Thursday, February 6, 2014

"Apakah Malaikat Masih Menaungi Syria?"

Kemuliaan. Kebaikan. Peradaban. Semua itu barangkali akan hangus di Syria. Tidak ada yang tersisa. Tinggal nama. Cuma ada dalam sejarah. Dan kita semua akan menguburnya bersama hanyir darah dan asap bom serta desingan peluru. Kita akan mengenangnya dalam lanskap kotanya yang kelabu dan suram. Kita tidak akan menemukan jejak sejarah Islam yang berwarna emas. Semua berjelaga. Kita tidak akan mendapati negeri yang dipanggil Nabi dengan Syam itu sebagai bumi pilihan Allah lagi.  Bukankah baginda Rasulullah s.a.w. jauh-jauh hari berpesan untuk menjaga negeri itu? Mari kita tengok sebuah hadis yang termaktub dalam Kitab Sunan Abi Daud. “Jagalah Syam! Sesungguhnya ia salah satu negeri pilihan Allah. Dia memilih Syam kerana banyak [di negeri tersebut] hamba-hamba pilihanNya.” [HR. Abu Daud]
Betul, Syam masa lalu bukan seperti sekarang ini. Secara geografinya, dulu, ia adalah sekali dengan Palestin, Lebanon, Syria, dan Jordan, dimana Damascus sebagai ibukotanya. Negerinya makmur. Tanahnya subur. Pemeluk tiga agama samawi [Yahudi, Nasrani dan Islam] pun pernah hidup dan menjalin persaudaraan dengan indah di sana.  Namun, keserakahan dan kekuasaan memecahnya serupa selendang sutera yang koyak. Tercerai berai, baik kerana buah imperialisme Barat, mahupun kerana friksi internal di dalamnya. 
Palestin, anda tentunya mafhum, terus bergejolak bergelora dengan Israel hingga kini. Pun dengan Lebanon. Dan tiga tahun belakangan ini [sejak 2011], Syria menyusul. Khabar tentangnya begitu riuh dan memilukan di pelbagai media, baik nasional mahupun internasional. Semua kerana faktor nafsu dan kekuasaan; unsur-unsur yang membutakan manusia untuk hidup beradab dan berperadaban. Tentu saja, yang bersorak sorai kegirangan adalah mereka yang senang bila umat Islam di Syria pecah belah, warga muslim yang barangkali juga masygul serba salah mahu membela siapa dan harus berada di sayap mana. Hakikatnya: korban yang meninggal dan menderita terbanyak adalah kaum hawa dan anak-anak tidak berdosa. Darah. Luka. Lapar. Air mata. Semua sudah begitu akrab di Syria.  Tak aneh, bila ratusan ribu warga Syria melarikan diri ke negeri-negeri lain mencari perlindungan. Syam...Syria, negeri para Nabi, negeri para ulama, negeri orang-orang salih yang dimuliakan Allah dan dipuja-puji Nabi itu kini menuju titik jurang kehancuran. Saya khuatir negeri itu akan berdampak seperti Iraq yang jejak-jejak peradabannya porak-poranda dan kita tidak sempat menziarahinya dan mentadaburrinya. Saya khuatir kita semua hanya kelak menemukan Syria yang aduhai indah dan berperadaban itu melalui kisah semata. Kita tidak sempat menyaksikannya.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Februari 2014 di pasaran...

No comments: