Friday, July 18, 2014

Salam Kami


ASSALAMUALAIKUM WR.WBT.
SEGALA puji dan syukur ke hadrat Allah s.w.t. serta salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Memanglah membaca itu sesuatu yang bermanfaat, sambil ianya dapat berhibur dan menambah pengetahuan. Konsep ini diteruskan oleh Hidayah untuk menggamit pembaca agar ‘suka membaca’. Menurut kajian sebenarnya tidak ramai kalangan rakyat Malaysia yang gemar membaca. Yang membacapun hanya berligar kepada bacaan-bacaan ringan, komik/kartun, hiburan dan sebagainya. Bukan tradisi di rumah-rumah umumnya yang memiliki perpustakaan sendiri. Malah jarang didapati ada yang menyimpan koleksi kitab-kitab agama sebagai bahan bacaan dan rujukan. Apatah lagi dalam bidang sastera, budaya dan sebagainya memang kurang sekali. Memanglah ‘membaca’ bukan budaya kita. Namun dalam keadaan yang sukar ini adalah juga yang ‘suka membaca’. Tetapi jumlahnya amat terbatas. Dalam keadaan yang terbatas dan sukar ini Hidayah tetap muncul menemui pembacanya meneruskan amanat “berdakwah melalui penulisan.” Kali ini kita membawa kisah-kisah iktibar yang semoganya dapat menyentuh hati dan nurani. Antara yang menarik bacalah iktibar 1 dimana Allah memberikan kemuliaan kepada seorang hambaNya seorang lelaki alim yang kuburnya diterangi cahaya pada setiap malam Jumaat. Sementara itu pada Iktibar bertajuk ‘Mendapat Hidayah Dalam Kubur’ yang menjadi koleksi emas kisah iktibar Hidayah bagaimana seorang lelaki kikir berubah perangai dan akhlaknya setelah mengalami mimpi aneh ketika dia tertidur dalam kubur yang baru digali. Sementara dalam rencana-rencana lainnya anda perlu ikuti rencana ‘Selami rahsia wuduk dan puasa’, ‘Mengetahui Rahsia-Rahsia Al-Quran’, nostalgia dan sebagainya. Kepada pembaca, kami mengucapkan “Selamat menunaikan ibadah puasa” sepanjang Ramadan yang mulia ini. Walaupun kita telah belasan atau puluhan kali menemui bulan Ramadan, namun setiap Ramadan yang datang tetap dirasakan istimewanya. Inilah masanya kita dapat merasa syahdunya anugerah Allah kepada setiap umat Islam dimana-mana masjid dan surau akan dipenuhi jemaah untuk menunaikan solat sunat terawih, bertadarus dan sebagainya. Hayatilah amal ibadat yang agung ini kerana tidak ada siapa yang tahu entah-entah inilah Ramadan terakhir yang akan kita lalui.  Marilah kita bersama-sama dengan Umar bin Al-Khattab r.a. yang apabila datangnya bulan Ramadan berkata:
“Selamat datang bulan yang akan membersihkan kami, sebab Ramadan ini semuanya baik, puasa pada siang harinya dan bangun pada malamnya, dan sedekah (belanja) dalam bulan ini sama dengan membelanjai perjuangan jihad fi sabilillah.” Dan ingatlah sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: “...dan untuk orang yang berpuasa dua kegembiraan, gembira ketika menghadapi saat berbuka puasa, dan gembira kelak bila bertemu kepada Tuhan pada hari kiamat kelak.” Terima kasih kepada para pembaca budiman yang terus bersama dengan kami agar kita terus berjumpa dalam keluaran akan datang, InsyaAllah. Wassalam

Pengarang
Suhaimi Hamid

No comments: