Saturday, August 16, 2014

Contohi Gaya Rasulullah Ketika Berkhutbah

Firman Allah Taala, maksudnya: “ .. Dan siapakah yang lebih benar perkataannya daripada Allah? ” (87, An-Nisa’). “Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu kitab suci Al-Quran.” (23, Al-Zumar).
“ ... Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tetap memimpin kejalan yang lurus.” (52, Al-Syura).
“Dialah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad) dengan membawa hidayat pertunjuk dan agama yang benar (Agama Islam) (28, Al-Fath).

Hadis Pertama
1. Dari Jabir bin Abdullah r.a., katanya: Pernah Rasulullah s.a.w. apabila berpidato merah menyala matanya, lantang suaranya dan bersangatan marahnya, sehingga seolah-olah Baginda seorang pemberi amaran yang menyatakan kepada angkatan tentera (tentang kedatangan musuh) dengan katanya: Bahawa musuh akan datang menyerang kamu pada pagi-pagi hari dan (mungkin) pada waktu petang!; serta Baginda bersabda: “(Masa) aku diutuskan dan masa berlakunya kiamat seperti dua jari ini,” lalu Baginda menyatukan kedua jari tangannya - jari telunjuk dan jari tengah, serta baginda bersabda lagi: “(Ketahuilah) selain dari itu, maka sebenar-benar perkataan ialah kitab Allah dan sebaik-baik jalan pimpinan ialah jalan pimpinan Muhammad s.a.w. dan (sebaliknya) sejahat-jahat perkara ialah perkara-perkara baharu (yang) diada-adakan dalam agama), sedang tiap-tiap perkara baharu (yang diada-adakan dalam agama) itu adalah bidaah dan tiap-tiap bidaah itu sesat”.  Kemudian Baginda bersabda lagi: “Aku adalah berhak menolong tiap-tiap seorang mukmin lebih daripada ia menolong dirinya sendiri, - sesiapa yang meninggalkan harta benda maka itu adalah untuk waris-warisnya dan sesiapa yang meninggalkan hutang atau orang yang kehilangan tempat bergantung maka terserahlah kepadaku menjaganya atau akulah yang menanggung hutangnya”. (Muslim dan lain-lainnya).
Hadis yang pertama ini mengandungi tentang:
(1) Gaya Rasulullah s.a.w semasa berpidato.
(2) Masa baginda diutus oleh Allah Taala dan saat berlakunya kiamat.
(3) Kitab Allah ialah sebenar-benar perkataan dan jalan pimpinan Rasulullah s.a.w. ialah sebaik-baik jalan pimpinan.
(4) Perkara-perkara baharu yang diada-adakan dalam agama adalah seburuk-buruk perkara.
(5) Keadaan Rasulullah s.a.w. dengan orang-orang mukmin.
Huraiannya:

Pertama - Gaya Rasulullah s.a.w. semasa berpidato:

Tabligh (tugas menyampaikan perintah-perintah agama) adalah tujuan pokok dari perutusan Rasulullah s.a.w., manakala pidato adalah salah satu cara bagi Baginda menjalankan tugas tabligh. Dengan jalan pidato,  Rasulullah s.a.w. menyampaikan perkara-perkara yang mesti disampaikan dari perkara-perkara yang sekecil-kecilnya hingga kepada yang sebesar-besarnya, apakala keadaan menghendakinya.
Semasa berpidato, tergambar pada anggota-anggota lahir Baginda kesungguhan hatinya mengenai apa yang hendak disampaikannya melalui pidatonya itu, lebih-lebih lagi pada perkara-perkara yang hebat, seperti berlakunya kiamat. Baginda melafazkannya dengan suara yang lantang, merah matanya, dengan rupa marah nampaknya, seperti keadaan seorang panglima memerintah tentera, memberi amaran tentang serangan musuh, yang akan datang menyerbu entah pada waktu pagi dan petang.
Keadaan yang demikian adalah sangat mustahak untuk menarik perhatian dari seluruh ahli satu-satu rapat umum, kerana segala gerakan dan keadaan air muka pemberi pidato itu besar kesannya kepada mereka.

Kedua - Masa Baginda diutus dan saat berlakunya kiamat:
Meskipun masa berlakunya hari kiamat tidak ada sesiapa yang mengetahuinya dengan tepat melainkan Allah, tetapi Rasulullah s.a.w. telah menerangkan secara umum bahawa masa berlakunya kiamat itu telah hampir. Baginda membuat bandingan tentang kehampirannya itu seperti hampirnya jari telunjuk dengan jari tengah, yakni antara dua jari itu tidak ada diselangi oleh jari lain, maka begitulah masa Baginda diutus dengan masa berlakunya kiamat, tidak ada Rasul yang membawa wahyu yang lain yang menyelanginya atau bezanya masa berlaku kiamat dengan masa Rasulullah s.a.w. diutus adalah seperti bezanya panjangnya jari tengah dari jari telunjuk.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Ogos 2014 di pasaran...

No comments: