters bintang filem di Boon Teck Road. Sebagai wartawan ketika itu bertugas di pejabat di Singapura, Abi selalu juga berkunjung ke rumahnya. Biasanya Abi datang pada hari Ahad. Abi bersama seorang kawan lagi akan dijamu dengan “mi rebus” Pulau Pinang. Sa’adiah bertindak memasak sendiri mi rebus itu. Selain dari mi rebus itu, ada satu lagi jenis mi yang dimasak oleh seniwati Sa’adiah. Abi namakannya sebagai ‘mi tersedak’. Sebab, apabila kita makan mi itu, kita pasti akan tersedak, kerana “kuahnya” agak istimewa. Mi tersebut, resipinya dari Ahmad Daud sendiri yang diajarkan kepada isterinya Sa’adiah. Apabila Ahmad Daud berhijrah ke Kuala Lumpur kira-kira awal tahun 70an, hubungan kami berdua semakin rapat lagi. Masa berjalan dengan begitu cepat sekali. Disamping menyanyi sebagai sumber rezekinya, Ahmad daud seorang ahli perniagaan. Beliau pernah menjadi rakan kongsi niaga dengan seorang ahli bisnes Jepun.
Beliau menjadi salah seorang pengarah dalam syarikat tersebut. Abi sendiri ada sebuah kedai menjual buku-buku agama yang terletak di pusat bandar Taman Keramat ketika itu. Ahmad Daud bekerja hanya separuh hari saja. Dari jam 2 petang hinggalah ke malam, Ahmad Daud akan berada di kedai buku Abi. Kedai buku ini sentiasa dikunjungi ramai peminatnya. Ahmad Daud akan bersimbang dengan pelbagai topik. Orang yang mendengarnya tak kering gusi. Pada suatu petang, Ahmad Daud telah menyatakan hasratnya ingin ke Makkah. “Baguslah tu, kalau you mahu buat haji atau umrah,” balas Abi ketika dia mengemukakan hasratnya itu. “Tetapi you mesti ada sama,” kata Ahmad Daud. “InsyaAllah,” jawab Abi ringkas. Setelah pendaftaran dibuat dengan sebuah syarikat yang mengelolakan pakej Umrah, kami pun berangkat ke Makkah. Rombongan kami lebih kurang ada 20 orang. Macam-macam hal berlaku pada diri Ahmad Daud itu sendiri. Sebelum naik pesawat, jaketnya hilang. Tiba Di Jeddah, turun pesawat songkoknya pula tak ada.
Semasa di Madinah, seluar dalamnya ghaib, tali pinggangnya hilang. Entah dimana diletakkannya, tak siapa pun yang tahu. Apabila Abi tanya mana hilangnya? Kemana you letak barang-barang itu? Jawapannya hanya dengan “geleng-geleng kepala”. Dia memang pelupa.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Februari 2014 di pasaran...

No comments: