Thursday, February 6, 2014

Salam Kami

ASSALAMALAIKUM WR. WBT.
SEGALA puji dan syukur ke hadrat Allah s.w.t. serta salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Sejauh manakah cinta anda kepada dunia ini? Tidak syak lagi, ramai kita-kita ini begitu terpikat dengan keindahan dunia, dengan kegemerlapannya yang penuh warna warni. Bangun saja dari tidur, yang kita kejar ialah dunia. Kita tergesa-gesa ke tempat kerja. Tidak ramai yang terkejar-kejar ke masjid-masjid atau ke surau-surau waktu subuh begitu. Ada, tapi tidaklah ramai. Yang ramai ialah bergelut mengejar dunianya. Petang bergelut pulang ke rumah. Waktu itu tidak ada juga yang terkejar-kejar pula untuk ke masjid dan surau. Ada, tapi jarang-jarang. Begitulah pusingan hidup ini dimana-mana. Rezeki yang dicari tidak pernah habis-habis. Tidak pernah cukup-cukup. Memang ada yang mengeluh dengan dunia ini. Barang itu naik barang ini naik. Belanja sara hidup kian meningkat. Pendek kata semuanya naik. Anak-anak perlu belanja ke sekolah. Tambang Bas sekolahpun naik. Aduh...! Tapi itu hanya keluhan saja. Empat lima bulan lupalah semua itu. Hadapi masalah lain pula. Dunia tetap di kejar. Dan dalam mengejar dunia itu, kiamat pun terlupa. Akhirat pun tak ingat. Apakah dunia yang kita kejar-kejar itu? Menurut Ibnu Abbas r.a.: “Pada hari kiamat kelak akan dihadapkan dunia ini berupa wanita tua yang tua keriput (tak bergigi) yang nampak hanya gigi siungnya, jelek rupanya, tidak seorangpun melihatnya melainkan membencinya, maka itu melihat orang-orang lalu itu ditanya: Apakah kamu kenal pada ini? Jawab mereka: “Naudzu bilah, jangan sampai kenal padanya.” Lalu diberitahu bahawa itulah dunia yang kamu dahulu rebut-merebut, kejar mengejarnya, berbangga dan berperang kerananya. Pembaca budiman, kerana itu sebelum kita meghembuskan nafas terakhir ini, dalam kesempatan anda berpeluang menatap majalah Hidayah ini, renung-renungkanlah pula pesanan Abullaits Assamarqandi yang berkata: “Sebenarnya dunia ini tidak berdosa dan tidak ada seksa baginya, tetapi sengaja dilempar ke dalam neraka untuk menunjukkan kehinaannya di sisi Allah sebagaimana berhala-berhala yang dimasukkan ke dalam neraka.” (rujuk Al-Anbiya’: 98) Jadi kami persembahkan Hidayah ini untuk sama-sama mengamalkan sifat Qanaah. Apa yang ada ditangan kita itu, itulah rezeki kita. Setiap hamba Allah dan makhluk Allah itu ada habuan rezeki masing-masing sehingga kita masuk ke lubang kubur. Terima kasih kerana anda terus menjadi pembaca Hidayah. Semoga hidup kita terus diberkati Allah s.w.t. jua. Wasalam!

Pengarang
Suhaimi Hamid

No comments: