Friday, July 18, 2014

Menangis Kerana Allah

PADA umumnya, manusia menangis kerana sedih. Tapi ada juga yang menangis kerana terharu, bahagia, seperti meraih sesuatu yang dinantikan atau menyambut kedatangan orang yang dicintai. Kadangkala ada pula yang menangis kerana lapar seperti kanak-kanak. Ibnu Qoyyim, seorang ulama abad ke-7 Hijriyah, menyebutkan ada 10 macam menangis. Namun menangis yang paling bermanfaat dan sihat adalah menangis kerana Allah s.w.t. Kerana itu, menangis kerana Allah s.w.t. itu dianjurkan oleh Al-Quran dan dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat serta para ulama. Didalam salah satu riwayat Ibnu Mas’ud r.a. menceritakan bahawa suatu ketika Rasulullah s.a.w. meminta kepadanya agar membacakan Al-Quran. Ibnu Mas’ud pun berdalih,  “Bagaimana aku membacakan Quran kepadamu padahal dia (Al-Quran) diturunkan kepadamu.”  Lalu Rasulullah menjawab, “Aku ingin mendengar dari orang lain.” Maka aku (Ibnu Mas’ud) bacakan surah An-Nisa’ sampai pada ayat “Maka bagaimanakah, apabila Kami datangkan seseorang saksi (rasul) dari tiap-tiap umat dan kami mendatangkan kamu (Muhammad) sebagai saksi atas mereka itu.” (An-Nisa’, ayat 41).  Lalu Rasulullah berkata, “Sekarang cukup bacaanmu.” Maka aku (Ibnu Mas’ud) menoleh kepada Rasulullah, dan ternyata kedua matanya menitiskan air mata.” Demikian pula dalam suatu kejadian, Rasulullah s.a.w. berkhutbah, kata Anas r.a. “Belum pernah aku dengar khutbah seperti itu, “Kalau kalian mengetahui apa yang aku ketahui, nescaya kalian akan sedikit tertawa dan banyak menangis,” maka para sahabat menutupi muka mereka dan menangis sampai terdengar suara rintihan.” (HR. Bukhari & Muslim) Barang siapa mudah menangis kerana Allah s.w.t. merupakan bukti bahawa orang tersebut lembut dan bersih hatinya. Dan orang yang susah menangis kerana Allah s.w.t. pertanda kaku dan kurang bersih hatinya, boleh jadi kerana pengaruh maksiat dan dosa, maka hendaknya dia bertaubat kepada Allah s.w.t. dan memperbanyakkan amal salih.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Julai 2014 di pasaran...

No comments: